Selasa, 30 Oktober 2007

ANTARA MASA DAN KENANGAN YANG DIPINJAMKAN

i.
Tanpa aku sangkakan seorang rakan yang sama-sama makan nasi bungkus, seharian hidup dalam kesusahan belajar menjadi seorang guru di MPLP sepuluh tahun dahulu akhirnya menghubungiku melalui blog ini. Syukur juga kerana hari ini dia bergelar pensyarah dan bertugas di UPSI. Khabarnya akan ke UK untuk meneruskan pengajian Phd. Kenangan bersama-samanya memang menarik sebab 'dia budak kelantan yang suka melaram'. Perwatakannya yang manco memang membuka ruang untuk wanita jatuh cinta kepadanya. Itu cerita sepuluh tahun dulu. Hari ini, aku dengar dia dah 'menjadi orang' dan 'orang penting' di UPSI.
Allahamdulillah, nasib kami berdua telah diubah oleh Allah dan kami perlu menjadi manusia yang sentiasa ingat dengan limpah rezeki yang dikurniakanNYA. Amin.

ii
Mesyuarat Agung Pena ke-44 baru sahaja berakhir. Ucapan presiden PENA penuh dengan harapan dan perjuangan. Nuasa ini seperti mengingatkan aku akan perjuagan Usman Awang dan rakan-rakannya dahulu. Kami (penulis muda) perlu menjadi penerus kepada gerakan yang menuntut hak dan prinsip 'Melayu' yang mula diperkotak-katikkan. Besar dan tinggi harapan itu menguji sejauh mana kekuatan kami generasi baharu yang terpaksa berhadapan dengan keracuan pemikiran politik UMNO. Tugas ini memang berat dan getir. Mudah-mudahan dengan sokongan Dato' Baha Zain, Dato' Johan dan rakan sealiran seperti SM Zakir, M. Saleeh Rahamad, Rahimidin Zahari, Amiruddin Ali, Saifullizan Yahya dan lain-lain, ruang untuk kami bergerak akan menjadi lebih mudah atau terbuka. Inilah perjuangan yang santai tapi penuh bermakna meski hanya untuk satu kepuasan.

iii
Rasanya, selepas raya ni tak banyak cerita yang menggugah perasaan. Mungkin beban tugas untuk menyiapkan kertas kerja dan esei menyebabkan aku lebih suka mengurung diri. Tuntutan seperti ini meski memenatkan tapi aku bahagia sekali kerana rutin aku yang suka membaca terisi. Yang penting, aku dapat kurangkan budaya mengupat apabila waktu untuk bersembang menjadi terbatas.

Suasana di luar sana sebenarnya masih bergelodak dan kian celaru. Apatah lagi saat perhimpunan agung umno dan pilihan raya kian hampir. Tentunya percaturan demi percaturan sedang dirancang dengan strategi yang pintar atau binal. Jika pintar akan membuahkan hasil; jika binal akan membuahkan mala petaka. Apa-apapun yang akan menerima bahananya nanti ialah rakyat jelata yang tidak mengerti apa-apa.

Aku benar-benar berharap, selepas usia kemerdekaan kita 50 tahun, rakyat boleh berfikir dengan matang untuk memilih pemimpin. Aku rindukan pemimpin yang muluk seperti Tun Abd Razak atau setidak-tidaknya macam Nik Aziz yang berfikir seribu kali dahulu baru bertindak. Bukan berfikir sekali tetapi bertindak beribu-ribu kali. Kita perlu belajar daripada falsafah orang Iran iaitu;

untuk mendapatkan baju yang sesuai dengan tubuh kita: ukurlah kain itu biar banyak kali kemudian potong; bukan ukur sekali tetapi potong berkali-kali.

Falsafah ini sama ada pernah ada, pernah dibaca, diketahui atau disedari oleh pemimpin hari ini tidak kita ketahui. Jadi, tugas kita yang hanya bergelar rakyat jelata inilah yang perlu melaksanakan falsafah ini.

Ayuh, teruskan perjuangan ini. Salam.

Tiada ulasan: