i
Salam Lebaran.
Setiap kali lebaran menjelma aku pasti teringatkan sajak Sitor Sitormorang;
MALAM LEBARAN
Bulan di atas kuburan.
Sajak pendek ini banyak diperkatakan orang khususnya peminat sajak-sajak kabur. Bagi aku pengertiannya mudah sahaja iaitu sajak ini hebatnya kerana bersifat 'segar' sebab setiap tahun selagi dunia masih belum kiamat pasti seluruh umat Islam akan meraikan lebaran. Cuma apa yang perlu kita fikirkan ialah bagaimana lebaran akan datang itu diraikan?
Kalau dalam akhbar dikatakan lebaran di KL sunyi sepi. Maknanya, lebaran di kota-kota tidak beerti kerana tiada nostalgia indah. Nah, sebab itulah pada setiap kali menjelang lebaran, jalan raya dan lebuh raya akan penuh sesak dengan kenderaan. Mereka bergegas pulang ke kampung halaman kerana di kampunglah terkumpulnya banyak nostalgia indah.
Aku rindukan sebuah kampung tradisi tempat meraikan lebaran. Pada malam raya, ada kumpulan takbir bertandang ke rumah. Selepas solat raya ada pula kumpulan marhaban berkunjung kemudian berselawat. Kami ramai-ramai makan ketupat, rendang, tempe masak lodeh, kuih sampret, kuih bahulu, kuih ros dan macam-macam lagi yang menarik. Sebelah malamnya kami akan berkunjung ke rumah saudara-mara terdekat. Rumah emak/pak saudara menjadi pilihan untuk dikunjungi. ...
... dan sesuatu yang paling menarik ialah pada waktu tengah malam aku adik-beradik akan bermain meriam tanah buatan sendiri. Inilah keseronokan yang sukar aku lupakan. Bermain meriam tanah seakan menjadikan aku ralet dengan pemikiran hiruk pikuk duniawi. Malah apa yang paling aku bangga sekali ialah, meriam itu telah berusia 35 tahun yang dibuat daripada simen. Bunyi dentumannya yang menggila menjadikan aku terkesima....
Meriam tanah kesayangku, moga kita berjumpa lagi tahun depan.
ii
Kawan-kawanku di manakah kalian?
Aku tergaman apabila terserempak dengan dua tiga orang rakan sekolah yang kemudiannya menceritakan bahawa beberapa rakan lain telah kembali ke rahmatullah. Ada yang meninggal dunia akibat kemalangan, sakit dan tidak kurang juga menjadi korban dadah. Moga Allah merahmati rohnya. Sesuatu yang paling aku syukur ialah, rakan-rakan di kampung masih percaya aku seorang buruh kontrak sebab ketika aku meninggalkan kampung halaman 20 tahun dahulu; aku bersama-sama mereka ke KL atau Singapura berkerja sebagai buruh kontrak. Tak mengapalah, biar aku menipu mereka di dunia ini sebab aku rasa nikmat kehidupan yang Allah anugerahkan ini hanya sementara cuma. Kalau mereka tahu cerita sebenar tentang diri aku mungkin aku akan kehilangan ramai kawan-kawan sekampung yang masih bermotosikal dan hidup penuh sederhana. Aku tidak sanggup kehilangan rakan-rakan yang mandi air sungai, mencuri durian dan rambutan orang kampung yang kedekut, dan yang turut sama mengimarahkan surau setiap kali ramadhan menjelma.
Ah, indahnya kerinduan itu. Esok atau lusa, akan berulangkah kerinduan ini?
Salam lebaran. Berhati-hati ketika memandu dan ingatlah orang yang tersayang.
Salam dan kerinduan dari tanah nurani,
Tangkak, Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan