i
Marilah sama-sama kita berdoa sambil meraikan kejayaan anak Melayu yang beragama Islam ini.
ii.
SEMEMANGNYA diketahui Malaysia mempunyai kerjasama erat dengan negara Rusia dalam pelbagai bidang termasuk bidang ekonomi, pendidikan, sains dan ketenteraan.
Namun kerjasama yang paling menonjol ketika ini ialah dalam bidang sains angkasa berikutan penggunaan roket pelancar Rusia untuk menghantar satelit-satelit Malaysia seperti TiungSAT dan MEASAT.
Kerjasama terkini yang menjadi sebutan masyarakat sains seluruh dunia ialah penyertaan rakyat Malaysia dalam misi ke Stesen Angkasa Lepas (ISS) yang sejarahnya akan terlakar hari ini.
Tepat jam 9.21 malam ini, pesawat Soyuz TMA-11 akan akan membawa salah seorang angkasawan Malaysia yang terpilih sama ada Dr. Sheikh Muszaphar Shukor atau Kapten Dr. Mohd. Faiz Khaleed.
Kerjasama ini sememangnya satu sejarah yang menjadi kebanggaan dan Malaysia seharusnya berbangga kerana kesudian pihak Rusia untuk berkongsi kegemilangan mereka dalam bidang sains angkasa.
Kegemilangan sains angkasa Rusia sememangnya telah menjadi perhatian dunia 50 tahun lepas apabila negara itu berjaya melancarkan sebuah roket ke ruang angkasa.
Kejayaan roket Sputnik dari Rusia memasuki ruang orbit telah membuka mata dunia terutama Amerika Syarikat mengenai kehebatan teknologi sains angkasa Rusia yang seterusnya mencetuskan satu `perang' baru iaitu perang kemajuan teknologi angkasa lepas.
Duta Rusia ke Malaysia, Alexander Karchava menyifatkan penghantaran angkasawan Malaysia merupakan satu langkah besar negara ini dalam memasuki era sains dan teknologi angkasa.
Beliau menyifatkan program angkasawan merupakan satu program `offset’ pembelian pesawat Sukhoi yang amat menarik perhatian.
“Secara peribadi saya amat berbangga dengan kejayaan Malaysia menghantar angkasawan pertama mengggunakan roket Soyuz dan ia akan menjadi langkah pertama ini untuk mendalami bidang sains dan teknologi angkasa,” katanya.
Mengenang kembali peristiwa Sputik dilancarkan 50 tahun lalu Kachava berkata, ia telah menjadi satu permulaan kepada perkembangan sains dan teknologi di Rusia dan diharap akan memberi kesan yang sama kepada negara ini.
“Setelah 50 tahun, banyak kemajuan yang dicapai dalam pelbagai bidang sains dan teknologi selepas pelbagai kajian dapat dijalankan di ruang angkasa,” katanya yang tertarik dengan tarikh penghantaran angkasawan Malaysia yang disifatkan Kachava amat signifikan dengan 50 tahun kemerdekaan dan era angkasa di Rusia.
Tarikh 10 Oktober memang amat bererti memandangkan Malaysia masih meraikan kemerdekaan dan pada bulan yang sama 50 tahun lalu Sputnik dilancarkan.
Perjalanan selama 48 jam menggunakan roket Soyuz buatan Russia bakal membawa tiga angkasawan dari Malaysia, Amerika Syarikat dan Russia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Kajian di angkasa yang dijalankan oleh angkasawan Rusia memberikan pelbagai kemajuan meliputi penjelajahan angkasa, pembinaan dan pembangunan roket yang lebih baik. Kajian juga melibatkan bidang ketenteraan dan telekomunikasi di angkasa yang memberikan kesan yang besar kepada Rusia.
Selain itu, kajian di angkasa juga memberikan pelbagai kemajuan dalam bidang perubatan dan langkah angkasawan Malaysia untuk menjalankan kajian dalam bidang tersebut akan memberi faedah kepada negara ini dan dunia.
Kachava percaya, Malaysia akan mendapat faedah yang besar dalam pembangunan negara dengan tercetusnya era angkasa.
"Dari segi psikologi pula, seluruh rakyat Malaysia harus berbangga dengan kejayaan menghantar angkasawan pertama," katanya.
Malaysia juga dapat meningkatkan piawaian antarabangsa dengan bersama-sama dengan keluarga angkasa.
Idea yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat merangsang generasi baru untuk belajar dan meneroka bidang baru.
Kachava berkata, pembangunan industri angkasa amat berpotensi kerana banyak teknologi yang diuji di angkasa dan digunakan di bumi dan terdapat peluang yang sangat besar dalam bidang sains.
Bidang industri angkasa juga dapat membantu remaja dan generasi muda supaya lebih berminat dengan sains seperti angkasawan, rekaan roket, kejuruteraan, angkasa serta penyelidikan.
Menyusuri program angkasawan yang diumumkan seramai 15,000 orang rakyat Malaysia mendaftar.
Malah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis juga menyertai ujian pertama angkasawan iaitu larian tiga kilometer.
Ini menunjukkan minat pemimpin dan rakyat yang begitu mendalam dengan projek angkasawan dan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kachava berkata, program angkasawan merupakan yang terbesar pernah dijalankan dan pihaknya bersedia menjalin kerjasama dengan Malaysia terutama dalam bidang pendidikan dan perubatan.
“Kami berharap program angkasawan merupakan satu permulaan kecil bagi langkah yang lebih besar selepas ini terutama dalam bidang sains dan teknologi,” kata Kacahava.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam mana-mana program terutama dalam bidang sains dan teknologi.
iiiJusteru, inilah kebanggaan dan kejayaan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan