Isnin, 8 Oktober 2007

SALAM LEBARAN dan UKWAH KELUARGA

Gambar: Ayahku sedang merenung nasib anaknya shamsudin othman.
i.
Di kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan maaf zahir dan batin kepada sesiapa yang mengenali, merasakan saya sahabat/kawan/rakan/musuh atau yang sering melayari blog tanah nurani ini. Seperti juga manusia lain, saya punya banyak kelemahan/kekurangan diri. Untuk memuaskan hati semua pihak saya tidak berdaya. Mungkin inilah sedikit kebaikan atau kejahatan yang diberikan Tuhan. Jika baik jadikanlah panduan, yang jahat dan tidak disukai buangkan jauh-jauh. Sebagai manusia juga, saya tidak suka akan kebejatan juga kemunafikan yang berlaku di depan mata. Justeru mungkin kerana prinsip tersebut saya mohon maaf banyak-banyak.

ii.
Semalam, apabila sajak "Bukakan Hijab-Mu" tersiar di ruangan Susastera, Berita Minggu (7 Oktober 2007); seorang sahabat dari Singapura bertanya melalui SMSnya. Tanyanya;

sahabat: sufi betulkan kau ni. sajak kau macam orang banyak dosa aja?
aku : terima kasih. aku memang banyak dosa sebab suka mengutuk kerajaan dan orang
yang pandai cakap tapi tak pernah laksanakan.
sahabat: bulan2 ramadhan ni, bersabarlah sikit. tingkatkan tadarus lebih baik.
aku : habis tu kalau dlm bulan ramadhan yang mulia ini dia orang sanggup buat mungkar,
kita nak tengok aja ke? mana tahu kalau aku mengutuk pada hari lailatulqadar
pahalanya 1000 kali lebih baik.
sahabat: oklah tu, aku pun nak mengutuk sama.

hehehehehehe. begitulah cerita semalam.

iii
Seminggu sebelum hari raya puasa mengunjungi umat Islam, kita perlu menjadi manusia yang perlu merenung zaman kanak-kanak. Bayangkan bagaimana emak-ayah kita meraikan hari yang penuh bermakna ini. Mereka bergolok bergadai membelikan persiapan hari raya untuk kita. Kita pula meraikan hari raya hingga lupa diri. Nah, sekarang tugas kita pula mengembirakan hati dan perasaan mereka. Pulanglah ke kampung halaman, memeluk dan bersalaman dengan mereka. Kepada rakan-rakan yang telah kehilangan emak-ayah; banyakkan berdoa dan mengutus Al-Fatihah kepada rohnya agar sama-sama menikmati kegembiraan aidilfitri.

Aku tak dapat bayangkan bagaimana sambutan hari raya tanpa orang tersayang. Kalau boleh mungkin bukan sekarang ini waktunya kerana aku masih belum bersedia untuk merasai kehilangan dan kebahagiaan itu. Emak-ayah adalah segala-galanya bagi aku. Aku punya banyak nostalgia indah bersama-sama mereka. Sebenarnya, aku masih belum dapat memberikan kebahagiaan yang sebaiknya kepada mereka berdua.

RUMAH SILATULRAHIM

Tuhan, jadikan aku anak terbaik
yang memberikan rindu dan cinta

kepada makna bahagia

sebuah rumah

tanahnya iman

dindingnya takwa

bumbungnya ikhlas
pintunya
budi
tingkapnya hidayah

Tuhan,
jadikan rumah bahagia ini
kubur abadi

tempat kami

menikmat silatulrahim

dan segugus akrab.

Antara ramadhan dan syawal ini
aku rindukan kenangan dulu
saat aku menangis di ribaan ayah ibu
yang gagal aku fahami
erti kasih sayang.

Seperti dulu juga
yang aku rindukan bukan duit raya
tapi hangat air matamu
yang basah di baju rayaku.

shamsudin othman
madarash sham al-johori,

UPM, serdang.


iv
Aku terpaksa berhenti di sini sebab tiba-tiba teringatkan emak dan abah yang paling aku sayangi. Tentu mereka merindui kepulanganku. Ya Allah, berikan rahmat dan hidayah-Mu kepada kedua-dua orang tuaku. Aku cintakan mereka berdua. Aku rindukan ukwah dan bahagia yang kekal selama-lamanya.

Tiada ulasan: