Isnin, 28 Januari 2008

Sakit Itu Muhasabah



Allahhu Akhbar, Allahhu Akhbar, Allahhu Akhbar.
Sepi seketika kerana aku diuji oleh kebesaran Allah SWT. Sebenarnya, sebelum kejadian petang itu (22.01.08) aku, Tn Hj Nafii Mat dan Tn Hj Omar Mamat dengan menaiki kereta CRV Hj Omar Mamat kami menghabiskan sepetang di syarikat Sasbadi, Damansara. Kerja kami ialah menyudahkan kerja-kerja terakhir penerbitan buku kanak-kanak (adaptasi teks Sejarah Melayu). Dalam perjalanan pulang, kami bertiga mengumpat dan mengenang nasib kawan penulis lain yang menjadi mangsa tipu rakan-rakan penulis lain. Mungkin kerana mengutuk, mengumpat dan mencerca itulah aku diturunkan bala oleh Allah. Aku terima derita dan sakit ini jika itu semua dapat menghapuskan dosa-dosa kering yang aku lakukan. Selepas solat asar di Masjid IB, aku pulang menonggang motor. Dalam perjalanan itulah aku dirempuh oleh sekumpulan mat rempit. Bahu kiri aku patah. Syukur juga aku tak mati.

Hari ini ialah hari ke lima aku di rumah. Tangan kiri dah mula terasa pulih sedikit. Paling penting aku boleh angkat tangan, bertakbir untuk terus menghambakan diri kepada Illahi. Syukur dalam nikmat. Ujian ini hanya sekelumit daripada proses pengampunan dosa. Kepada rakan-rakan yang mungkin terasa dengan cerita ini, aku mohon maaf banyak-banyak.






SAKIT ITU MUHASABAH


terlantar di ranjang kesakitan
air mata adalah penawar
dan teman yang paling memahami
semuanya mengajar aku
takwil muhasabah dan takdir
tafsir ujian dan kekuatan
selapis iman yang nipis

saat ini
cermin yang setia di sisi
kurenung penuh mendalam
dan setiap kali menyolek diri
yang terpamer adalah
seberkas dosa berwajah kesilapan
dan setiap kali ketika cuba memadam kesilapan
yang kurasai adalah bahang kepedihan

ketika resah menujah di perbaringan
sebuah ranjang dan sebingkai cermin
adalah semiotik kesakitan
yang tidak pernah berdusta

terima kasih ya Rabb
yang mengirimkan kesaktian
untuk aku memahami makna sihat.

shamsudin othman
madrasah sham aljohori,
kuala lumpur.

19 muharam 1428H

ii
Cerita Hikayat Politikus Terompah akan disambung kemudian kerana aku tidak berdaya menaip terlalu lama. Sakitnya sesekali menggigit ke tulang. Doakan agar aku segera sembuh.





2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sdr. Sudin,
Tabahlah merasa kesakitan, kerana kesakitan itu pengimbang kesejahteraan yang sekian lama kita nikmati. Malang tidak berbau, dan sesiapa sahaja akan terdedah kepadanya, waima kita terlalu menjaga langkah dan hala tuju. Semoga cepat sembuh.
Dr. Ghazali Lateh

Unknown berkata...

Moga diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi cubaan.

Moga segera sembuh!