Jumaat, 25 Julai 2008

ANTARA MUZAKARAH DAN MUQABALAH: MOGA TAKDIR MENYELAMATKAN KITA

Pak Lah bersumpah di hadapan DYM Agung.
Inilah janji yang perlu ditunaikan

''SYUKUR ALHAMDULILLAH''.

Hati kecil saya ikhlas melafazkan ungkapan ini apabila mendengar berita bahawa PAS dan UMNO sanggup membunuh ego masing-masing dan bersedia untuk duduk bersila memulakan muqabalah bagi membincangkan kepentingan Islam dan umat Melayu negara ini. Saya sentiasa melihat dan merung ke dalam diri sendiri akan nasib bangsa yang seakan 'melukut di tepi gantang' atau seperti yang selalu saya andaikan sudah cukup derita 'menyalak bukit'. Mungkin ini suatu permulaan untuk membetulkan kesilapan masa lalu.

Dalam juzuk waktu yang benar-benar berjungkir balik ini, saya bukanlah penyokong mana-mana parti politik. Namun demikian saya juga bukan tidak memiliki parti. Sebagai rakyat yang merdeka saya perlu membuat pilihan sendiri dan pilihan parti saya adalah yang berteraskan kebenaran dan kejujuran. Keikhlasan dan ketakwaan. Keberanian dan kesenimanan.

Nah, pertemuan ini punya makna yang tersendiri, meskipun dapatan daripada kesimpulan itu mungkin terpaksa menidak dan menafikan hak keegoan masing-masing. Tetapi, sebagai seorang Melayu beragama Islam, saya menakrifi pertemuan ini adalah peristiwa bermakna bagi orang Melayu.

Moga dalam pertemuan yang sedang berlangsung dan akan berterusan ini, saya berharap air mata kesyukuran yang menitis ini akhirnya menyedarkan pemimpin-pemimpin Melayu bahawa kesepakatan adalah tunjang yang amat padu dalam membina sebuah negara bangsa. Pengorbanan adalah rasa tangguggjawab yang tiada tolok bandingnya.

Sekian lama lara dan derita dalam perjuangan, saya melihat pemimpin-pemimpin PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nasarudin Mat Isa dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan mereka dalam soal ini. Tokoh-tokoh ini sanggup mengetepikan perbezaan ideologi politik demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Sebagai parti Islam PAS bersedia dan sanggup turun padang untuk menyabut salam UMNO. Sesungguhnya, inilah antara tindakan mulia di sisi Islam. Berjabat tangan sambil berlaga pipi kemudian berdakap tubuh kembali, merupakan manifestasi ukwah yang mungkin terungkaikan.

Saya berharap, muqabalah antara UMNO dan PAS ini akan berterusan dari semasa ke semasa dan tidak berhenti selepas UMNO rasa berjaya dan dapat menongkat langit pemerintahan negara. Kerjasama dan semangat saling membantu perlu berlanjutan tanpa mengira musim sakit atau sihat; tenat atau selasa. Percaturan saat duduk semeja demi membincangkan masalah orang Melayu dan Islam serta mengelakkan sebarang perbalahan adalah titik-bengik perjuangan. Apa yang penting ialah pada masa yang sama, diharapkan semua orang Melayu akan memberi sokongan padu kepada usaha ini dan tidak membuat tafsiran negatif terhadap apa yang dilakukan oleh kedua-dua pemimpin UMNO dan PAS. Perbezaan fahaman politik Melayu hakikatnya diikat oleh kesatuan akidah Islami. Dan kerana itulah, bangsa Melayu perlu bersatu dalam satu pasukan demi mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu.

Saya berharap agar muqabalah UMNO dan PAS ini akan dapat mengembalikan kekuatan orang Melayu yang kian runcing dan genting setelah dilanda tsunami PRU-12 beberapa purnama sebelum ini.

Bertanyalah kepada diri sendiri setelah kepimpinan tertinggi PAS dan UMNO duduk semeja; bagaimanakah pendirian kita?

Inilah hikmahnya kenapa Allah SWT menciptakan syurga dan negara.

Tiada ulasan: