Jumaat, 12 September 2008

TERPERANJAT ATAU KETAKUTAN...


Tajuk dua akhbar perdana hari ini menggemparkan. Demikianlah apabila PM menyatakan keterkejutannya apabila orang kanannya seperti menikam dari belakang (bukan main belakang). Inilah sandiwara politik tanah air yang memungkinkan rakyat kian muak dan loya. Apakah yang dicari atau dikejar oleh kepimpinan negara hari ini? Saya sering tertanya atau sesekali mencari-cari jawapan daripada banyak pertanyaan yang tidak pernah terungkai.

Tanpa ingin mempersoalkan hala tuju dan gagasan perjuangan mereka, saya yang terlalu miskin 'ilmu dan permainan politik' ini mula takut dengan suasana masa depan dan angka 16 dalam fikrah september dan ramadhan. Mungkinkan pada malam mulia turunnya Al-Quran ke bumi Allah ini, dan juga tarikh keramat tertubuhnya Kerajaan Malaysia iaitu 16 Ramadhan dan 16 September ini kita akan berhadapan dengan sebuah gagasan baharu?

Sempena Ramadhan yang penuh barakah dan sewaktu kita berada dalam fasa ke-2 ramadhan iaitu fasa marfirah (keampunan), negara kita pula sedang berada dalam kemelut yang tidak saling memaafkan sesama insan atau saudara seIslam. Saya juga teringatkan kisah Perang Badar yang berlaku pada bulan ramadhan dan banyak lagi kisah perang dan pembunuhan yang terjadi dalam sejarah tamadun Islam.

Nah, adakah hari ini, kita sedang/ akan berhadapan dengan perang politik atau kuasa sempena mengimarahkan ramadhan yang mulia ini? Wajarkah peperangan kuasa itu berlaku dalam waktu yang tidak memungkinkan roh kemuliaan ramadhan yang penuh benih kasih sayang, kecintaan dan taubat? Apakah kita tidak melihat kesuburan ramadhan ini dalam fikrah dan bitara yang tulus?

Inilah yang dikatakan, apabila nafsu kuasa/ amarah menguasai diri, makanya seluruh kemuliaan dan kebaikan itu akan terkubur.

Saya teringatkan abah dan emak di kampung yang sentiasa berdoa untuk kedamaian, keharmonian dan kebahagiaan anak-anak mereka. Biaanya pada waktu-waktu ramadhan begini, emak dan abah tidak akan lekang daripada sejadahnya untuk menunaikan sebanyak solat sunat bagi mendapatkan tingkat marfirah yang tertinggi.

"Ya Rabb, perkenankan doa kedua-dua ibu bapaku dan ampunkan dosa mereka serta orang yang berpegang kepada tali iman dan syahadah-Mu. Ya Rabb, selamatkan tanah airku daripada mala petaka yang akan membinasakan keimanan dan ketakwaan. Ya Rabb, hanya kepada-Mu seluruh jiwa dan raga ini aku serahkan." Amin.

2 ulasan:

bahazain berkata...

ASM dan Salam Ramadan Sdr Sham,
Banyak sekali yang berlaku sepanjang Ramadan ini, semoga Tuhan telah melimpahkan rahmatNya dlm batin kita, dan mengampuni dosa-dosa kita sekarang. Seraya menunaikan suruhan Tuhan kita tak dapat ceraikan keprihatinan kita daripada tindakan2 yg memudaratkan maruah kita sebagai umat Islam. Dalam Ramadan berlaku perang Badar. Apakah kita sekarang sedang berada dalam peperangan berbentuk yg lebih ringan berbanding perang Badar? Ini bulan yg terbuka pintu syurga, pintu taubat dan doa. Mari kita berdoa sambil berjuang. Doa juga adalah senjata besar bagi kita yg tak dimiliki oleh Teresa Kok atau Samy Vello. Generasi muda angkatan sdr akan menjadi pengganti generasi Samad Ismail, Keris dan Sako. Yakinlah, kalau untuk bangsa-agama Allah dan malaikatNya selalu di sisi.Jangan khuatir.

sham al-Johori berkata...

Assalamulaikum wbk Dato Baha,
Terima kasih atas ingatan. Semuanya itu akan saya jadikan ikhtibar dalam sebuah kembara yang masih belum berpenghujung.