Selasa, 9 September 2008

KEMBALINYA SEORANG WIRA KE NEGERI ABADI


SALAM RAMADHAN.

Saya melayari blog rakan-rakan pejuang bahasa dan sastera juga rakan-rakan wartawan beberapa hari ini. Mereka banyak berkisah tentang kesedihan dan kehilangan wira Tokoh Kewartawanan Negara pada tanggal 4 September 2008. Syukur kerana tokoh ini bergelar Allahayarham pada malam penghulu hari iaitu hari jumaat dalam bulan ramadhan yang amat mulia ini. Kehilangan ini menjadi nokhtah dalam jungkir balik perjuangan seorang wartawan yang dapat melihat kanca politik tanah air sebelum merdeka hinggalah usia kemerdekaan negara kita menjangkau 51 tahun. Perjalanan negara sepanjang dan selama itu dikuburkan bersama-sama jasadnya. Pengalaman itu menjadi rahsia yang terus tersembunyi dalam lahad dan tanah. Dan, pengalaman itu didakap abadi tanpa ingin dikongsikan kepada kita yang masih hidup kerana mungkin (?) Allahyarham berfikiran bahawa nasib bangsa, bahasa dan agama telah jauh terpesong daripada jati diri dan fitrah Allah. Allayahraham membawa semuanya itu ke negeri abadi dengan rahsia yang sukar dimengertikan.

Demikianlah berakhirnya sebuah kehidupan pejuang bahasa dan sastera bangsa Melayu. Justeru Allahyarham bukan pejuang politik dan atau kuncu juak-juak penzalim bangsa dan bangsa, makanya jasad itu tidak disemadikan di Makam Pahlawan. Akhirnya, kita dan dunia dapat melihat satu bukti bahawa Allahyarham adalah wira yang disingkir kemudian dinafikan perjuangannya oleh pemimpin bangsanya sendiri.

Oleh itu, kita perlu menjadikan kisah ini ikhtibar kepada diri kita. Di mana dan bagaimanakah nasib akhir hayat kita nanti sebagai pejuang bangsa? Jika nama sebesar Tan Sri A. Samad Ismail pun telah dilupakan oleh sejarah, inikan pula nama kita yang hanya menjadi penyisip dalam sejarah bahasa dan bangsa yang kian keliru.

Saya melihat 'kerakuan' dan 'kezaliman' kian bermaharajalela. Kuasa telah menakhluki kebijaksanaan. Dan kebitaraan telah mati dalam diri kuasa orang Melayu. Inilah yang dikatakan Allahyarham 'Jika kail panjang sejengkal jangan diduga lautan yang dalam'. Falsafah ini mengingatkan saya bahawa orang yang tiada kail hari ini pun sanggup mengukur lautan demi kuasa yang ada pada mereka.

Sama-sama kita berdoa agar rohnya dicucuri rahmat Allah SWT. AL-FATIHAH.

Tiada ulasan: