Isnin, 3 November 2008

SALAM PULANG DARI KEMBARA


M. Saleeh, Rahimidin, saya, SM Zakir dan Saifullizan di halaman rumah Sun Yet Sen, Shanghai, China.
i
Perjalanan saya kali ini lebih banyak santai daripada berfikir. Maksud saya, saya dan rakan-rakan masih mengekalkan rukun iman sebagai prinsip kembara. Saya mungkin sedikit seronok tetapi sedikit juga gusar kerana terpaksa berhadapan dengan satu bangsa besar yang tinggi tamadunnya. Ya, ketika menjejaki kaki ke tanah Shanghai, Hangzhuo dan Wuzean, semuanya banyak mengajar saya berfikir secara bitara. Perjalanan kali ini mendekat dan mengakrabkan lagi kepercayaan antara kami (M.Saleeh, SM Zakir, Rahimidin, Amiruddin Ali dan Saifullizan). Banyak yang kami lihat dan banyak pula yang kami baca meski amat sukar untuk bertemu dengan askara roman di tanah tembok besar itu. Keupayaan bahasa Inggeris kami menjadi tidak bermakna di tanah itu. Meski kami boleh berbahasa Inggeris itu dengan baik tetapi rakyat negara itu mengajar kami bahawa bahasa itu tidak diperlukan di negara itu. Bicara kami seperti komunikasi ayam-itik.

Inilah sebuah tamadun bangsa yang percaya kepada jati diri dan prinsip kebudayaan sendiri. Mereka tidak pernah mengangkat, mengagung atau memuja sesiapa waima kuasa besar dunia barat. Mereka berpegang kepada prinsip 'kita adalah kita'. Mereka tidak sanggup berlaku perkongsian kuasa. Mereka menentang dasar liberalisasi meski pernah mendoktrinkan komunis. Bangsa mereka memiliki keyakinan tinggi untuk berjuang dengan titik peluh dan akal sendiri. Mereka punya seribu cara untuk memikat kuasa dunia supaya tunduk kepada mereka. Mereka pelihara alam sekitar, mereka jaga moral dan maruah, mereka menyintai pembangunan dan mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan tradisi dan tamadun.

Kita perlu belajar daripada cara mereka berfikir. Sesampai di kota Shanghai, kota yang dihuni hampir 20 juta penduduk dengan pembangunan mencakar langit yang dibina dalam waktu 15 tahun itu benar-benar mengasyikkan. Bayangkan, hanya dalam jangka waktu 15 tahun Shanghai boleh menjadi kota keempat terpenting di dunia dalam bidang perdagangan antarabangsa. Penobatan ini berlaku tanpa mereka mendewakan bahasa Inggeris pun. Mereka menjadi kuasa ekonomi dunia baharu tanpa bersandar kepada pemikiran barat. Malah kesan daripada kekuatan jati diri itu, makanya kuasa-kuasa besar dunia hari ini mula tunduk untuk menjadikan China rakan kongsi yang paling dipercayai. Di China, saya menemui orang Inggeris, Perancis, Jerman, Itali dan Amerika yang fasih berbahasa China. Dalam satu perbualan santai di sebuah kaki lima restoran Islam, orang Amerika itu dengan ikhlas berkata, "di sini mereka tidak menerima bahasa Inggeris." Saya mengangguk sambil bertanya kepada diri sendiri, "kenapa di negara saya hal seperti ini tidak berlaku?"

ii
Seminggu tiada di tanah air, banyak perkara yang mengejutkan berlaku. Pertamanya ialah tentang orang-orang penting yang berada di dalam Kementerian Pelajaran bermula daripada menteri hinggalah kepada pegawai-pegawai kanannya. Masakan mereka tidak sedar akan sukatan dan nasib mata pelajaran Sejarah di sekolah hari ini? Apabila timbul isu kontrak sosial, makanya sukatan pelajaran itu terpaksa dinilai untuk dirombak semula. Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Adakah sejarah yang dipelajari di sekolah hari ini itu satu sejarah yang tidak jujur atau dalam makna ilmiahnya ialah 'pemesongan sejarah' telah atau sedang berleluasa? Di manakah kredibiliti para jemah menteri dan pemimpin KPM itu? Bagaimanakah cara mereka berfikir? Isu bahasa dan budaya yang menjadi teras perlembagaan negara selama ini pun masih belum selesai kini KPM berhadapan pula dengan isu sejarah bangsa?

Siapakah yang perlu dipersalahkan? Jika dahulu saya belajar mata pelajaran Tawarikh, Ilmu Alam, Sains Panduan, Ilmu Hisab dalam Bahasa Melayu, saya tidak pernah menuntut lebih daripada itu sebab saya diberikan jati diri yang baikdan kental oleh guru saya ketika itu. Tetapi sistem pendidikan hari ini yang dibekalkan oleh guru-guru yang sekerat Melayu, sekerat Inggeris dan sekerat lagi buta budaya maka yang terlahir daripada sistem itu ialah generasi yang kosong dan hilang punca jati diri. Yang dilahirkan oleh guru-guru hari ini ialah generasi yang keliru kontrak sosial dan sejarah bangsa mereka.

Malah, terus terang saya katakan bahawa selama ini saya sering berkata kepada anak-anak saya yang mereka perlu belajar Bahasa Melayu bukan bahasa Malaysia. Saya tidak yakin bahasa Malaysia dapat membentuk sahsiah dan moral orang Melayu. Saya juga tidak yakin bahawa bahasa Malaysia punya roh dan semangat yang jitu untuk membudayakan bangsa dan masyarakat. Bagi saya, hanya Bahasa Melayu sahaja yang dapat menyelesaikan masalah orang Melayu khususnya pemimpin Melayu yang sedang berhadapan dengan krisis identiti ini.

Kita perlu sama-sama mengakui kesilapan yang sedang membusung dalam perjalanan bangsa Melayu hari ini. Jika perlu, kita wajib segera membetulkan kesilapan lalu tanpa menuduh mana-mana pihak. Mari kita jernihkan yang keruh dan kita telan yang patih itu.

Kita perlu membina satu budaya fikir yang berteraskan bitara Melayu. Mari kita buang jauh-jauh semangat gelojoh Melayu atau roh kerakusan demi perut sendiri.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum Sdr Sham,
Selangkah kita mengembara, sebatu alam terbentang.Dunia menjadi lebih saujana pada saat mata hati kita terbuka luas. Tepat sekali kembara ke Shanghai itu sangat menginsafkan bukan saja tamadun orang, tetapi juga masalah tamadun kita.Shanghai kota moden yg tak tertawan oleh kebaratan. Beijing masih kekal kota pentadbiran dan budaya; dan manusianya yg saya pernah akrab memandang rendah kpd Cina sebelah selatan yg katanya kurang budaya & halus; lebih mementingkan keuntungan benda. Jenis itulah yg malah menyerap masuk dlm falsafah elit Melayu .Mari kita menulis terus
menjadikan budaya bangsa canggih dan berakal budi serta manusiawi.

Tanpa Nama berkata...

Salam,
kembara memang banyak menginsafkan kita tentang 'diri' dan kemelayuan 'tanah ibonda' yang kononnya kita warisi...

Tanpa Nama berkata...

Salam,
memang kehidupan ini terpaksa menuntut banyak kepahitan daripada keenakan dan keselesaan, tapi
kalau kita di pihak yang 'berada'
atau 'berkuasa'. patut-patutlah....

Tanpa Nama berkata...

salam
cikgu.. dh lama cari blog cikgu... akhirnya dapat jugak... semoga semuanya baik2 belaka

baizura aka azura
asb kelana jaya
spm 2001