Rabu, 19 November 2008

salam daripada bekas anak murid ...

SALAM KEPADA SEMUA ANAK MURID SAYA YANG BERADA DI PERANTAUAN.

Semalam, saya menerima email panjang daripada bekas pelajar saya ketika saya mengajar di SAS (Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur) pada tahun 2000. Dia kini berada di Jepun, tahun akhir dalam bidang kejuruteraan submerin. Emailnya panjang dan antara intipatinya ialah dia kecewa apabila melihat beberapa dasar Kementerian Pelajaran Malaysia yang mula tergelincir daripada landasannya. Dia membayangkan bahawa apakah yang akan terjadi 10 tahun akan datang kepada dasar KPM yang tunjangnya mesti berteraskan bahasa Melayu itu diperkotak-katikkan oleh agenda politik negara? Dia berkisah juga tentang kerajaan Jepun yang tidak berkompromi langsung dengan bahasa Inggeris dalam hal-hal pendidikan kecuali ekonomi dan hubungan antarabangsa.

Bekas pelajar saya bertanya begini; apakah KPM terlupa kepada dasar Penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seperti KMKK (MCKK), SAS, Sri Puteri, KTK (TKC) dan lain-lainnya? Bukankah dengan pembinaan sekolah ini maka ramai anak-anak Melayu daripada kawasan pedalaman dapat melanjutkan pelajaran hingga akhirnya menjadi menteri dan orang bergelar? Semuanya itu terbina dengan asas dan roh jati diri bahasa Melayu. Bekas pelajar saya meneruskan kebimbangan dengan agenda-agenda yang kian tidak menentu kerana dia melihat daripada luar akan nasib bangsanya sendiri yang sedang terumbang-ambing.

Gambar di atas adalah gambar kirimannya. Frasa 'Silence is not an option' (dengan izin) adalah pengakuan jujurnya setelah melihat jatuh bangunnya nasib perjuang-pejuang bahasa tanah air yang tidak pernah diberi ruang dan keselesaan untuk berbicara.

Saya masih belum membalas emailnya kerana saya sedang berkira-kira antara wajar dan tidak wajarnya saya berterus terang akan nasib bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara hari ini. Banyak yang terpaksa saya fikirkan sebelum bertindak semberono atau ikut kata hati.

Entahlah, saya sendiri tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh menteri dan orang-orang penting dalam KPM sekarang ini? Kadang-kadang ingin sahaja saya menasihatkan mereka agar tukar sahaja bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara kepada bahasa Inggeris sepenuhnya, termasuklah menukar bahasa Al-Quran kepada bahasa Inggeris. Mungkin ini nasihat keterlaluan atau tidak masuk akal, tetapi jika semuanya ingin diinggeriskan dan memikirkan tanpa bahasa inggeris, rakyat Malaysia akan mati kebuluran; makanya bertindak sedemikian adalah lebih baik. Selepas itu, tukarkan sekali status bangsa Melayu dalam kad pengenalan kepada bangsa inggeris; tukarkan juga nama-nama Melayu kepada nama inggeris dan adalah lebih baik lagi jika semua papan tanda di seluruh tanah Melayu ini digantikan dengan bahasa inggeris supaya orang cina, india, melayu dan lain-lain tidak akan marah-marah. Jika itu yang menjadi perkiraannya, maka jangan lupa tukarkan terus Perlembagaan Perkara 152 dan 153 itu.

Saya tidak marah kepada mana-mana pihak tetapi saya sering memikirkan bahawa saya ini timun dan mereka itu adalah durian, saya ini pipit mereka itu enggang, saya ini semut dan mereka itu raksasa. Walaupun ada yang berfalsafah sebagai 'saya ini semuat mereka itu babi' tetapi saya tidak tergamak berkata demikian kerana saya masih punya keluhuran dan masih berpegang kepada prinsip rukun negara 'kesopanan dan kesusilaan'.

Malam ini, mungkin saya akan membalas email bekas pelajar saya sambil cuba menasihatkannya supaya jangan menjadi manusia yang tidak mengenang budi kepada negara yang telah banyak membantu kejayaan masa depannya. Malah sejak dahulupun saya sering menasihatkan anak-anak murid saya supaya sedar dari mana asal kita, dari mana kita bermula dan menghormati orang yang sering membantu kita. Saya bersyukur kerana walaupun telah lama meninggalkan alam persekolahan tetapi bekas pelajar saya masih menghubungi saya dengan celotoh dan gambar-gambar yang penuh menginsafkan.

Akhirnya, saya teringatkan satu soalan yang disertakan oleh bekas pelajar saya itu. Soalannya ialah, "mahu ke mana hendak dibawanya sistem pendidikan negara kita hari ini?".

Saya tinggalkan pertanyaan ini untuk ditebaki oleh sesiapa.

Teringat kata Nabil si Juara Lawak itu, "lu fikirlah sendiri,".

Tiada ulasan: