Khamis, 2 April 2009

TAHAP 'KEBOLEHBACAAN' DALAM KEPIMPINAN PARTI



Dua minggu lagi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan bermula. Sama-samalah kita berkunjung ke sana sambil membeli sebanyak mana buku supaya kita menjadi manusia berilmu.

Untuk menjadi manusia (baca bukan orang), kita perlu punya ilmu di dalam akal dan kepala (baca bukan kepala lutut). Islam meletakkan kemuliaan manusia ialah melalui perkiraan ilmu. Dan sudah tentu ilmu yang baik dan bermanfaat itu adalah iman. Iman dan ilmu adalah satu kesatuan dalam keseluruhan tindak tanduk manusia. Maknanya, manusia yang beriman adalah manusia yang berilmu; dan manusia yang berilmu adalah juga manusia yang beriman.

Ilmu, iman dan membaca merupakan konotasi maujud dalam makna istilah 'iqra'. Bercakap tentang 'iqra' dalam ilmu pendidikan khususnya akan menghubungkan pula dengan konsep 'kebolehbacaan'. Konsep ini merupakan satu konsep yang mengukur sejauh mana seseorang pembaca itu dapat menguasai bahan bacaan yang dibacanya. Dalam makna yang lebih mudah ialah menguji tahap penguasaan kefahaman pembaca. Jika pembaca dapat mengambil ikhtibar terhadap bahan atau teks, itu bermakna tahap 'kebolehbacaan' manusia itu tinggi.

Hari ini, sejauh mana pemimpin politik tanah air khususnya umno menguasai tahap 'kebolehbacaan' Al-Quran dan Hadis? Kenapa saya memilih UMNO tidak PAS, PKR atau DAP? Sebabnya mudah iaitu UMNO kini menerajui negara. Oleh itu, ada lebih baik merekalah yang perlu memahami konsep 'kebolehbacaan' ini terlebih dahulu. Dalam perkiraan mudah saya begini; sebagai sebuah negara Islam (baca ikut perlembagaan bukan pelaksanaan) tentunya adalah wajib ilmu dan sistem pemerintahan itu berteraskan Al-Quran dan Hadis. Inilah yang diharap-harapkan dalam kita membina sebuah gagasan baru yang berorentasikan muzakarah dan bai'ah.

50 tahun berlalu, sejarah Islam di Malaysia yang berkembang dalam ruang yang terpisah-pisah iaitu politik lain; agama lain (baca sekular liberalisme) dilihat sukar dibendung malah kian menjadi-jadi secara terkawal dan terancang. Jika ditanya bagaimana boleh berlaku? Jawapan yang mudah kerana rakyat di negara kita pelbagai kaum dan pemimpin yang memerintah perlu berfikiran seperti 'tarik ramput dalam tepung; rambut tak putus dan tepung tidak terbongkar'.

Nah, pandangan yang baik jika dibahaskan dengan akaliah! Tetapi sejauh mana mereka sanggup berdiskusi dengan akaliah? Yang pernah berlaku ialah diskusi dengan emosi dan nafsu amarah.

Lalu, kenapa dan apa pula kaitannya yang timbul dalam isu akaliah dan nafsu amarah ini? Semua ini berpunca daripada konsep 'kebolehbacaan' tadi. Manusia yang berdaya fikir rasinoal, positif dan terbuka sentiasa membuka ruang ilmu dan iman bercambah dan subur. Sementara yang mempunyai tahap 'kebolehbacaan' rendah sudah tentu menutup kesuburan ilmu untuk berkembang malah membuka ruang nafsu amarah seluas-luasnya.

Siapakah yang dikatakan sempit atau berdaya rendah tahap 'kebolehbacaan'nya itu? Bukan itu sahaja, manusia yang beriman dan berilmu adalah manusia yang boleh menjadi imam ketika solat.

Bertanyalah kepada diri kita sendiri, sudah bersediakah kita untuk mengimamkan solat rakan-rakan atau penyokong atau rakyat seluruhnya? Dalam konteks yang lebih luas, imam ialah pemimpin. Dan untuk menjadi seorang imam (pemimpin) yang baik tentunya imam itu juga perlu mempunyai penguasaan tahap 'kebolehbacaan' yang tinggi.

Oleh itu, di Malaysia, imam (pemimpin) adalah Melayu. Melayu adalah Islam. Islam tentunya bergantung kepada mukjizat rasulullah iaitu Al-Quran dan Hadis. Makanya terjawablah kekusutan kita selama ini jika diselusuri persoalan kenapa Islam di Malaysia hanya layak digelar Islam ada hari (baca bukan Hadhari). Dan, dengan cahaya yang sudah terang lagi bersuluh, inilah yang dinamakan kecelaruan di dalam kekusutan.

Selamat berkunjung ke Pesta Buku Kuala Lumpur untuk mencari dan menambah tahap 'kebolehbacaan' kita. Saya dan rakan-rakan penulis lain turut berkira-kira juga untuk ke Pesta Buku Jakarta Jun ini dan ke Pesta Buku Frankfurt, German.

Mudah-mudahan Allah makbulkan doa ini demi makna 'kebolehbacaan' untuk membetulkan diri saya sendiri.

3 ulasan:

D'Rimba berkata...

Yelah, mereka semua sibuk integritila apala semuapun sibuk ke sesuatu yang beracuan barat, macam mana pulak dengan latarbelakang agama dia, bolehke dia menjadi imam yang sempurna dan sejauh mana memanfaatkan ayat Al Quran dalam setiap ucapan mereka. Itu semua perkara paling asas menjadi pemimpin berwibawa kerana Allah.

benuasuluk berkata...

syeikh,
puak-puak menatang beruk tu mana ada tahap kebolehbacaan.

teratai berkata...

Saya akan berkongsi dgn rakan2 bagi mengisi satu slot pembentangan kertas tentang karya asing...seminar penerbitan ilmiah ini diadakan pd 17-19/4/09 di Puteri Pan Pacific sempena Pesta Buku ini.