
SEMALAM, bersama-sama Dato Baha Zain, Mohamad Saleeh Rahamad dan S.M. Zakir, kami diundang ke Majlis Pelancaran Koleksi Buku Terjemahan Siri Sastera Malaysia di Hotel Shangri-La, Putrajaya anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Majlis yang meriah dengan sembang santai antara sasterawan negara, penerima anugerah S.E.A. writte dan beberapa manusia bukan penulis yang hipokrit (baca ambil kesempatan) dilayan sebaiknya oleh pengajur untuk berdiskusi santai dengan TPM Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Tahniah kepada ITNM atas usaha penganjuran yang penuh bermakna ini. Pengajaran daripada majlis yang hebat ini menimbulkan tanda tanya kepada diri saya iaitu, adakah ITNM telah mengambil alih peranan/ fungsi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)? Saya tinggalkan persoalan ini kepada DBP untuk menjawabnya.
Berbalik kepada majlis ini, TPM sempat mengumumkan agendanya untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku seperti Frankfurt, Jerman. Saya petik sepenuhnya berita yang tersiar di dalam Utusan Malaysia tanggal 2o Mei 2009 ini.
PUTRAJAYA 19 Mei – Kota Buku bakal diwujudkan di ibu negara menjelang akhir tahun ini untuk membuka ruang kepada penerbit dan penulis memasarkan hasil karya mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, projek itu yang diselenggarakan oleh Kementerian Pelajaran akan mengumpulkan para penerbit, penulis dan pengedar buku beroperasi di bawah satu bumbung.
Menurutnya, bangunan untuk tujuan itu sudah dikenal pasti dan kerja-kerja pengubahsuaian dengan kos kira-kira RM20 juta akan dimulakan tidak lama lagi dengan sebahagiannya dijadikan Muzium Guru manakala sebahagian lain sebagai Kota Buku.
“Kota Buku akan memberi peluang kepada Kuala Lumpur menjadi pusat penerbitan, penulisan dan pengedaran buku.
“Ia merupakan satu projek untuk memberi galakan dan dorongan bagi memajukan bidang penerbitan dan kesusasteraan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pertemuan dengan para sasterawan negara di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sukatan pelajaran sastera di sekolah akan digubal dari semasa ke semasa dalam usaha meningkatkan bidang sastera tempatan menerusi sistem pendidikan.
Jelasnya, antara langkah yang akan diambil adalah mengenal pasti jenis-jenis buku yang boleh digunakan di sekolah sebagai bahan sastera baru.
Muhyiddin sebelum itu melancarkan koleksi 28 judul buku terjemahan siri sastera Malaysia.
Ia merupakan sebahagian daripada 100 karya yang diterjemah ke pelbagai bahasa oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang dijangka selesai pada penghujung 2010.
Sebanyak 23 daripadanya diterjemah ke bahasa Inggeris, empat bahasa Perancis dan satu bahasa Sepanyol.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Md. Dom; Pengerusi ITNM, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh dan Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron.
ii
Selamat menjadi Kota Buku Kuala Lumpur, selepas bulan lalu Kuala Lumpur turut terpilih sebagai Bandar Raya Kebudayaan Islam.
Sebenarnya impian untuk melihat KL sebagai kota buku telah terilham di fikiran saya ketika saya mewakili Malaysia ke Pesta Buku di Frankfurd, di Jerman pada tahun 2002 atas tajaan Majlis Buku Malaysia (MBKM) yang membawa buku saya 'Siri Sastera Astronomi' (2002:UP&D), iaitu buku cerita kanak-kanak bergambar .
Saat itu, "alangkah indahnya jika kota KL boleh dijadikan sebuah kota ilmu," bisik hati kecil saya.
Saat itu, saya melihat buku-buku dan kedai-kedai buku berderet-deretan di bangunan antik yang purba. Semuanya tersergam indah dalam warisan bangunan yang terpelihara. Mengkagumkan.
Itu kenangan masa lalu yng indah dan semalam gagasan kota buku terjelma pula di KL. Imbauan itu benar-benar menyentuh hati nurani saya.
Begitupun ada sesuatu renta yang menarik untuk saya polimikkan di sini. Adakah gagasan muluk itu hanya satu gula-gula untuk mengaburkan harapan memansuhkan PPSMI oleh TPM atau UMNO? Kebimbangan saya seperti yang dikatakan oleh S.M. Zakir sewaktu meredah pulang ke Rumah PENA dalam renyai gerimis ialah, "itu semua konon-konon nak pujuk hati sasterawan aja. Cakaplah apa yang nak dicakapkan. Janji taruk tetap taruk."
Di rumah PENA, selesai solat asar, kami masih berdiskusi tentang sebuah lakonan ataupun pementasan baharu.