Isnin, 11 Mei 2009

KL: SEBUAH KOTA RAYA KEBUDAYAAN ISLAM


Wajah KL. Di manakah Masjid Negara?

PENGIKTIRAFAN ini benar-benar memeranjatkan saya. Seorang teman yang lebih mauduk dalam hal-hal kebudayaan dan kesenian Islam kerana diamanahkan oleh kerajaan untuk mentadbir urus hal-hal kesenian dan kebudayaan negara terperanjat dengan penobatan ini. Bayangkan, apa yang sedang melanda siasah pentadbiran negara hari ini; sebahagian manusia mencipta penobatan manakala sebahagian lagi terpinga-pinga dengan kegahan itu. Aneh sekali kerana pekerja-pekerja bawahan tidak tahu bagaimana kerja-kerja juak atasan. Tanpa angin sementalahan musim panas (panas cuaca, panas politik, panas parlimen dan panas di mana-mana) yang sedang melanda negara sekarang ini; tiba-tiba kita dikejutkan dengan pengiktirafan yang benar-benar memeranjatkan.

Kenapa kita bercakap tentang soal-soal KL dan kebudayaan Islam? Bukankah Islam itu syumul dan yang paling tunjang adalah undang-undangnya mesti berteraskan al-Quran dan hadis? Banyak persoalan yang bersimpang siur di lubuk kalbu. Sejauh mana KL melaksanakan undang-undang Islam ini? Jika ya, kenapa bohsia, mat rempit, pelacur, guy, lesbian, dadah, arak, judi, kelab malam, dan lain-lain jenayah masih berpusat di KL? Wah, hebat sungguh kota KL dengan pengiktirafan ini rupa-rupannya!

Secara tersiratnya bermakna, dunia telah memberi lesen menghalalkan maksiat di sebuah kota raya bernama KL. Apakah dengan kehadiran Raihan, Rabbani, Inteam, Hijjaz dan lain-lain itu KL telah bertukar wajah? Filem Islamkah kalau filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam menjadi tayangan wajib di pawagam utama tanah air? Inikah kebudayaan dan kesenian Islam yang ingin ditonjolkan kepada dunia Islam luar? Tanpa berniat untuk membelasah filem ini, saya merenung kembali pengiktirafan yang cukup gah ini apatah lagi KL menjadi kota terpilih selepas
Baku (Republik Arzebaijan), Khairouan (Tunisia), dan N'djamena (Republik Chad).

Terus terang saya katakan bahawa pengiktirafan ini tidak cukup dengan kita memiliki Muzium Kesenian Islam, Pusat Islam, Bank Islam, Pengeluar Makanan Halal Islam, dan memiliki masyarakat Islam yang pelbagai kaum. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dengan semasak-masaknya; contohnya bagaimana dengan kesusasteraan Islam yang suatu waktu dahulu hebat di rantau ini? Di manakah karya-karya sehebat Hamzah Fansuri mahupun Amir Hamzah? Bagaimana dengan bidang seni tampak (lukisan dan ukiran) seperti karya Ahmad Khalid misalnya? Bagaimana dengan pengiktirafan berzanji, marhaban, dan kalimah zikir yang mula tenggelam dalam arus muzik underground?

Walau bagaimanapun, saya perlu melihat juga kepositifan pengiktirafan ini. Mudah-mudahan langkah ini akan mengubah KL menjadi satu kota budaya Islam yang syumul kerana jika tidak bermula hari ini, bila lagi? Mudah-mudahan juga KL akan berubah wajah kepada sebuah kota yang dapat menyaingi Madinah, Cardoba mahupun Basrah atau setidak-tidaknya Istanbul. Saya berdoa di dalam hati agar suatu hari nanti KL akan menjadi sebuah bandaraya yang tidak mempunyai maksiat atau terpadam istilah kota laroh'.

Sama-sama kita berdoa supaya Kuala Lumpur akan berubah wajah.

6 ulasan:

saleeh rahamad berkata...

Kalau islam sudah dijadikan alat pelaris politik...beginilah jadinya walaupun pelaris itu bukanlah intisarinya

Pencinta Pantai Bersih berkata...

Di bawah tanggungjawab tuan-tuan sasterawanlah yang patutnya memperhebatkan kesusteraan Islam setanding dulu. Ya, mungkin En Saleeh Rahamad, En Shamsudin Othman, En Faisal Tehrani, En S.M. Zakir, En Rahimidin, dll yang sepatutnya mengembalikan kegemilangan Hamzah Fansuri dan Amir Hamzah. Bagaimana? Boleh galas cabaran ini, tuan-tuan?

D'Rimba berkata...

Ya mudahan ramai penulis yang mempunyai nilai Islam yang kuat dapat dilahirkan mendidik anak bangsa seperti cikgu.....Sayapun kurang pasti aktiviti apa ya Muzium tersebut jalankan selain pameran yang sekadar di pinggiran....

edolah berkata...

Sham al-johori,
Licik kotaku bermain silap mata
seperti pemimpinnya juga
yangmenyihir rakyat dengan
retorika dan belit kata-kata...

- Puisi "Kota Silap Mata"

Luq Hakim berkata...

Kota Islam...kata kau

HASMORA MASNURI berkata...

Saya lihat..
pusat-pusat orang Islam sana sini
saya lihat..
muda-mudi Islam tak segan silu
peluk-bonceng hulu-hilir
saya lihat..
rata-riti di KL Islam Had-hari
saya lihat..
Islam had-hari anti babi
tapi saya perhati..
tak kurang hebatnya dengan mereka yang melantak babi..

Salam hormat tuan haji..