Jumaat, 5 Jun 2009

SELAMAT BERMUKTAMAR


Selepas mengucapkan selamat bersidang kepada UMNO, saya juga perlu mengucapkan selamat bermuktamar kepada PAS.

Slogan 'Pilihlah Pemimpin Beriman dan Bertaqwa' amat muluk didengar apatah lagi sebagai parti yang berpaksi dan berpayungkan kepada gagasan kesyumulan Islam. Semalam, saya dihujahi dengan panggilan telefon daripada rakan-rakan yang perjuangannya adalah hidup dan mati untuk PAS. Rakan-rakan dari kampung yang bergelar dan berjawatan tinggi itu memancing saya agar saya turut sama berjihad. Saya tidak memberikan jawapan ya atau tidak kerana pertamanya, kesihatan saya masih belum pulih sepenuhnya. Kedua, saya perlu menumpukan kerja-kerja PhD saya yang benar-benar mendesak (baca lebih kurang macam guru saya juga- En. Saleeh Rahamad: tapi dia ni otai sikit).

Oleh itu, saya hanya memilih untuk mendengar dan membaca berita persidangan itu daripada mana-mana sumber kedua sahaja. Saya tahu, keputusan ini amat mengecewakan rakan-rakan saya itu. Maafkan saya, sahabat. Begitupun, apa yang lebih menjadi keutamaan saya untuk menolak ajakan rakan-rakan saya itu ialah kesihatan saya. Sejak akhir-akhir ini, nafas saya sering tidak menentu. Ada rasa sengal pada bahagian kiri dada; selsema dan batuk; kurang selera makan dan pening-pening sering bersilih ganti. Badan menjadi lesu dan otak amat malas untuk berfikir. Entahlah. Mungkin ini dugaan atau sebahagian daripada ujian kehidupan? Atau juga peringatan kepada kehadiran hukum alam dan penentu kepada pengakhiran jasadiah.

Kepada rakan-rakan saya itu, selamat bermuktamar dan pilihlah pemimpin yang menjadi slogan kali ini. Saya sentiasa ingat pesan rasullullah Nabi Muhammad SAW iaitu;

Bukanlah yang paling baik dalam kalangan kamu orang yang meninggalkan dunia kerana akhirat, dan bukan juga meninggalkan akhirat kerana dunia; tetapi yang paling terbaik dalam kalangan kamu ialah orang yang mengambil kedua-duanya daripada dunia dan akhirat. Sesungguhnya itulah orang yang bertaqwa. (hlm. 11 dlm. Minhajul Abidin: 2005)

Saya amat berharap juga agar kepimpinan PAS dapat dikekalkan dalam tradisi berteraskan kepada kepimpinan ulamak. Golongan profesional (erdogan) pula, perlu hadir sebagai pendamping yang menjadi pelengkap kepada kesatuan organisasi. Tunjang dan pendamping adalah dua perkara yang berbeza.

Mudah-mudahan harapan saya dapat difahami oleh rakan-rakan saya itu.

Salam perjuangan. Takbir.

3 ulasan:

ali atan berkata...

Baik jahat pendamping menghalang perjalanan salik.Maksud ambil dunia dan ambik akhirat itu pandangan Al-Ghazali dalam pandangan makrifah bukannya dalam pandangan awam yang masih dibayangi nafsu nafsi. Ini mestilah difahami dengan hati bukannya dengan akal. Salam jumaat, salam berkat.

D'Rimba berkata...

Kita juga akan bermuktamar secara santai malam ini...hehehe.......

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,
Semalam ada Wacana Seni di Stadium Malawati sempena Muktamar ini, dengar katanya (serta mengikut laporan Harakahdaily) Mat Sabu terus aktif selaku deklamator dengan membawakan puisi tentang wanita Mongolia - dapat sambutan hebat. Maka... puisi makin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, bukan hanya tertumpu untuk orang yang sama-sama sahaja serta kelompok itu-itu sahaja... satu perkembangan positif untuk dunia puisi tanah air!