Khamis, 15 Oktober 2009

CERITA DARI TANAH SUMEDANG, BANDUNG 9-14 OKT 2009



Dua pemandangan indah sawah bukit daripada puncak Kampus UPI, Sumedang.
.
SAYA baharu sahaja pulang dari tanah Bandung. Hampir seminggu di Universiti Pendidikan Indonesia (UPI) kampus Sumedang, Bandung, saya seperti memasuki wilayah rindu kampung halaman yang amat indah. Perjalanan dari Bandung ke Sumedang memakan masa hampir empat jam dengan menyusur lereng gunung yang bersajikan pemandangan indah sawah bukit, ladang ubi (sinkong) dan jajaran kebun sayur. Bentuk muka bumi yang dingin dan alami, deruan sungai bukit benar-benar memukau kenangan zaman kanak-kanak desa tercinta.

Di Sumedang, saya menginap di hotel Puri Mutiara. Hotel ini yang berhadapan dengan Masjid Raya Sumedang, dipisahkan oleh jalan raya dan sebuah warung Bakso. Justeru, Sumedang tidak mempunyai 'mall libur' (pusat beli belah/ hiburan), makanya saya menghabiskan waktu maghrib dan subuh di masjid raya itu. Saya berasa amat nikmat kerana penduduk Islam di sini mengamalkan tarikat Muhammadiah. Selepas solat subuh, zikir 'selawat fatih' dan 'selawat tafrijiyah' merupakan amalan imani yang wajib. Saat itu, saya teringatkan gemulah moyang saya yang kedua-dua selawat ini tidak pernah lekang daripada bibirnya.

Empat hari di tanah Sumedang, saya bergegas ke kota Bandung. Menginap di Hotel Kedaton berhampiran gedung pakaian 'Pasar Baharu' tidak memaksa saya untuk berboros. Saya memilih untuk ke Bandung Book Center di Palasari. Rakan-rakan dosen saya lebih suka menghabiskan waktu di Jalan Gado, Jalan Riau mahupun pasar baharu yang menyajikan busana indah-indah juga berjenama. Sendirian di Palasari benar-benar dapat melepaskan rindu menguliti buku. Saya menyusur daripada satu rak ke satu rak mencari buku yang dipesan Rahimidin Zahari dan Zulfazlan. Dari satu kedai ke satu kedai hingga jam 3 petang, buku yang dicari masih tidak ditemui. Saya pulang juga dengan enam beg plastik yang sarat dengan kitab-kitab agama kiriman ayah. Saya memilih buku 'Tazkiyatun Nafs' karangan Sa'id Hawwa, kitab yang sejak dulu saya rindu-rindukan juga beberapa buku sastera ilmiah.

Sebelum pulang, ketika di bandara (airport), saya mencari-cari Dewi iaitu rakan kepada dosen saya. Dewi seorang mahasiswi UPI jurusan sastera yang berkerja sambilan di restoran. bandara itu. Rakannya memaklumkan bahawa Dewi sudah berhenti dan memulakan kuliahnya kembali.

Semalam, saya menjejakkan kaki di tanah air. Mendengar berita pada waktu malam, setelah enam hari tidak mengikuti perkembangan tanah air; saya disajikan dengan berita-berita Perhimpunan Agung Umno.

Paling memeranjatkan saya ialah apabila mendengar ulasan daripada buah fikir TPM tentang 4 rukun Umno iaitu, wahdatul fikr, wahdatul qalb, wahdatul amal dan wahdatul hadaf. Bukankah ini pemikiran al-Ghazali yang diubahsuai daripada Ihya Ulumuddin. Gila betul orang Umno ni, mengmabil buah fikir orang lain tanpa memberikan pengiktirafan kepada pemikir asal adalah satu jenayah. Gila, gila, gila.... Dan yang paling mengilakan ialah kenapa TPM tidak menggambil prinsip (rukun) wahdatul Iman oleh al-Ghazali itu. Adakan TPM menolak hal-hal yang berkaitan dengan iman (akidah) Islam di dalam gagasannya. Bagi saya, sekiranya pemimpin itu berjaya mendaulatkan wahdatul Iman, maka keempat-empat rukun wahdatul TPM itu akan menjadi lebih bermakna dan sukses. Kenapa masih ada manusia yang takut memperjuangkan gagasan iman?

Saya mencuri dengar bagaimana bicara-bicara pemuda dan puteri umno di layar tv. Entahlah, saya menjadi keliru dengan idea-idea yang digagaskan meski tidak saya nafikan banyak yang baik jika berjaya dilaksanakan. Yang mengelirukan saya ialah kenapa pemuda masih takut akan bayangan Anwar Ibrahim (DSAI)? Bukankah manusia itu telah dibunuh oleh Umno? Meskipun dia tidak mati tetapi bayang-bayang kehebatannya masih ditakuti. Inilah yang mengelirukan saya, takut kepada bayang-bayang yang dicipta sendiri. Saya bukan penyokong DSAI, tetapi saya melihat daripada sisi yang lain. Pemuda dan puteri Umno perlu mencipta kekuatan baharu dan bukan mengulangi hal-hal yang sama ketika diterajui Hishamuddin dan Azalina. Cukuplah dengan kesilapan masa lalu yang menjelekkan itu.

Di bawah kuasa PM dan TPM juga gagasan 1Malaysia, kembalikanlah kegemilangan orang Melayu seperti mana Allahyarham Tun Razak memimpin Malaysia. Jika tidak sama sekalipun tidak mengapa asalkan warisan, maruah, dan kebijaksanaan orang Melayu tidak digadaikan sesuka hati. Sekarang ini, kita telah kehilangan kuasa bahasa, kuasa sastera, kuasa Raja-raja, kuasa mutlak Islam dan kuasa bersuara.

Jika enam hari di Sumedang dan Bandung, saya tidak menyaksikan tulisan cina dan india, tiada tulisan inggeris di papan-papan tanda; mengapa di bawah gagasan 1Malaysia kita tidak boleh mencontohinya? Sepatutnya dengan slogan 'Satu Bahasa Satu Negara, Bahasa Dijulang Negara Dijunjung' kita tidak menemui nama-nama seperti Ah Seng atau Mutusamy lagi di dalam kad pengenalan rakyat Malaysia.

Selamat menjadi rakyat Malaysia yang unggul. Saya tetap mencintai tanah air ini meski sedikit tidak menyetujui cara bagaimana Umno melayan nasib bahasa, sastera dan warisan Melayu.

8 ulasan:

sahrunizam abdul talib berkata...

6 plastik ole-ole dari Palasari tu yang buat saya cemburu. Kalau berpuluh plastik dari Pasar Baru atau Cibaduyut saya tak kisah.

Sham al-Johori berkata...

Pak Penyair Bera,
Usah cemburu-cemburu sih, nanti kita langsung ke sana lagi. Bukunya murah dan terkini.
Aduhhhh, usah khuatir, bulan disember ni, pak Saleeh akan ke sana. Mungkin boleh ikut sekali, supaya lebih aman dan selamat.
Hehehe

Hamir Habeed Mohd berkata...

Nanti masukkanlah zikir-zikir amalan tuan di entri yang akan datang. Bolehlah hamba yang cetek ilmu, menumpang sekaki dua ilmu tuan.

S.M. Zakir berkata...

macammm balik kampung ja, nanti pergi sekali lagi boleh bikin itu kartepe pak... kartepe bukan tempe.
waduh dewi sudah ngakk ada sih, hilang semangat mau ke bandung. saya terus terang aja tidak cemburu sama itu buku sama celana jas, tapi sama itu dewi aduh kangen pak keh keh.

Melihat Kesunyataan berkata...

Apa di Bandung tidak ada kumpulan yang mau 'ganyang Malaysia'?

edolah berkata...

"bayang-bayang ketakutan yang mereka cipta sendiri"...
mana pernah sekali pun mereka berani.. tetiba terkenang puisi SN Muhammad Hj Salleh "Sajak buat Sang Penakut".

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,
Saya juga keliru kenapa pemuda-pemuda puak itu masih 'mengganas dan menembak'? Maksudnya mudah pemuda-pemuda itu masih akui 'pengaruh besar dan keistimewaan' seorang insan itu. Dapat dilihat dan didengar dalam 'perhimpunan agong hari raya' puak itu bercakap soal bertanding, bertanding, kuota, kuota, wakil, wakil, undi, undi, perlembagaan, perlembagaan, berkuasa, berkuasa... itulah rasa-rasanya kurang agenda hendak majukan bangsa (tidak kira UBN / PAS / PKR)! Jika ada hala tuju jelas dan bermutu yang diperjuangkan pasti Melayu dalam PAS / PKR terpikat lalu menyebelahi UBN...?

Unknown berkata...

Jika sekarang pun Melayu terpinggir, bagaimana agaknya pulak bila kesemua rakyat tanpa mengira kaum mempunyai nama yang kemelayuan seperti Indonesia? Jika ditelek setelitinya, orang apa yang merempat di Indonesia sana, dan orang apa yang majoritinya kaya atau kelas menengah atas? Fikir-fikirkanlah.

Saya bergaul rapat dengan buruh Indonesia yang miskin2, bukan seperti Tuan yang mungkin bergaul dgn golongan menengah bawahan(Ahhh, kita yang berkelulusan universiti ini pun setakat golongan menengah bawahan sahaja di Malaysia ini, kan?).

Saya tidak mahu kita jadi seperti di Indonesia dari banyak segi walaupun dari segi bahasa mereka lebih cemerlang..

Wallahualam.