Rabu, 21 Oktober 2009

TAHNIAH KEPADA JAUHARI BERBITARA MELAYU


Dua keping gambar kenang-kenangan SN ke-10 Dato' Dr. Hj. Anwar Ridhwan

Tahniah atas penobatan gelaran Sasterawan Negara ke-10 kepada Dato' Dr. Hj. Anwar Ridhwan. Majlis yang penuh meriah dengan kesudian sembah SPBYDA Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin dan SPB Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah juga TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin itu benar-benar meninggalkan kesan bermakna kepada dunia sastera tanah air.

Kelangsungan majlis pada tanggal 20 OKTOBER 2009 menjadi bukti bahawa bumi Melayu khususnya Malaysia tidak ketandusan sasterawan. Jika selama 4 tahun DBP yang diterajui oleh Dato' Firdaus Abdullah tidak bermaya dan lesu. Maka dengan kehadiran ketua (KP) baharu iaitu Dato' Haji Termuzi bin Hj Abdul Aziz, DBP mula bertaring kembali. Tahniah juga kepada seluruh warga DBP yang dilihat sedang berusaha mengembalikan semula fungsi dan peranan DBP.

Kepada Dato' Anwar Ridhwan, izinkan saya petik kembali 3 rangkap madah pujangga daripada ucapan Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara malam tadi. Rangkap ini benar-benar berbekas di dalam lubuk kalbu saya.

Seteguh dahulukah Melayu-Islam kini?
Akidah mencair atas nama hak asasi,
Islam liberal dan sekularisme mencemari,
Kepada ad-Din yang benar hendaklah kembali.

Ada yang mencabar hukum syariah,
Anggapan hukum duniawi lebih indah,
Tidak sempurna bukan sifatnya Allah,
Di atas segalanya asma' ilahiyyah.

Allah ciptakan pelbagai bahasa,
Allah hembuskan seribu bahasa,
Untuk berkenalan sesama manusia,
Jangan sampai abaikan hak milik kita.

Malam tadi saya mencuri-curi pandang tetamu yang hadir. Ada yang saling saya mesrai dan ada juga wajah-wajah yang saya tidak kenali. Syukur, kami saling bersenyum dan bertegur sapa lambang luhur sastera sebangsa. Amin.

Saya teringatkan pesan Rahimidin Zahari, katanya petang semalam, "kita mesti pergi majlis itu sebab, nanti kalau tiba giliran kita yang terima, jika kawan-kawan tak datang macam mana?." Wah, impian kawan saya tu tinggi juga! Saya cuma merenung diri sambil sedang mengukur baju di badan sendiri.

Tapi, saya sendiri tidak pasti kenapa sejak dua menjak ini saya mula gila kepada dunia lukisan dan dunia melukis. Rasanya bahasa lakaran itu lebih indah daripada aksara dan kata-kata. Saya mula berangan-angan untuk menjadi pelukis terbaik negara. Saya ingin sekali bermain dengan bahasa warna dan lidah alam. Saya rindukan basah 'water colour' dan 'akrilik'. Saya dambakan harum 'oil painting' dan 'lincik', 'varnis' dan 'cakol'. Saya ingin melukis sebuah kampung abadi, ya, sebuah kampung yang benar-benar abadi untuk tatapan dunia. "Ya, Rabb, akankah tertunai impianku ini?"

Mungkin saya sedang memasuki sebuah alam lain untuk menjadi dewasa.

Akhirnya, tahniah kepada jauhari berbitara Melayu.


9 ulasan:

Melihat Kesunyataan berkata...

Samsuddin,
Menjadi pelukis dan menjadi penyaer sekaligus boleh dilakukan kerana caranya sama, cuma medianya sahaja berbeza. Yang satu menggunakan kehebatan kata-kata, manakala yang satu lagi menggunakan kehebatan warna dan jalinan.
Untuk menjadi SN pula kenalah menghasilkan karya yang tahan uji.

Rahimidin Z berkata...

Ji, tak habis-habis beromantis?

S.M. Zakir berkata...

pinjam kata amir jap, 'kalu tak meninggal...' tidak jadi penulis dalam kenangan saja la he he.

saleeh rahamad berkata...

hari tu kata.. sajak seperti isteri yang di.....setiap waktu. memanglah bahasa cemar menjolok dosa.

Hasmora berkata...

sungguh blog ini blog 'hanya untuk orang dewasa'.. hehe

Luqman Hakim QA berkata...

aku paham mengapa al haj gila dengan lukisan - sekeping lukisan lebih berharga (RM) berbanding sehelai puisi...ahaksss

NASSURY IBRAHIM berkata...

Aku tunggu surat jemputan ke majlis sasterawan negara tu. tunggu punya tunggu punya tunggu, hampas pun tadok. begitulah nasib sasterawan luar kota. frust betul. jangan lupa hantar buku tentang SN Dr Anwar

Sham al-Johori berkata...

Sahabatku Nassury,
Sabar itu separuh daripada iman. Demokan dah sampai taraf wali. la ni dah jadi musyidul am pusat lagi...
Yalah, hari ni juga hambo pos bahan yang dipesan tu.

Tanpa Nama berkata...

malam Anugerah SN tu aku jalan sesat barat.ahaha! yg penting, aku berjaya dtg sendiri, jalan sendiri,salam dgn SN Dato' Dr Anwar, sendiri ucap tahniah, sdr hanapi dbp jemput aku masuk sendiri, nak duduk sendiri tp meja utk pengawal istana jerr yg ada! ahaha! tiba-tiba ada seseorg panggil aku, ada kerusi kosong selang satu dgn faisal tehrani. aku bisu mlm tu. ada Zaharah Nawawi dan penulis muda tersohor...jd aku betul2 menghayati Majlis malam itu, tanpa ada sekali pun kamera aku berkelip! (mlm tu mmg kepala aku x betul sgt, hahaha! kt kn manusia penulis...yg kdg2 normal tp selalunya abnormal = aku jer la) :-> Nassury... lama kt x jumpo weh! (Aminhad)