Isnin, 4 Januari 2010

SAYA TIDAK BERSETUJU KALIMAH "ALLAH" DIKONGSIKAN

SAYA TIDAK BERSETUJU KALIMAH "ALLAH" DIKONGSIKAN ATAU DIPOLITIKKAN. Ini pendirian saya. Sejak Jumaat, dengan berita kemenangan akhbar mingguan kristian, berita ini mula menjadi jihad kepada penganut agama Islam. Di mana-mana atau di dada akhbar mahupun majalah, jihad ini terlontar dengan idea-idea yang 'ikut sedap rasa' atau 'ikut sedap mulut' oleh individu mahupun pertubuhan tertentu yang melobikan diri mereka pejuang Islam.

PM masih berlapik dan akan menghadap DYMM agung. Sementara Tuan Guru Nik Aziz telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah tinggi. Malah saya turut menerima sms daripada teman-teman supaya turut sama berjihad menentang keputusan ini.

Saya teringat bagaimana kes murtad yang berlaku di negara kita suatu waktu dahulu. Ketika itu, hanya PAS dilihat memainkan peranannya berjuang dan mendesak akta/ undang-undang keluar agama dipinda. Sudahnya, senyap begitu sahaja. Kini, muncul pula kes istilah "kalimah Allah" yang boleh diguna pakai oleh mana-mana agama khususnya kristian.

Jika sebelum ini, ramai orang Melayu/ Islam yang masuk kristian, dan jika selepas ini perkara yang berkaitan dengan istilah "ALLAH" ini tidak boleh diselesaikan, makanya tidak ada bezanya antara kristian dengan Islam. Hal-hal yang berkaitan dengan kesyirikan ini perlu mendapat penjelasan segera.

Oleh itu, saya berharap agar UMNO, PAS dan PKR dapat duduk semeja untuk menyelesaikan masalah ini segera. Jika dalam akhbar Utusan Malaysia (4 Jan 2010) hari ini, Nik Aziz sanggup menjadi ahli panel bagi menyelesaikan segera masalah ini; ayuh, apa perlu ditunggu lagi! Segerakan jihad ini!

Perkara ini, bukan perkara kecil dan remeh. Syaikh Abdul Qadir al-Jailani di dalam bukunya "Menjadi Kekasih Allah" atau di dalam bahasa Arabnya "Al-Fathur Rabbabni Al Faidhlu Rahmani" menjelaskan bahawa tiada kompromi dalam hal-hal akidah dan keesaan Allah. Dalam halaman 7 buku ini, al-Ghazali menghuraikan ayat 4 daripada syurah al-Kahfi yang bermaksud, "Di sana pertolongan itu hanya daripada Allah yang hak." Kata al-Ghazali, siapakah Allah dalam diri kita? Allah Islamkah? Tuhan kristiankah? Tuhan Hindukah? Atau tuhan majusi? Oleh itu, engkau wajib bertakwa, janganlah mengikut hawa nafsu dan berkawan dengan orang yang jahat sebab hanya Allah sahaja yang boleh memberikan pertolongan."

Saya perturunkan petikan yang pendek ini, supaya kita sama-sama dapat berfikir akan konsep jihad Islam dalam erti kata selemah-lemah iman.

Sebagai rakyat Malaysia, saya amat berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan segera. Bersatulah penganut Islam tidak kira UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC, Gerakan, PPPP atau parti di Sabah dan Sarawak yang mengamalkan Islam sebagai akidah hidup. Bersatulah kerana soal akidah bukan perkara yang boleh diperkotak-katikkan.

Salam jihad.

ii
AKULAH PENGEMIS ITU

Ya Rahman, Ya Rahim,
aku akan terus menjadi peminta-minta kepada-Mu
kerana di dalam rohku
ada kelaparan yang mendesak.

Ya Rahman, Rahim,
aku tidak akan berhenti meminta
kerana
di tangan-Mu ada rahmat yang memberi
di hati-Mu ada hidayah yang merestui
di langit-Mu ada cahaya yang menerangi.

Ya Rabb,
berikan aku seberkas terang
untuk kusuluh gelita ini.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.


6 ulasan:

Korakora berkata...

sham al-johori, setakat ini belum ada orang yg murtad kerana tertukar nama Allah di papan tanda atau di akhbar.

mahu atau tak mahu, Allah memang satu. Allah memang Tuhan sekalian alam. itu ayat pertama dalam surah al-fatihah yg kita ulang2kan.

jangan pula kita terikut-ikut nafsu sampai keluarkan kenyataan: Allah hanya tuhan umat Islam!

amboi, habis tu kita iktiraf "tuhan-tuhan" yg agama lain kah?

isu ini lebih banyak dibincang dgn akal dan nafsu, bukan dgn nas naqli

saleeh rahamad berkata...

Sdr Nazmi,
Memang Allah Tuhan bagi semua makhluktetapi dalam konteks sosial penggunaan nama Allah sudah menjadi satu discourse atau wacana. Wacana ialah satu ketetapan oleh satu-atu pihak yang ada nilai kuasa. Maka apabila penggunaan nama Allah digunakan oleh agama Kritstian, dengan mudah mereka menebarkan kuasa "kebenaran" bahawa prinsip ketuhanan mereka juga sama dengan prinsip ketuhanan dalam islam. jadi tidaklah akan menjadi kesalahan bagi sesiapa juga daripada kalangan Islam untuk berpindah kepada Kristian. kita yang ada ilmu sejemput ni mungkin tak terpengaruh tetapi sehingga entah ebrapa ramai sudah masu kristian walaupun belum timbul isu penggunaan nama Allah ni. jangan kata tak ada orang murtad. tanyalah Zulkifli nordin dah berapa banyak orang Melayu murtad. dia da perangkaannya yang disembunyikan oleh pihak berwenang-wenang daripada penyiaran dalam media massa. media massa juga ada unsur kuasa dan ada nilai discourse. Harap tidak terjebak dengan permainan orang kristian. Jangan sampai kita berbalah sesama sendiri. memang kita patut ada sentimen dan ada emosi apabila berdepan dengan isu ini kerana kadang-kadang pengunaan akal sudah dipandang sepi.

saleeh rahamad berkata...

dah banyak silap ejaan dalam tulisan aku. Itulah Nazmi, buat lagi.

Tanpa Nama berkata...

Saya suka apa yg Faisal Tehrani tulis dlm blognya ttg perkara sama. Padat dan tidak dpt disangkal lagi.

Pada saya, Sistem Badan Kehakiman kita yang pincang. Badan kehakiman negara kita bukannya badan tetapi lebih kepada individu hakim itu sendiri. Masing-masing punya agenda tersendiri. Terlampau banyak kes yang menunjukkan Hakim kita tidak Arif. Perkara yang sama, setiap hakim punya pendapat berbeza. Walhal, undang-undang dan Perlembagaan adalah sama. Arif ke Hakim kita kalau gitu?

Hanya pendapat bodoh saya.

Unknown berkata...

salam. maaf mengganggu diskusi.

pada saya, sedar atau tidak penggunaan Allah mmg dah meluas kegunaannya di kalangan bukan muslim, tambahan lagi dalam negara malaysia yang berbagai bangsa ni. resmi tidak boleh menggunakan perkataan Allah selain di kalangan orang islam cumalah dibahagian sedaerah kita.

kalau ikutkan syahadah cristian dan jews(ahli kitab) juga sama dengan, cuma mereka menggantikan nabi isa/ musa bukannya muhammad.

maaflah jika saya tersilap, tapi kamu berhak mengkaji apa yang saya tulis ni. jika salah jemput mengkrikik, jika benar harap sampaikan pada yang lain.

berbalik tentang isu ni, kalau di sabah dan sarawak org bukan islam sepertinya biasa sahaja menyebut insya Allah etc. itu dah pon jadi macam norma hidup di sana. (setahu saya je la)

pada pandangan cetek saya, kalau perkataan Allah tu boleh menjadi tempat menyampaikan dakwah mungkin membiarkan ia digunakan ada hikmahnya. maksud saya, jika Allah mahu membuka hati mereka dengan cara ini seharusnya kita menyokong ia.

walau apapun, saya lebih senang berdiam diri,nilai dan lihat apa yang bakal berlaku.

dalam sistem politik sesebuah negara,
executive seharusnya tidak menentang judiciary. namun apa yang berlaku sekarang seperti sebaliknya. saya sangat tertarik mahu melihat bagaimana 'mereka' mahu memainkan cerita ini agar olahannya menjadi lebih menarik. cuma yang saya tahu, ada baiknya kalau executive membawa isu ini ke legislature terlebih dahulu daripada terus berlawan dengan judiciary.

apa2pun, tepuk dada tanya selera.

salam hormat :)

Tanpa Nama berkata...

salam.. saye bukannye ape.. tapi kalau kite bace balik berite terbaru,, Nik Aziz dah kuar kenyataan mengatakan bahawa ALLAH is for all.. ape ni??? ini ke jihad yg blogger katekan trhadap nik aziz?? im not being such a discriminate towards political issue.. but kite pun tahu PAS tgakkan Islam.. so, kenapa die sokong tndakan mahkamah tue???