SAYA baru selesai menekuni buku "Minhajul Abidin" karya Imam Abi Hamid Muhammad Al-Ghazali. Kitab ini berkisah tentang aqabah (jalan ibadah) iaitu, jalan menuju kesempurnaan untuk menjadi insan kamil. Malah sejak dua tiga hari ini, saya memaksa diri untuk menamatkan bacaan beberapa buah buku atas faktor mengejar rutin (tanggungjawab) yang kian mendesak malah meresah. Buku Konsep Ilmu dalam Islam tulisan Wan Mohd. Nor Wan Daud tentang konsep insan habis saya ratah selepas menelusurinya tulisan Dr. Zariat, Sayyid Muhammad al-Naquib al-Attas, Sayyed Hossein Nasr, Shah Wali Allah dan beberapa tulisan lainnya.
Akhirnya dengan beberapa kelemahan penaakulan diri saya menjadi mabuk dengan konsep dan falsafah. Tiba-tiba dalam kemabukkan itu, anak saya yang berada di darjah tiga pulang dari sekolah dan terus bertanya kepada saya, "ayah, liwat tu apa?"
"Kak lang dah tanya cikgu, ustad atau ustazah ke belum? tanya saya semula.
"Cikgu tak nak jawab. Kata dia budak-budak tak boleh tahu."
Saya melepaskan rengusan dan menelan masalah anak saya itu dalam-dalam. Hendak jawab salah, tak jawab lagi salah. Saya merenung wajah anak saya sambil meminta dia merujuk Kamus Dewan. Apa sudah jadi dengan situasi di sekolah pada hari ini? Pertanyaan anak murid tidak lagi dapat dijawab/ dijelaskan atau dihuraikan oleh guru. Anak saya pulang dengan sarat pertanyaan dan kekeliruan daripada bahan bacaan yang disediakan oleh pihak sekolah iaitu, akhbar harian.
Selepas saya pulang dari surau, anak saya itu bergegas duduk di sebelah saya. Perkataan pertama yang keluar dari mulutnya ialah, "ayah dubur tu apa?"
"Laaa, apa hal pulak ni. Kenapa?" tanya saya pendek.
"Dalam Kamus Dewan, liwat tu homoseks, setubuh antara lelaki dengan lelaki; setubuh melalui dubur."
Saya merenung wajah anak perempuan saya itu sambil hati kecil saya berkata-kata, "dahsyat betul budak-budak sekarang, cepat sangat terdedah dengan peristiwa yang tidak sepatutnya dia tahu dalam usia yang terlalu muda."
"Betullah tu," saya mengiyakan kata-kata anak ketiga saya itu.
Nah! Bayangkan apa yang sedang berlaku di persekitaran anak-anak kita hari ini? Usia muda mereka lebih awal terdedah kepada hal-hal siasah negara dan kerakusan perkembangan duniawi yang entah apa-apa. Beginilah kehidupan anak-anak kita yang sedang berhadapan dengan dunia yang serba berkemungkinan. Alam kanak-kanak mereka hilang begitu sahaja oleh sistem pendidikan yang menakutkan. Maka, siapakah yang perlu dipersalahkan?
ii
SEGELAS IMAN
Segelas iman di meja takwa
aku hirup semahunya
membasah nafsu tandus
subur dalam hayat ilahiyiahSegelas iman berperasa zuhud
beruzlah di lubuk mujahadah
aku hidup semahunya
mengalir dan menyatu
di kalbu taubat
Segelas iman di meja takwa
aku hirup semahunya
mabuk di hujung syahwat
sedar di puncak makrifat
abadi di taman hayat
segar di janjang munajat.
Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.
3 ulasan:
Tuan,
Biar apa-apapun betul atau palsu, benar atau fitnah hanya Allah Maha Kuasa mengetahuinya, kepada-Nya hanya mampu kita berserah; namun kesannya sudah terjangkau lebih sedekad demi sensasi, publisiti dan...
syeikh,
tu baru anak ketiga tanya. Besok kalau anak keenam tanya mau stroke syeikh nanti hak hak
Syeikh, foto tu ingat kat Mesir mana ke, rupa-rupanya kat Singapore.
Catat Ulasan