Saya malas nak cerita pasal sastera sebab baru sahaja lepas dikurung selama seminggu di Tanjung Rhu Resort, Langkawi. 'Kurungan' kali ini teruk tetapi menyeronokkan, banyak kenangan dan inilah pengalaman yang tidak ternilai harganya. Bagi saya secara peribadi, saya beroleh layanan 5 bintang yang termahal selama seminggu di sana. Itu yang seronok, yang tidak seronoknya ialah saya terpaksa memerah otak menghasilkan puisi untuk bersaing dengan SN Anwar Ridhwan, Siti Zainon Ismail, Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Ridzuan Harun, A. Rahim Abdullah, dan Ahmad Sarju. Mencipta puisi dengan kemewahan yang istimewa, rupa-rupanya amat sengsara.
Setiap pagi di meja sarapan kami akan bertanya sesama sendiri, "berapa puisi yang siap?" dan dalam keadaan yang penuh sadis itu, saya disergah oleh Zaen Kasturi, "kau ni diam aja, esok kau siap orang lain tak siap. Serius ke?" Mengingatkan sergahan Zaen itu, saya senyum sendirian. Begitulah seminggu di Tanjung Rhu.
ii.
Oleh itu, enteri kali ini akan saya penuhkan dengan cerita kegemilangan Tottenham Hotspurs (SPURS) yang berjaya menduduki carta ke-4 EPL dan seterusnya berjaya melangkah ke kejohanan Kelab Juara-juara Eropah musim depan.
Spurs bukan nama gemilang dalam dunia bola sepak dunia seperti MU atau Chelsea atau mana-mana kelab terbaik dunia. Spurs ni macam kelab 'cap burung' kata kawan saya yang memang tidak berjiwa semangat kesukanan. Bagi saya yang tidak sehebat mana main bola sepak tapi pernah mewakili negeri kelahiran di peringkat sekolah suatu waktu dahulu sekurang-kurang pernah juga tersenarai sebagai penjaring terbanyak, tentunya juga punya kelab pilihan untuk dijadikan idola. Spurslah pilihan hati saya. Pasukan yang memakai jersi serba putih ketika berada di padang. Itu kegilaan saya zaman dahululah. Sekarang ni, kalau main bola sepak, boleh mati di tengah padang adalah.
Waktu kegemilangan saya bermain bola sepak, kelab Spurs adalah satu nama besar. Gabungan permain Argentina, Scotland dan England menyebabkan kelab ini benar-benar mempunyai barisan yang terbaik. Nama-nama seperti Ricardo Villa, Steve Arciball, Osais Ardiled, Glenn Hoddell, Ray Cleymend dan lain-lain itu amat digeruni. Kehebatan kelab ini suatu waktu pernah menjuarai pelbagai kejohanan. Tetapi, bola itu bulat. Macam juga kelab ini, kelab itu melalui zaman suram yang panjang.
Kini di bawah pengurus Harry Redknapp, kelab ini melonjak mendadak hingga berjaya menenggelamkan nama Liverpool (maaf kepada Zaid Akhtar, Luqman dan Bob). Apa-apa pun, saya bukanlah peminta fanatik bola sepak. Menang ke, kalah ke, saya suka menyokong dan mengutuk teman-teman yang tegar menyokong Chelsea, MU, Liverpool mahupun Arsenal. Paling seronok apabila pasukan ternama itu kalah kepada pasukan kampungan seperti Bolton, Stoke, Newcastle, Wolves dan macam-macam lagilah.
Kepada peminat SPURS, jangan rasa kecil diri. Kedudukan ke-4 ini bakal membawa pengalaman baharu kepada kita untuk bertanding di Eropah. Saya sebenarnya sedang mengumpul duit untuk ke White Hart Lane, tahun depan. Saya teringin duduk di dalam stadium yang menjadi kegilaan saya ini. Saya ingin melihat Spurs meratah MU di situ tahun depan. Inilah azam tahun 2011 saya.
Tahniah SPURS. Bravo, bravo, bravo!
2 ulasan:
rupa-rupanya abang sham ini penyokong tegar Spurs, maka Spurs kena berhati-hati tahun depan, kerana Liverpool akan merampas kembali takhta Empat Kelab Elit Liga Inggeris malah terus menjuarainya buat kali pertama sejak tahun 1990 (lebih-lebih lagi Carlsberg sudah tidak ada dah sesi akan datang), hehe...
Tuan,
Benar... kawan juga ingin lihat Man U diratah Spurs juga diratah oleh Stoke, West Ham, Fulham dan lain-lain termasuk satu pasukan yang kawan gemar... Newcastle dalam musim 2010/2011.
Catat Ulasan