Sekembali dari kembara kali ini, saya banyak menerima email daripada teman-teman penyair muda Indonesia. Perjalanan ke Solo dan Kediri minggu lalu menemukan kami dalam suasana silaturahim yang amat akrab. Mereka mengutus sajak untuk sama-sama dimanfaatkan. Saya akui bahawa karya mereka juga baik di sisi ukuran kreatif dan keberanian berjuang.
Daripada banyak-banyak email itu, ada satu yang menarik untuk dikongsikan. Email itu daripada mahasiswa universiti Surabaya; namanya Rio Arrahman. Tanyanya kepada saya, "kenapa pemimpin Malaysia mengubah penggunaan Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia? Bukankah bahasa Melayu itu juga milik kami juga rakan dari Brunei, Singapura dan Selatan Thailand? Jika bahasa Melayu itu terkorban, makanya kami juga merasa deritanya. Tetapi hari ini, pemimpin bapak telah menafikan hak perkongsian itu. Ini juga bermakna pemimpin bapak menghina bangsa serumpun. Celaka benar pemimpin bapak!"
Saya membaca email itu dengan rasa bangga kerana rupa-rupanya orang sebangsa kita bernama Melayu sedih dengan keputusan itu. Saya terus membaca sajak-sajak kirimannya sambil mengakui bahawa pemimpin saya memang sudah lama dicelakakan oleh rakyat sendiri kerana tidak pernah membaca sejarah. Pemimpin kita tidak pernah membaca manuskrip luka bangsa.
Lamunan ketika menatap sajak-sajak itu mengingatkan saya saat menyusur lorong-lorong di muzium Kraton Solo. Saya mencari dan bermain teka-teki dengan sejarah gemulah sebelah ayahanda. Tiba-tiba saya teringatkan juga potret-potret kiayi yang bergantungan di dinding. Wajah-wajah mereka seperti merenung saya yang sedang terhukum di dalam cinta dan rindu imani.
1 ulasan:
Memang celaka pemimpin Malaysia ini. Tapi tidakkah lontaran kata-kata yang sama juga harus ditujukan kepada pemimpin Indonesia. Generasi pemimpin Indonesia dahulu juga pernah melakukan perkara serupa. Pada waktu dulu bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa rasmi negara Indonesia. Kenapa ditukar namanya menjadi bahasa Indonesia? Tidakkah ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu pada waktu itu turut dihina? Tidakkah ini menunjukkan penghinaan kepada bangsa serumpun??? Harapnya, mahasiswa Indonesia itu dapat memberikan jawapannya.
Catat Ulasan