Rabu, 19 November 2008
Sajak 'PERCAKAPAN KEPADA BAHA ZAIN'
Seorang rakan menelefon saya dan meminta saya memuatkan sepenuhnya sajak 'Percakapan kepada Baha Zain' yang saya deklamasikan pada malam Baca Puisi PENA (7 November 2008) ke dalam blog ini. Katanya, "ulasan dalam Berita Harian tu pendek dan tak puas dibaca."
Atas dasar kesetiakawanan itu, saya turunkan sajak itu sepenuhnya. Selamat membaca sahabatku.
PERCAKAPAN KEPADA BAHA ZAIN
Dato' Baha yang romatis,
aku tulis resah ini untuk kita kongsikan bersama
setelah dukaku dan dukamu menyatu dalam injap nafas terakhir.
Dato' yang dihormati,
Rumah kita tidak sama seperti rumah orang beriman.
Rumah kita tingkap dan pintunya tak pernah berkunci.
Rumah kita lantai dan bumbungnya tak pernah kuat dimakan uji.
Rumah kita adalah rumah yang tiangnya tak pernah berseri
malah tak sesekali lurus berdiri.
Rumah kita halamannya adalah tanah kubur tak berharum mawar.
Rumah kita dipenuhi puspa indah tak beraroma.
Rumah kita dikuasai oleh pencacai yang selalu
memikirkan bagaimana untuk menjual
atau mengadai tanah sekangkang kera ini.
Dato' yang dirindui,
Rumah kita dihina oleh jiran tetangga kerana buruk dan keji.
Rumah kita menanti untuk dirobohkan esok hari.
Rumah kita tidak akan aman kerana berpenghuni
manusia duri dalam daging
dan manusia gunting dalam lipatan.
Rumah kita Dato',
adalah rumah yang menanti hari.
Usah bersedih dan menagih simpati Dato',
masanya telah tiba untuk kita mencari
rumah abadi di tanah air sendiri.
Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 ulasan:
Sdr SO: Perasan tidak berapa ramai orang yang bodoh sedang bercokol di atas langit itu?
Satira + Kacau
Tuan SO, saya baca sajak ini di Berita Harian (Sabtu, 22 Nov). Tahniah, moga ada yang mendengar.
Salam sdr, izinkan saya untuk letak sajak ini di blog saya (dengan pautan), terima kasih...
Semoga lebih ramai yang mengerti...
Catat Ulasan