Ahad, 17 Mei 2009

SELAMAT HARI GURU


BEBAN tugas dan kesihatan keluarga yang kurang mengizinkan menyebabkan saya agak kurang punya masa santai sejak akhir-akhir ini. Masa untuk melayan keluarga perlu menjadi keutamaan kerana hanya dengan cara inilah sahaja saya boleh berbakti kepada mereka. Esok lusa adalah ketidakpastian yang mendebarkan saat menunggu detik kematian menjengah.

Semalam, 16 MEI adalah hari terpilih untuk warga guru. Tentunya kita dapat bayangkan wajah-wajah guru kita sejak detik pertama masuk ke kamar bergelar bilik darjah. Ada yang mengenal perkatann 'guru' sejak di tadika lagi dan ada pula bermula di madrasah. Yang penting guru itu adalah insan yang banyak mengajar kita tentang erti kehidupan pada hari ini.

Dalam usia saya yang menua ini, saya telah melalui zaman bergelar murid dalam kisah penuh berliku. Bermula daripada sekolah yang berlantaikan tanah (Sk Kg Sri Makmur, Tangkak, Johor- jauh di pedalaman) hinggalah ke menara gading, di tengah-tengah Kuala Lumpur. Semuanya saya lalui dengan keikhlasan hati dan sepenuh jiwa meski pada hari ini ada kesan parut di dahi sebelah kanan akibat dihantuk oleh cikgu Warismito di tiang tingkap kerana tidak lancar menghafal sifir 8, saya ulang tidak lancar bukan tidak menghafalnya. Kepada cikgu Warismito, kini saya juga seorang guru tetapi saya tidak pernah menghantukkan kepala anak murid saya waima menyengkil sekalipun.

Meninggalkan kampung halaman pada usia 18 tahun untuk melanjutkan pelajaran di ITM, Shah Alam dalam jurusan Fine Art, rupa-rupanya tidak selama mana. 2 semester dengan kos pembelajaran yang mahal bagi orang kampung macam saya memaksa saya meninggalkan manusia bernama Awang Damit, Jailani Abu Hassan dan Muliyadi Mahmood. Saya tinggalkan mereka dengan linangan air mata kerana ibu tidak mampu membeli arkilik, oil painting, carkol, set pen teknikal mahupun lincit, kertas dan kanvas. Malah saya meninggalkan nama besar itu tanpa mengucapkan terima kasihpun sebab saya tahu mereka akan marahkan saya kerana saya tidak sabar. Tak apalah, maafkan saya pelukis-pelukis hebat tanah air yang masih barada di ITM (UiTM) jika membaca catatan ini.

Saya meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Lembah Pantai (MPLP) dengan harapan yang bercampur-baur. Berbekal duit pinjaman RM200 daripada bapa saudara yang menjadi guru, saya gagahkan hati untuk memaksa diri menjadi guru. Ketika dalam bas ke KL saya berfikir, bolehkah saya menjadi guru? Banyak persoalan yang berjungkir balik dalam ingatan yang berkisar antara guru dan seniman. Menjejakkan kaki di MPLP, saya masih dibelenggu keliru antara cita-cita dan impian; guru atau seniman atau sasterawan?

Berguru di padang datar, dapat rusa berbelang kaki; berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Di MPLP, saya bertemu dengan cikgu Noraini, insan yang pertama kali mengajar saya makna cinta dan rindu. Jika sebelumnya, tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk memiliki cinta; tiga bulan di MPLP saya sudah terdedah dengan diksi 'mabuk cinta'. Berjuang untuk memiliki hati dan perasaannya hingga tamat pengajian bukanlah suatu yang mudah. Tewas, cemburu, makan hati dan merajuk diri tidak dapat lari daripada diriku yang sememangnya diciptakan Tuhan sebagai manusia yang pendiam. Kepada cikgu Noraini, jika membaca tulisan ini; saya masih menagih cinta dan rindu itu. Di MPLP juga, saya sempat berguru dengan penyair Nawawee Muhamad; penyair kawakan yang tegar menelan pahit akibat perjuangan yang tidak direstui pentadbiran MPLP.

Tamat pengajian MPLP, maka bermulakan kerjaya saya sebagai seorang guru di SK Bandar Easter, Kota Tinggi, Johor. Tiga tahun enam bulan di kawasan yang serba baharu dan belum masak membaca persekitaran saya menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Institut Bahasa dan Universiti Malaya dalam jurusan khas program berkembar. Bertemu dan serumah dengan Nassury Ibrahim merancakkan saya dengan aktiviti sastera di kota raya. Di samping saya dapat mengenali guru seperti Omar Mamat, M. Kassim Ismail, Hashim Awang, Nik Safiah, Hashim Musa, Hashim Ismail, Zainal Abidin Borhan, Zahir Ahmad, Sanat Md.Nasir, Nuwairi, Norhayati A. Rahman, S. Othman Kelantan, A. Wahab Ali, Abdullah Tahir, Mohd Saleeh Rahamad, Anwar Nor Arai, Raja Mokhtaruddin, Rahman Shaari dan lain-lainnya itu, saya turut menjadi pelajar yang mencuri-curi masuk belajar di Akademi Pengajian Islam dan Fakulti Ekonomi di UM. Tujuannya tak lain dan tidak bukan kerana ingin menjadi murid kepada Prof Mohd. Zuhdi, Dr. Roslan, Dr. Hamidin Isnin dan lain-lain lagi. Begitulah saya mencuri ilmu mereka hanya kerana ingin mengenali dan mendekati ilmu yang mereka miliki.

Di KL juga saya berkesempatan mendampingi penyair-penyair hebat DBP seperti Pak Samad, Muhammad Hj Saleeh, T. Alias Taib, Sutung Umar RS, Kemala, Jaafar HS, Keris Mas, Usman Awang, Zaen Kasturi, SM Zakir, Rahimidin Zahari, dan lain-lain hinggalah ke hari ini; apabila saya masih lagi menganggap mereka adalah guru yang perlu dimesrai.

Kepada mereka semua, ingin saya ucapkah SELAMAT HARI GURU. Kepada guru-guru yang tidak dapat saya sebutkan namanya satu persatu di dalam tulisan ini, maaf dipinta kerana kelemahan saya untuk mengingati nama-nama tuan semua. Begitupun, tuan-tuan guru boleh berbangga kerana telah berjaya melahirkan ribuan insan yang berjaya dan dihormati. Jasa dan budi baik tuan-tuan guru ini hanya Allah juga yang dapat membalasnya. Saya akan tetap mendoakan agar Allah sentiasa meletakkan diri tuan-tuan guru di makam yang sentiasa dilimpahi hidayah dan dirahmati Allah SWT selama-lamanya.

Tanpa tuan-tuan guru, siapalah saya pada hari ini. Doakan juga supaya saya menjadi seorang guru yang tidak terlupa amanah dan fitrah.

SELAMAT HARI GURU.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,

selamat hari guru En. Sham.

Saya doakan segala urusan dipermudahkan Allah, juga encik sekeluarga tenang dan sabar selalu.

Terima kasih, budi baik encik tak mungkin dilupakan.

-Hazwani Husain

D'Rimba berkata...

Hadiah hari guru yang lebih bermakna Percakapan Kepada yang Setia karya bernilai cikgu menusuk jiwa bangsa beri kesedaran setulusnya diangkat sebagai juara pada malam 16 Mei di Kelantan oleh deklamator muda NurZafran lepasan UM juga pernah mendapat sentuhan Rahman Shaari. Terima kasih cikgu kerana menghadiahkan karya mendidik jiwa kami anak bangsa.

Inilah saatnya kau berikan cinta abadimu
sambil membebat sejarah pedih purbakala
sebuah bangsa dan negara yang ratusan tahun
menjulang keris Nusantara
berikan rindu saktimu merdeka , untuk kugilap tamadun fikir
sebuah bangsa berakhar hadhari seluruh jiwa bermukin insani.

petikan karya bermakna cikgu Shamsudin Othman
Percakapan Kepada yang Setia
Mukasurat 61 buku Sajak Jamung Merdeka
Terbitan GAPENA

Terima kasih guruku.

Di Kulit Bumi Karya-Mu berkata...

Salam,
terlalu lewat untuk mengucapkan
Selamat Hari Guru sbb di sekolah
say pun belum ada sambutan
Hari Guru.
Semoga Tuan dirahmati-Nya selalu sebagai MAHAGURU u.
Amin.
sALAM

Tanpa Nama berkata...

TUHAN TELAH ATURKAN REZEKI DAN JALAN HIDUP CIKGU DENGAN BAIK....

FROM JUNIOR DARI IPG KBM ( MPLP )
http://www.ipbmm.edu.my/