SEORANG teman meng'sms' saya dan isinya, 'blog TANAH NURANI dah mati ke? kalau tak nak tulis blog sila buat catatan "blog ini sudah dikuburkan."
Seperti biasa, saya malas nak memberikan sebarang komen apa-apa kerana saya tahu menulis bukan boleh dipaksa-paksa. Tetapi apabila saya fikirkan semua selepas solat maghrib tadi; saya bertanya-tanya sendirian akan kebenaran sms kawan (baca mungkin peminat setia agaknya) saya. Seperti mana saya gila membaca kitab-kitab agama, mungkin dia juga gila membaca tulisan dalam blog saya ini (baca 'agaknya'; tak bermaksud untuk masuk bakul angkat sendiri sebab saya sedar saya ini pun bangang juga).
ii
Tak apalah, hari ini saya hendak menulis tentang nasib 3 orang manusia yang hidup dalam 3 parti berbeza. Mereka bertiga bukan 3 Abdul macam yang dikisahkan P. Ramlee, tetapi mereka ialah Zahrain Mohamed Hashim (ZMH) , Anwar Ibrahim (AI) dan Tuan guru Nik Aziz Nik Mat (TGNA).
Jika kita mendengar berita tv3, RTM dan membaca BH atau UM sudah tentu manusia bernama ZMH ini tiba-tiba popular (tapi dia tidak sehebat 'Sudin Ajaib'). Ada yang mengelar dia adalah gurka UBN dan macam-macam lagi. Pendedahan (baca dendamnya) kepada AI dilepaskan tanpa berfikir panjang hingga AI sanggup angkat kaki meninggalkan dewan. AI terus dituduh 'penakut', 'raksasa pelbagai wajah' dan 'pembohong besar'. Dua hari kemudian TGNA pula mencelah dengan pemikiran Islamiknya bahawa inilah permainan politik murahan lantas bersuara,"orang MCA, MIC berpecah pun tidak membuka rahsia parti mereka, tetapi orang Melayu bila berpolitik tidak ada intergriti langsung."
Bagi saya ini semua adalah tipikal orang Melayu berpolitik yang tidak pandai menjaga akhlak dan mengamalkan konsep 'rasa insaniah'. Kesannya, saya melihat di kaca tv bahawa orang yang bermazahabkan DAP, MCA, MIC dan parti lain yang bukan Melayu tersenyum panjang lebar melihat Melayu dengan Melayu bercakaran secara profesional (baca 'kononnya') di dewan parlimen. Saya (baca rakyat) yang tidak pernah menjejakkan kaki di parlimen dan tidak tahu apa yang berlaku di parlimen menjadi tahu apabila berita ini dihebahkan oleh media perdana yang proUBN.
Bayangkan, siapakah yang menjadi dalang semua ini? Ada yang melihat ini semua agenda tertentu dan macam-macam lagi tomahan. Media yang dikatakan mesti telus, tidak berpihak dan jujur anehnya seakan-akan bersekongkol melobi kes Melayu lawan Melayu ini khususnya jika kes/ isu yang menguntungkan batang hidung UBN. Apakah media benar-benar jujur dalam usaha menghidangkan isu ini kepada rakyat?
Tanpa berpihak kepada mana-mana parti sama ada kerajaan atau pembangkang, apa yang saya pinta ialah janganlah kerana kepentingan tertentu, media menjadi kuasa yang menghalalkan semuanya. (baca saya juga tahu bahawa dalam bab-bab halal ini hanya Jabatan Agama Islam sahaja yang berhak mengeluarkan logo halal). Oleh itu, mungkin ada baiknya, Jabatan Agama Islam meletakan logo halalnya di parlimen atau muka depan media perdana dan sekiranya mereka melanggar akta halal ini makanya pihak Jabatan Agama Islam boleh menyaman atau mengambil tindakan sewajarnya kepada wakil rakyat atau media yang mengamalkan prinsip 'matlamat menghalalkan cara' ini.
Saya sebenarnya kecewa melihat wakil rakyat yang diamanahkan oleh rakyat untuk memperjuangkan nasib rakyat tiba-tiba lain jadinya. Speaker dewan pun satu (baca bangang juga) apabila membenarkan isu dendam (yang bersifat peribadi) dibolehkan perbahasannya. Isu-isu yang berkaitan dengan peribadi sebaik-baiknya dibincangkan di warung kopi sahaja. Hal-hal seperti PATI, anak luar nikah yang dikorbankan, kemiskinan, harga barangan, keistimewaan peribumi hinggalah kepada hal-hal seniman, sasterawan dan budayawan inilah yang perlu diperjuangkan; bukan memperjuangkan dendam dan rasa amarah dalam diri setelah dikhianati dan kecewa kerana tidak mendapat keuntungan.
Sebagai manusia yang diberikan sedikit ilmu, saya juga faham bahawa perjuangan memerlukan keberanian dan pengorbanan. Tetapi perjuangan akan menjadi lebih baik sekiranya ditunjangi dengan kebijaksanaan, maruah dan agama.
Entahlah, Melayu..., Melayu..., Melayu... . Akhirnya, saya menjadi takut dengan situasi politik masa kini. Siasahnya lebih teruk daripada pasar ikan atau pasar pelacuran di Kuala Lumpur. Menteri khas yang mendokong prinsip agama Islam pun nampaknya turut sama bertepuk tangan (baca tepuk meja) dan menyokong agenda 'politik dendam berdendam' ini. Pembangkang yang menerajui gerakan islah Islamiah yang mengangkat tangan untuk mencelah (baca mungkin ingin memberi nasihat) dinafikan haknya oleh speaker dewan (jelas ditontonkan dalam siaran berita tv media perdana).
Entah..., yang malu, yang kalah, yang jahat, yang pembohong, yang yang yang yang semuanya itu adalah Melayu juga, iaitu Melayu yang obses dengan falsafah matlamat menghalalkan cara.
Kepada PERKASA (sebuah lagi pertubuhan yang sedang berusaha untuk menyatukan Melayu) jangan pula menjadi pelengkap kepada kemusnahan bangsa Melayu.
Saya ingin bertanya kepada PAS, PKR dan UMNO, jika Melayu tidak bersatu, apa lagi yang tinggal untuk kita wariskan kepada anak cucu cicit kita. Saya tidak sanggup menjadi ayah, atuk dan moyang kepada mereka yang akhirnya akan terus dimaki hamun atas kesilapan kita hari ini. Oleh itu, sebelum anak cucu cicit saya melemparkan maki seranah kepada saya setelah saya mati, lebih baik hari ini saya melemparkan sumpah saya kepada mereka (baca pemimpim) yang merosakan bangsa Melayu dan agama Islam.
Celakalah ke atas kamu! Celakalah ke atas mereka yang menghalalkan cara demi matlamat peribadi.
3 ulasan:
Tuan Shamsudin,
(Maaf agak panjang komen ini)
Mudah diramalkan (dirasakan)... selagi terus 'menghentam, mereka-reka cerita, menghukum dan menzalimi AI' sama ada oleh orang-orang yang memang berakar umbi UBN atau yang keluar PR (mungkin dendam kerana tidak dapat sesuatu) maka semakin bertambah-tambahlah dan berganda-gandalah masyarakat simpati dan menaruh kasihan kepada AI.
Hakikatnya media yang heboh dan ghairah ini tidak sedar bahawa sudah ada 'kebalikan psikologi' buat masyarakat di luar.
Benar atau tidak benar AI buat @ rancang @ berkata-kata (seperti kata AP Bebas Bayan Baru itu) tentang 16 Sept serta terlibat atau tidak AI dalam 'sodomi'... biarlah itu hanya AI dengan Allah SWT Yang Maha Berkuasa Maha Mengetahui.
Simpati dan rasa kasihan rakyat semakin bertambah berganda buat AI akibat 'tidak cerdiknya' strategi yang diatur oleh puak-puak itu, maka strategi 'tidak cerdik' ini menyebabkan orang luar ketawa besar kerana tiadanya integriti dalam amalan politik seperti kata TGNA itu...
Wah, ramai rupa-rupanya yang menjadi "penagih" blog Tuan Haji.
:-)
Jangan bercakap tentang nasib Bangsa Melayu. Asabiyah dan perkauman. Nasib bangsa Cina dan India tak apa. Itu konsep Islam yang lebih kulli.
Catat Ulasan