Sabtu, 10 Februari 2007

KOLEKSI SAJAK TAMAN PERCAKAPAN

*Sedutan dari kumpulan sajak "Taman Percakapan" yang telah diterbitkan oleh DBP, 2006


Percakapan kepada Seorang Kekasih

hiruplah sebahagian daripada derita masa lalu
sambil mencium harum yang menusuk

kau perempuan lahir dari pelabuhan rindu
datang khabarkan nyanyian sejambak mawar
kepadaku; lelaki dari pergunungan atma cinta

inilah saatnya kita himpunkan aksara nestapa silam
membebat luka yang mendarah dengan mantera sunyi
menyepuh kasih yang menanah dengan zikir sepi
maka lenyaplah kesangsian doa seorang aku
yang murba sayangnya terhukum
oleh jarak dan waktu masa lalu

kekasih,
aku ingin melihat segala-galanya mewangi
dan harumnya tumpah ke dalam cinta abadi.

Kuala Lumpur – Jakarta.



Percakapan kepada Seorang Rasulullah ii

ketika kau khabarkan sunyi akan berangkat
sebelum isyak
aku terkurung dalam kandang sepi
dengan tangan dan kaki terikat
pada malam yang menangis akan perpisahan itu

kau tahu,
antara Isyak dan subuh 12 Rabiulawal itu
pujian selawat silih berulang
dan launganku yang tulus
gemanya halus menusuk
membelah tujuh lapis cakerawala

subuh 12 Rabiulawal dan aku
adalah mimpi yang kuidamkan
mencipta hijrah mencinta iman
sambil mengutus terima kasih
yang tak terbalas nikmatnya.

Kuala Lumpur.


Percakapan kepada Saiyidah Syahirah

kau mawar dari kota perkahwinan
asal dari benih suci ayahbonda
kau mekar mengharum
aromanya melengkar ke pelusuk buana
ranggimu yang putih
tangkaimu yang berduri
adalah peribadi yang tegar di sukma

kau puteriku,
aku rindu segugus puisi dari fikirmu
karangkan kata-kata bernafsu sayang
dengan falsafah cinta Rabiyatul Adawiyah
atau makna rindu Siti Khatijah
aku ayahmu
akan selalu mengutus doa
agar kau tidak mudah keliru
antara tawaduk dan rakus
antara haq dan batil
antara syurga dan neraka.

Saiyidah Syahirah
binalah monumen kemasyhuran akal dan fikir
dan kasih seorang ayah
yang bakal menjadi sejarah
dalam lingkaran usiamu.

Batam, Indonesia.



Percakapan yang Tak Pernah Usai
(apologia kepada rakyat Palestin)

hari ini darah itu menitis lagi
titisannya jatuh ke baju putihku
aneh! baunya harum menusuk qalbu
tapi kau tak pernah merasa pedih
dari luka perang itu.

hari ini darah itu menitis lagi
darah anak-anak tak berdosa
berselerakan di jalan hidup
tangisan menjadi gurauan tak bermakna
rintihan menjadi nyanyian nestapa
rayuan menjadi mantera yang lara

hari ini darah itu menitis lagi
merahnya bertukar menjadi putih
putihnya bertukar menjadi dendam
dendamnya bertukar menjadi jihad
jihadnya bertukar menjadi api
dan, api itu menjelma menjadi berani
lalu berani pun menghunuskan pedangnya
kemudian menikam-nikam hati petualang.

hari ini, darahku dan darahmu
merahnya tetap sama.

Kuala Lumpur.



Waktu itu: Antara Ramadhan dan Syawal

masih tegar dalam ingatan, al-mubarak
saat kau menuntun tanganku pulang
setelah aku jauh tersasar di dunia
yang siang tak bercahaya
dan malam yang kehilangan segugus bintang

seperti seorang ayah
kau mengajar aku mengangkat
kedua tapak tangan ke langit
sambil mengharap aksara doa
melepasi makna dan hakikat
pada malam-malammu
hingga aku merasai
tidurku berselimutkan haruman narwastu
mimpiku adalah tadarus yang tulus

dan tatkala subuh Syawal yang hening
mengucapkan salam kepadaku
aku telah menjadi lelaki
yang kehilangan rindu dan cinta
ramadhan al-mubarak

kepada-Mu
nantilah aku dalam rutin atma yang panjang.

Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.



Percakapan Baitulmuqadis Pada Subuh 1 Syawal

saat takbir bergema di langit Baitulmuqadis
darah dan air mata masih menitis
doa sengsara tajam menikam langit
dan luka di bukit Ramalullah

“beginilah saban tahun
aku menyambut kemenangan Ramadhan
tanpa kebab dan kambing panggang
atau cepati berkuah dalca
tapi pasir dan batu-batu menjadi juadah,” katamu
tatkala peluru dan motar menerawang di ubun kepala.

sahabat seislamku,
percakapan ini adalah peringatan kepadamu
demi tangis dan gurau pedih
rintihan tidak menjadi nyanyian nestapa
rayuan tidak menjadi ratib lara
sebelum kita kehilangan takbir raksara.

Allahhu akhbar, Allahhu akhbar, Allahhu akhbar
Allahhu akhbar Walillailham
Syawal yang syahdu
aksara ini adalah harum darah yang menabrak ke cakerawala.

Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.



Aksara Rindu

selamat menghirup sinar hijrah
moga pagi ini kau terus mengharum
dalam musim panen bungaan – dilimpahi rezeki maknawi
tak terbilang syukur berbuah taqwa
rohnya lazat penyubur rohani
zahirnya nikmat pengindah jasmani.

selamat datang ke ladang aksara rindu
anginnya narwastu airnya madu
tanahnya Madinah apinya Mekah
dindingnya Kaabah pintunya syahadah
selamat datang ke lembah muhasabah diri
mengenal azali mengenal maknawi
mencari mustika kalbu
membongkar makna diri.

inilah ladang aksara rindu
jemput dan petiklah buah taqwa
sambil menghirup kalimah dari telaga iman
dan menjamu zat dari fitrah zikir
nikmati semahu nafsu
dalam keredhaan dan syukur-Nya
tanpa hasad, dendam dan iri.

selamat datang jika memilih bebas fana duniawi
menikmati musim semi kebahagiaan
mencari cinta abadi
belajar mengenal alif itu Allah
lam itu luhmahfus
mim itu maha sifat segalanya
dan alif lam mim itu adalah rahsia tak berjawapan
yang hilang dalam sebuah kewujudan.

di ladang aksara rindu ini
aku bersyukur walau tak kutatap wajahku sendiri
kerana lidah dan hati yang kuberi
ikhlasnya jalan yang tak berpenghujung.

Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.



Percakapan Seorang Amirulfakir

aku kerdil dalam cakrawala ini
jangan ditutup pintu hati
aku bawa doa burung, rama-rama dan belalang
aku bawa doa lipan, ular dan jengking
aku bawa doa rumput, pohon dan bunga
aku bawa doa ikan, ketam dan karang
kupersembahkan kepada-Mu
tatkala usia munajat menuju tua.

sesekali ingin rasanya aku bertanya; untuk apa?
bijaksana yang tumbuh dari akal
bodoh yang tumbuh dari nafsu
uban yang tumbuh dari rambut
rabun yang tumbuh dari mata
tuli yang tumbuh dari telinga
rongak yang tumbuh dari gigi
sakit yang tumbuh dari sihat.

aku yang tumbuh dari tanah
jangan kau balut tubuhku dengan mahing bangkai
jangan Kekasihku jangan
anugerahkanku sebidang lahad subur
di atasnya tertanam pohonan mawar
juga rumput-rumput yang Kau sayang
harumnya menggamit tahmid dan zikir.

inilah sebuah percakapan yang lain
kuungkapkan ketika tarhim mengejut matahari
dan seorang lelaki yang sedang
membungkus sunyi dari sekian takdir
setelah keliru mengenal diri
antara kiri syurga atau kanan neraka

aku seorang amirulfakir
tidak akan bertanya
ke mana hilangnya doa-doaku
ke mana ghaib tangis malamku
kerana aku takut terhimpun
dalam kandang yang tak mengenal
syukur dan ikhlas
zat dan makrifat.

Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.



Di Kebun Aidiladha

di kebun ini pagi 10 Zulhijah
darah kibas memercik dan membuak
Ismail tak pernah merintih
Ibrahim tak pernah bersedih
lewat Tuhan menghiris hati
kemanusiaan seorang ayah
menyembelih rasa insaniah
seorang rasul.

pada subuh Jumaat itu
rahsia kerelaan terungkap
dalam ghaib pasrah
Ismail lambang korban bukan penderaan
kibas mati roh suci melayang
bersama harum ke ararsh gemilang
sambil menganyam tangis taqwa ayahbonda

ii.
di taman Arafah ini
Maha suci kudrat-Mu
waktu Ismail dan almarhum alaihisalam
ku seru berkali-kali
rasa syahdu akan kebesaran-Mu
memaknakan keinsafan,
sebuah perjalanan jauh
kembali ke janin ibu.

di kebun Aidiladha ini
ingin kugapai kecapi cinta yang tinggi
sambil berlari dari Safar ke Marwah
melontar syaitan di Jamratul Akaba’
untuk kubentuk peribadi; mencari diri
menemukan yang satu;
kurangkul-Mu ke hati
untuk kudakap seerat-eratnya.

menjadi tetamumu Padang Arafah
peluh yang mengalir dari zat asmara
kubawa pulang
menjadi penawar dahaga kasih-Mu.
menjadi penawar rindu syurga-Mu.

Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.



Percakapan Kepada Seorang Rasulullah i

dalam kenangan
sentiasa aku
rindu dan cinta;
menyusuri jejak Muhammad
meski akal akan kehabisan wacana
akan tetap kukirimkan
sebait kata.

dalam ingatan
kulakar makna zuhud
yang menjelma dari sinar perang;
antara jihad dan madani
telah terbangun negeri sejarah
yang terbilang dalam gemilang.

Madrasah Sham al-Johori
Kuala Lumpur.



* Untuk menghayati sajak-sajak seterusnya, sila dapatkan kumpulan sajak berjudul "Taman Percakapan" yang telah diterbitkan oleh DBP, 2006.

Tiada ulasan: