Khamis, 13 September 2007

SALAM AL-MUBARAK


i
Hari ini kunjungan 1 Ramadhan 1428H aku sambut dengan seluruh rindu. Bulan ramadhan adalah bulan yang paling unik di tanah airku. Bayangkan pada bulan ini ramai orang yang sanggup memaksakan diri pergi ke surau atau masjid untuk melakukan amalan sunat tarawikh. Sebenarnya sudah lama aku berfikir, kenapa orang ke surau atau masjid pada bulan ramadhan sahaja. Kalau sebelum ini mereka solat fardu di rumah dan tak pernah buat solah sunat tiba-tiba apabila hadirnya bulan ramadhan, mereka bersungguh-sungguh ke surau atau masjid. Apa yang mereka cari sebenarnya?

Di kediamanku, aku hanya melihat sahaja budaya ini. Kadang-kadang aku berfikir, adakah manusia ini hanya perlu meningkatkan amal pada bulan ramadhan? Atau kalau tidak menunaikan solat tarawikh maka kita tidak boleh menyambut hari raya? Entahlah, walau bagaimanapun aku harus mengukir senyum apabila anak-anak aku malam semalam sudah bersiap-siap awal untuk ke surau. Aku bertanya seloroh, "adik nak ke mana?". Dia yang berusia 6 tahun menjawab petah, "nak pergi surau. Nak solat lepas tu nak makan kuih."

Nah, itu senario kanak-kanak! Adakah orang tua juga pergi ke surau atau masjid pada bulan ramadhan ini untuk makan kuih juga?

ii
Semalam, kecoh pasal gerakan Pemuda UMNO Terengganu bersama-sama 98 NGO nergabung untuk mengambil tanda tangan rakyat bagi mendapatkan sokongan untuk mengutuk perbuatan membakar bendera 'Jalur Gemilang'. Tahniah aku ucapkan kepada ketua penerangannya iaitu Razali Idris. Perbuatan membakar bendera samalah seperti membakar negara. Aku bersetuju sangat tindakan ini. Teruskan usaha ini bagi menunjukkan bertapa kita punya maruah dan harga diri.

Kepada Razali Idris, aku nak cadangkan juga bahawa usaha seperti ini perlu dilakukan juga kepada gerakan penghapusan istilah 'Melayu' yang sedang dijalankan secara terancang. Pertamanya ialah gerakan menukar Bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Kalau semangat kita ikhlas dan jujur, kita juga perlu peka akan perkara ini. Bukankah penukaran istilah itu bermakna maruah dan semangat lamina kita telah dikoyak-koyakkan? Perjuangan kita memartabatkan bahasa, bangsa, negara dan agama perlu sejajar dan seiring.

Kalau orang UMNO membaca blog dan tulisan ini, satu sahaja pertanyaan yang perlu kalian jawab, iaitu "APAKAH DOSA ISTILAH MELAYU DALAM PERKATAAN BAHASA MELAYU?"

Kalau perkataan 'MELAYU' itu berdosa, aku minta supaya perkataan 'Melayu' dalam UMNO pun perlu digantikan dengan perkataan Malaysia. Kemudian bangsa dalam kad pengenalan pun ditukar sama kepada bangsa Malaysia supaya gagasan 'PERPADUAN' yang dicanangkan akan segera tercapai.

Soal orang cina dan india nak menggunakan bahasa mereka, itu jangan difikirkan sebab itulah perjuangan mereka. Terbaharu ialah MCA menuntut supaya soalan UPSR perlu diadakan dalam bahasa mandarin. Itu perjuangan mereka. Bukan macam UMNO yang tidak pernah rasa berdosa apabila menukarkan sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) matematik dan sains ke bahasa inggeris.

Kepada kerajaan (termasuk aku) fikir-fikirkanlah. Aku dah letih bermain dengan marah dan sakit hari. Semuanya aku pendam dan mudah-mudahan bulan ramamdhan ini dapat mengurangkan amarah aku terhadap perjuangan UMNO yang kian jauh terpesong.

iii
Selepas sahur, aku sempat menelaah buku 'Gulistan' karya Syeikh Musliuddin Sa'di Shirazi. Buku ini merupakan adikarya legendaris Parsia. Kehebatan Sa'di sebenarnya telah diperakui oleh dunia sastera Islam kerana beliau merupakan penulis yang sebaris dengan Ferdowsi penulis buku Syah Namah, Fariduddin al-Atthar pengarang Mantiq al-Tayr dan Jalaluddin Rumi pengarangan Matsnawi-i Ma'nawi.

Buku ini telah membawa aku masuk ke pintu-pintu iman dan cinta untuk memetik hikmah dan pengetahuan tentang kecerahan kasih sayang Tuhan. Sa'di menjelaskan juga hanya melalui pembaikan moral dan fikiran , masyarakat yang sedang sakit hari ini dapat dipulihkan. Hanya iman dan ketauhidan sahaja yang boleh menjadikan manusia punya adab dan bermartabat.

Selamat mengimarahkan Ramadhan dan mudah-mudahan ALLAH memberikan hidayah dan meningkatkan ketqwaan kita. Amin.


Tiada ulasan: