ISNIN. 19 MEI 2008. SAYA sedang bersiap-siap untuk meninggalkan pintu rumah. Hati berdetik seketika; kenapa tak tunggu berita tengahari? Segera meladeni hati, saya duduk di sofa sambil mengatur minda untuk mendengar tajuk-tajuk utama. Terkejuk apabila penyampai berita mengumumkan berita peletakan jawatan Tun Mahathir dalam UMNO. Segera fakulti akal saya berjungkir balik. Terkenang jasanya yang melimpah ruah kepada negara Malaysia. Terbayang keintektualan melayu yang sungguh unik ini. Terasa beraninya dia menghina Amerika dan Israel. Malah lebih hebat daripada itu saya masih juga terbayang-bayang dia memecat DSAI kerana dikatakan telah menderhaka dan mencemar adat budaya Melayu. Semuanya itu bertali arus dalam sungai fikiran yang segar.
Beberapa minit itu juga SMS masuk dan bersenandung daripada telefon bimbit saya. Saya membuka dan membaca satu persatu. Dan yang paling menguja ialah "sudah terang lagi bersuluh; yang hancur ialah Melayu dalam UMNO bukannya rakyat marhaen macam kita". Saya mengukir senyum sambil melihat sebuah beg hitam berjenama Samsionet yang dibeli di kota Saigon, Vietnam bulan disember lalu. Kini, beg besar itulah yang sering menemankan saya ke mana-mana. Sesekali apabila melihat beg itu, saya teringatkan senyum Rahimidin Zahari yang manis meski terluka. Teringat sinis SM Zakir meski ketawa mengila dan teringat juga senyuman En. Saleeh dan Amiruddin meski hati dan perasaan mereka sukar ditebak.
Berita TV3 masih mengulas dan memaparkan episod demi episod politik tanah air yang kian gawat. Semacam menikmati filem P. Ramlee yang penuh sinekal itu, saya mencuba memahami hati seorang tua seperti Tun Mahathir. Tentunya usia yang menjangkau 83 tahun itu menuntut satu kesungguhan dan keberanian yang dapat mengajar manusia yang tidak faham apa-apa. Mungkin mereka (yang dimaksud itu) tidak berkesampatan untuk membaca buku 'Berguru Dengan Binatang' atau juga tidak sempat membaca 'The Animal Farm'. Serba kemungkinan itu bermain-main dalam fakulti fikir saya.
Dalam hal ini, saya tidak seharusnya bersungguh-sungguh mencari kesalahan orang lain kerana diri saya juga sedang diikuti/ dipantau. Mungkin saya sedang melakukan kesalahan atau akan melakukan kesalahan atau juga sedang dinilai perkembangannya. Apa-apa yang berlaku, insyalallah akan saya cuba bataskan.
Saya sedang memikirkan juga isi kandungan khutubah jumaat minggu lepas yang isinya meminta kita kembali kepada kepimpinan ulamak seperti yang berlaku di zaman keagungan Islam. Kalau dulu yang menjadi pemimpin ialah orang yang menjadi khatib dan imam, tetapi hari ini semuanya tidak berlaku, sedangkan negara kita secara rasmi mengakui bahawa Islam adalah tunjang dan pegangan utama.
Saya amat berharap agar selepas ini, yang menjadi imam dan membaca khutubah jumaat di seluruh masjid ialah wakil rakyat lelaki-Islam UMNO/PAS/ PKR. Mereka perlu mewakili DUN masing-masing; kemudian bercakaplah tentang amal maaruf nahi mungkar di atas mimbar itu. Kalau mereka boleh menjerit terpekik melolong dalam Dewan Rakyat/Parlimen, harap-harapnya juga mereka boleh juga bercakap tentang keindahan syurga dan kebejatan neraka di dalam masjid tempat mereka dinobatkan sebagai ADUN.
Saya amat berharap dan masih menunggu kepimpinan ulamak yang sebenarnya.
Sebelum melangkah keluar pintu, saya masih mendengar ulasan pemberita bahawa berita lanjut tentang peletakan jawatan Tun Mahathir akan disiarkan sepenuhnya dalam Buletin Utama jam 8 malam. Sesekali, berdetik dalam hati kecil saya, alangkah bagusnya kalau saat ini kita semua sedang berada dalam sebuah masjid dan sedang tekun mendengar tazkirah tentang qada dan qadar ALLAH SWT.
1 ulasan:
ASM Sdr Sham,
Saya baru saja menatap blog sdr selepas membaca rentetan pandangan sdr Zakir. Betul-betul hati dan perasaan saya sedih apabila sdr menyebut kita boleh banyak berguru pada alam, binatang dan habitatnya.Dua hari lalu selepas subuh, dalam samar-samar cahaya di bilik makan saya terserempak dengan ular.Naluri saya segera bertindak membunuh sebelum diserang. Selepas itu saya jadi murung menyesalinya kerana belum tentu ia bertindak kerana mahu membinasakan saya. Dan malam ini tulisan sdr mengingatkan dan menyedihkan saya lagi. Hanya Tuhan yang maha mengetahui dan kepada-Nya saya memohon ampun.
Catat Ulasan