Sabtu, 10 Mei 2008

SEEKOR ULAR DI MEJA PARLIMEN

SEEKOR ULAR DI MEJA PARLIMEN

Ular sawa yang punya kulit berbatik indah
melingkar di atas meja persidangan
sesekali lidah bercabangnya menjelir
dan sesekali matanya tajam menikam

seekor ular sawa
membelet demokrasi
sambil mematuk budaya dan moral

seekor ular sawa
membelet Islami
sambil sesekali menjilat sekular dan sosialis

di meja persidangan
sang ular tidak sendirian
tetapi
ditemani anjing, babi, biawak, kera, lipan, jengking
dan mereka sedang
mencaturkan nepotisme dan kronisme

di sudut kecil parlimen
seekor semut dan sang kancil
telah diikat mulut
dibutakan, dibisukan dan dipekakkan

sesekali juga
anak sang ular sawa
yang menjangkau dewasa
menjilat-jilat muka sang semut dan sang kancil
sambil ditertawakan oleh warga dewan itu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

3 ulasan:

Satira + Kacau berkata...

Tahniah atas keberanian Sdr menggunakan kata anjing dan babi.

marsli n.o berkata...

Ada kempen berhenti merokok di "klinik" saya. Boleh datang buat rujukan. Memang ditujukan antaranya kepada Sdr.

Tanpa Nama berkata...

haiwan haiwan tersebut telah lama bermain main di sekolah tempat sudara mengajar. tanpa disedari mereka telah bersenggama dengan para warga lalu melahirkan anak anak yang telah berpiut.