Selasa, 13 Mei 2008

SALAM DARI TANAH LANGKAWI

SALAM RINDU DARI KEJAUHAN

Hampir 3 tahun aku tidak mengunjungi tanah Langkawi. Tanah helang yang penuh nostalgia Mahsuri, tanah beras terbakar dan tanah yang baharu sahaja beralih angin ke bawah pimpinan parti seislam malaysia (PAS). Nuansanya jauh berbeza, dari hotel seaview; subuh-subuh lagi aku dikejutkan dengan lunak suara tahrim kemudian azan yang merdu. Damai dan indahnya pulau ini.
ii
Semalam di KLIA (sebelum bertolak ke Langkawi), aku ditemukan dengan seorang anak muridku ketika aku mengajar di Sekolah Alam Shah (SAS), yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Polan dalam jurusan kejuruteraan submerin. Kami berbual panjang sambil sesekali mengungkap kenangan di SAS. Dia menyebut nama-nama rakannya seorang demi seorang yang sebahagiannya berada di luar negara dengan jurusan masing-masing. Berputik bangga hati aku apabila mendengar anak-anak murid aku telah menjadi manusia dan bakal pulang dengan ijazah luar negara. Dalam perbualan kami itu, ada sesuatu yang paling menyentuh apabila dia bertanya kepada aku;
Murid: Cikgu, adakah kita telah kehilangan ketuanan Melayu, macam yang selalu cikgu
ceritakan kepada kami dulu?
Aku: Aku tidak segera menjawab tetapi bertanya pula kepadanya, macam mana di Polan?
Murid: Rakyat Polan hanya ada satu bangsa dan bahasa sahaja cikgu. Ketuanan bangsa mereka
kuat dan tinggi. Kami di sana terpaksa belajar bahasa Polan, Bahasa Inggeris tak pakai
langsung. Mereka anti inggeris.
Aku: Itulah yang dikatakan ketuanan. Jangan sebut soal ketuanan jika kita tak sangggup
berkorban dan masih wujud hal-hal berkompromi. Bertolak ansur tak perlu ada dalam
bahasa dan bangsa. Inilah yang perlu kita pertahankan. Tetapi apa yang berlaku
ialah kita mengadai semuanya itu kepada bangsa asing demi istilah 'perpaduan'.
Akhirnya, perpaduan itu memakan diri sendiri seterusnya menjadi api dalam sekam.
Anak murid aku diam sambil menggelengkan kepala. Inilah perkara yang berlaku hari ini. Di parlimen dan di mana-mana orang bercakap hal ketuanan. Tanpa ingin mengulas lanjut; apa yang mampu aku tulis dalam blog ini ialah pemimpin Melayu juga yang silap. Mereka terlalu menurut tuntutan bangsa lain hingga menafikan hak bangsa sendiri.
Cerita mengucup keris, menjulang duli dan sebagainya itu adalah semiotik perjuangan diri sendiri yang akhirnya bertukar menjadi retorik perut sendiri. Tanpa menidakkan niat dan kejujuran, tetapi itulah yang berlaku di balik rintih dan kegusaran hati nurani orang Melayu.
Aku berharap, selepas ini, apa-apa sahaja tindakan kepimpinan kita perlulah meletakkan asa dan sejarah bangsa sebagai tunggak fikir. Nafsu hanya satu angan-angan yang menuntut keputusan sementara sebaliknya bertindak dengan akal dan membaca sejarah bangsa akan membawa kepada kejayaan.

Tiada ulasan: