Isnin, 26 Mei 2008

sebuah kehilangan ...

i
Semuanya telah termaktub dan sebahagiannya telah tergadai. Tetapi kita masih bercakap soal 'menang-menang'. Beberapa pertanyaan meski tuan-tuan jawab nanti. Di mana pertanyaan itu akan menyusul tuan-tuan, itu bukan persoalannya di sini kerana saya sendiri pun tak tahu di mana dan bila saatnya. Yang pasti, tuan-tuan akan menjawabnya juga nanti.
ii.
Sekepal Tanah Sebuah Maruah
(Percakapan Kenangan kepada Pulau Batu Puteh)

Kugenggam tanahmu,
Batu Puteh dengan seluruh rindu terpendam
aku bawa salam mergastua yang kehilangan jejak
aku bawa salam paya bakau yang pernah kita gulati
aku bawa kenangan indah yang kita nikmati
meski hari ini mimpinya telah berubah
namun izinkan
kupijak tanah ini dengan seluruh roh insani
di atas ranjang yang berbeda

Aku bawa kartu ini ketika kau khabarkan
pulau ini akan berpesta mencari sejarah
dari sebuah kapal aku membilang jajaran gelam
sambil menghirup rindu tanah paya
menyimpan ingin bermain raba puyu di sungai bakau
atau memasang lukah mencari sepat.

Aku bawa kartu ini kepadamu
ketika kau khabarkan tanah rindu ini menanti sebuah cinta
yang terpasung oleh kepalsuan duniawi
setelah gagal membeli kenangan mahal ini
oleh janji yang tergadai dengan
sedulang tanah paya, seberkas kayu bakau dan gelam
seketul terumbu karang dan sekawan belacak.

Pulau Batu Putehku yang walang
kugenggam sekepal tanah
kujunjung sebuah maruah
sambil membiarkan air mataku menitis
akan kehilangan
kedaulatan negara
juga pusaka bangsa.


SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.


iii.

Hari ini, mari kita fikirkan pula nasib Pulau Pisang; sebuah pulau yang lebih besar dan indah. Sebuah pulau yang masih belum ternoda kerana tidak pernah dilacuri. Sebagai rakyat marhaen, saya selalu berharap dengan seluruh jiwa agar istilah 'menang-menang' tidak akan saya dan anak cucu cicit saya dengari lagi.
Sejarah tidak sepatutnya berulang kerana SISTEM PENDIDIKAN NEGARA telah berjaya melahirkan ramai SEJARAHWAN. Tetapi saya berharap agar sejarahwan kita tidak menjadi manusia yang membohongi sejarah atau mencipta sejarah baharu yang menyedihkan.
Berapakah harga air mata rakyat Malaysia yang masih bersedih akan kehilangan Pulau Batu Puteh. Berapakah harga yang perlu kita bayar?

6 ulasan:

SAHRUNIZAM berkata...

Salam Tuan Haji,

Ternyata sudah bukan sekadar batu yang putih, malah mata kita juga turut berubah warna; putih mata.

Satu lagi tamparan hebat di pipi seorang dia!

Tanpa Nama berkata...

Masalahnya mereka sibuk dengan kemelut kepimpinnan dan kepartian. Yang dikejar nampaknya semakin tak dapat, yang dikendong berciciran. Kedaulatan tanah air bukan lagi agenda. Kita hanya dimanisi dengan kata-kata. Hanya pura-pura.

Tanpa Nama berkata...

Masalahnya mereka sibuk dengan kemelut kepimpinnan dan kepartian. Yang dikejar nampaknya semakin tak dapat, yang dikendong berciciran. Kedaulatan tanah air bukan lagi agenda. Kita hanya dimanisi dengan kata-kata. Hanya pura-pura.

Ghazali Lateh

satira+kacau berkata...

Sedih dan perit bila hilang satu batu.

Tanpa Nama berkata...

Salam,

sebetulnya, saya tidak nampak apa kaitan antara kehilangan Pulau Batu Puteh dengan kemelut kepartian dan kepimpinan seperti yang diperkatakan oleh saudara Ghazali Lateh yang saya hormati. Perlu dinyatakan bahawa isu Pulau Batu Puteh adalah suatu persoalan undang-undang antarabangsa dan tiada kaitan dengan politik semasa.

Ingin juga saya nyatakan pendapat bahawa pernyataan "menang-menang" di sini harus difahami dari sudut undang-undang apabila kita menilai kembali teks penghakiman tersebut. Apabila Pulau Batu Puteh telah diserahkan kepada Singapura, ia tidak bermakna Malaysia telah kalah secara mutlak.

Tanpa Nama berkata...

Tuan Haji, izinkan saya memberi respons kpd Sdr Tanpa Nama yang membelikan maklum balas terhadap komen saya. Terima kasih atas pandangan Tuan Tanpa Nama. Saya melihat isu kehilangan PBP ini tidak begitu ditonjolkan akibat masalah yang dihadapi oleh pemegang tampuk pemerintahan. Memang tidak ada hubungan langsung dengan isu tersebut. Akan tetapi rakyat seolah-olah tidak mendapat gambaran sebenar tentang isu tersebut. Bukan niat untuk merendah-rendahkan aspek perundangan, akan tetapi hal ini wajar diutamakan agar perkara maruah dan daulat seperti ini tidak berulang lagi, insyaALLah. Memang Malaysia tidak kalah secara mutlak, akan tetapi setiap isu antara Malaysia dengan Singapura, kebanyakannya memihak kepada negara seberang tambak itu. Mudah-mudahan kita memberikan pandangan yang positif dalam hal ini.

Dr. Ghazali Lateh.