Jumaat, 23 Januari 2009
CERITA DARI BENUA RUSUH
Malam tadi saya dihubungi oleh seorang rakan yang sama-sama bersekolah di daerah Muar, juga antara sekolah terbaik Malaysia. Perbualan yang berlanjutan hampir sejam di talian telefon itu berkisah tentang perjuangan politik tanah air. Katanya, hampir 15 tahun tidak bersua, dia akhirnya mendapat nombor telefon saya daripada seorang bekas pelajar saya yang kini menjadi guru di daerahnya. Bekas mahasiswa saya itu kini seorang guru kepada anaknya. Daripada bekas pelajar saya itu, dia mengetahui hampir sebahagian besar perjalanan hidup saya khususnya melalui blog 'tanah nurani' ini. Katanya lagi, dia mengambil masa hampir dua minggu membaca dan cuba memahami pemikiran saya. Tahniah sahabatku kerana masih menggenali diri meski sudah bergeral Datuk UMNO dan mempunyai kuasa di gugusan wilayah selatan tanah air.
Di pendekkan cerita, sahabat saya ini sedang mencari teman sejawat untuk 'team' politiknya. Katanya lagi bahawa dia bakal memegang jawatan penting selepas pemilihan Agung UMNO mac ini. Dia berkira-kira dengan setatus saya hari ini. Saya antara orang yang difikirkan untuk dikanankan sekirannya dia menang dan punya kuasa nanti.
Wah, tawaran yang menarik. Sambil berbicara sesekali terdengar juga gelak sinis kami ketika mengungkapkan kenangan waktu kecil-kecil dahulu. Saya lebih mengenalinya dahulu sebagai seorang budak kampung yang paling penakut untuk bercakap di depan kelas. Malah, pernah pada suatu hari dia hampir pitam apabila diminta oleh guru Bahasa Melayu untuk mendeklamasikan sajak. Ya, itu cerita puluhan tahun dahulu. Kini dia sudah berjawatan dan bergelar.
Berbalik kepada tawarannya itu, dia memberikan saya tempoh sehingga awal ferbuari ini; dan dia amat berharap agar saya tidak menolak pinangannya. Dia juga mendesak agar kami boleh bertemu pada cuti tahun baharu cina ini.
Saya, tidak banyak berfikir atau menentapkan syarat. Sebelum kami mengakhiri perbualan sekitar jam 11.43 malam, saya bertanya kepadanya, "boleh ke kau berjanji sebagai orang umno yang berkuasa untuk membatalkan PPSMI?"
"Kenapa?" katanya mendesak.
"Kalau confirm boleh batal, aku akan fikirkan untuk berkerjasama dengan kau. Jika tidak..." saya berhenti di situ.
"Jika tidak kenapa? Itu aku kena tanya Hishamudin."
"Oklah, sahabatku. Sebenarnya, orang yang mengadai maruah bahasa dan bangsanya sendiri tidak pernah ada dalam kotak fikir aku. Kau carilah kawan-kawan lain yang boleh kau beli dengan kekayaan. Aku orang miskin yang tidak apa-apa kecuali bahasa dan bangsa. Kau carilah balaci lain yang boleh bersekongkol untuk mengadai maruah Melayu."
Ada kesenyapan seketika antara kami seperti talian terputus. Saya menunggu dan beberapa saat kemudian saya dapat mendengar suaranya semula.
"Tak kan sampai macam itu sekali?"
"Kita akan tetap berkawan tetapi sekadar kawan bukan teman sepermainan lagi. Sampaikan salam aku kepada boss kau tu. Assalamulaikum," saya memutuskan talian.
Ketika melepaskan rengus dan menarik nafas kelegaan, telfon bimbit saya berdering kembali. Segara saya capai dan melihat nombor dan nama pemanggil. "Apa lagi yang kau hendak ni," getus hati kecil saya. Saya menekan punat berwarna hijau tanda menjawab panggilan.
"Kau marah benar dengan umno ini apa hal?" Soalan pertama daripada perbualan kedua kami keluar daripada mulutnya.
"Siapa kata aku marah? Aku benci aja." Jawab saya pendek.
"Samalah tu.."
Saya ketawa sinis. "Ialah, aku marah dan benci. Kenapa? Kau nak kata aku tak kenang jasa umno ke?"
"Bukankah umno aja yang mempertahankan Melayu. Kau tengok Perak dan Pulau Pinang, apa dah jadi?"
"Pemikiran aku adalah pemikiran umno era Tun Razak. Orang miskin macam aku boleh duduk semeja dengannya. Tapi sekarang ni, semua pemimpin umno berumah besar dan berkereta besar. Hidup senang-lenang sampai nak salam dengan orang kampung pun takut. Pergi surau solat jemaah lima waktu tak nak. Entahlah, maafkan aku sebab kau mungkin tak macam tu, tapi aku dengar daripada cerita kawan-kawan kita, kau pun dua kali lima juga." Saya sedikit berkeras. Jam mula menunjukkan pukul 12.01 malam.
"Kau ni betul-betul tak bersyukurlah."
"Kepala otak kau tak bersyukur? Sebab aku belajar konsep bersyukurlah aku tak nak bersekongkol dengan kau. Sudahlah, kalau kau nak jumpa aku, esok lepas solat jumaat kita jumpa di KL." Saya mengakhiri kata-kata dengan nada yang masih memaafinya.
"Ok, tak pe nanti aku hubungi kau balik. Esok petang aku di Putrajaya."
Sebelum melelapkan mata, saya berfikir banyak kali tentang sahabat saya itu. Dia lelaki yang cukup bernasib baik. Selepas menamatkan alam persekolah dengan keputusan cemerlang SPMnya, dia ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Jepun dan pulang dengan gelaran 'Ir'. Sejak itu, kami dipisahkan oleh tugas dan keadaan. Jarak antara kampung kami sekitar 20 km menyebabkan kami tidak pernah terserempak pada setiap kali solat hari raya puasa mahupun korban. Begitupun, saya masih mengikuti kisahnya daripada dada akhbar dan teman-teman lain di kampung. Pernah seorang kawan memberitahu saya bahawa rumahnya kini ala-ala mahligai Dato' K. Hendak jumpa di masjid atau surau pun susah.
Nah, begitulah kisah detik-detik jam 11.43 hingga hampir 12.10 malam tadi. Saya sendiri tidak sedar pukul berapa saya terlelap sambil selepas solat jumaat ini saya akan menunggu panggilan daripadanya.
Terima kasih sahabat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
7 ulasan:
Sdr SO: Ada tak kaunampak babi kat rumah itu? Selain anjing, hanya babi sahajalah yang sanggup menajiskan bahasa milik ibundanya sendiri.
Tuan,
1. Teruskan bersahabat dengan ORANG UMNO tu tetapi jangan sesekali bersekongkol dengan ORANG UMNO itu yang tidak berani perjuangkan hak Perlembagaan 152. ORANG UMNO itu bertaraf datuk atau jurutera atau apa-apa sahaja kini dipandang jauh dan mungkin seperti ISXXXX kerana 1000 sebab, salah satunya kerana menyanjung PPSMI..>!
2. Apa itu syukur, tidak bersyukur...? Apakah mengumpul kekayaan 'dalam jalan lain' itu maksudnya kita kena syukur kepada ORANG UMNO itu, boleh tapi BOLEH BLAH...! Kita bersyukur hanya atas rahmat dan nikmat ALLAH SWT... bukan bersyukur kerana UMNO!
3. Tuan, membaca entri ini saya seperti mengesan sesuatu yang agak tersirat (maaf tuan jika saya silap... ini telahan naif) seperti ingin memancing tuan sesuatu...!!??
4. SELAGI UMNO ITU ZALIM / SOMBONG / EGO / BESAR KEPALA ATAU APA-APA SAJA TERHADAP ORANG MELAYU YANG BUKAN PRO UMNO, SELAGI ITU UMNO AKAN BERTERUSAN DIPANDANG NEGATIF APATAH LGI TERUS PERTAHANKAN PPSMI...
5. Semoga tuan teguh kukuh dengan pendirian tuan. JANGAN SESEKALI BERSEKONGKOL DENGAN UMNO ITU... bersahabat tidak mengapa dengan sesiapapun tetapi pendirian tetap harus tegar dan mantap!
Sekian.
rar/
cikgu sungguh tegas dgn rakan..pendirian bagus..saya sokong.
Kepada Pemilik Blog: Celakalah sesuatu bangsa jika ada dari kalangan mereka yang tega mengencingi bahasa ibundanya sendiri. Kalau kita menjadi bangsa yang tidak belajar dari sejarah, maka bersedialah untuk menjadi bangsa yang diketawakan oleh sejarah dan luput dari buku sejarah.
Satira + Kacau
Tahniah atas pendirian tuan dan moga ia berkekalan.
Orang yg tidak mempunyai rasa kaseh akan bahasanya ibarat mempunyai badan yg tiada ruh.
Begitulah tuan bila untuk kepentingan bangsa kena bertanya dengan sang ketua bermakna si pengikut ini hanyalah ikut ikutan.
Tanda-tanda satu entiti itu akan hancur bila apa saja yg pemimpin cakap dianggap sabda, tidak boleh dibantah dan disanggah biarpun ianya salah.
Seolah olah robot yg telah diprogramkan dan tidak tahu menilai yg betul dan salah.
Enggang makan belolok
Ikut orang dia masuk lubuk.
Hidup bangsa kerana bahasa.
Raden
Salam TUAN HAJI,
Sayang sekali, orang yang berfikiran dan bertindak seperti tuan haji tidak banyak. Sayang sekali...
Kepada para pengunjung,
Terima kasih atas catatan anda. Saya melihat semuanya ini adalah sandiwara yang heronya bukan protagonis tetapi 'musang berbulu ayam'.
Marsli N.O, Abdul fatah, Tanpa Nama dan Azhar,
Untuk sampai ke destinasi kadang-kadang perjalanan kita itu menuntut kebitaraan tindak dan fikir. Saya cuba berhati-hati memijak duri meski duri itu tumpul dan tidak berbisa. Doakan juga agar cara hidup yang kita pilih ini mendapat restu dan rahmat daripada-Nya.
Amin
Catat Ulasan