Selasa, 28 Ogos 2007

MEDAN, USU DAN SEBUAH WILAYAH RINDU





i
24-26 Ogos 2007 dan menjejakkan kaki untuk ke-5 kalinya banyak meninggalkan cerita. Kunjungan kali ini dengan misi Seminar Melayu Serumpun menemukan aku dengan perubahan demi perubahan. Setiap kali berkunjung pasti ada perbaharuannya. Paling ketara ialah pembukaan pusat beli belah bergelar SUN PLAZA. Bangunan ini turut dilengkapkan dengan sebuah kedai buku Gramedia yang serba moden, canggih dan sistematik. Di sinilah aku, bapak Arbak Othman, A. Rahim Abdullah, Arif Mohd, Nassury Ibrahim, Azman Ismail dan SM Zakir menghabiskan waktu senggang. Berjam-jam lamanya hingga terlupa waktu makan mahupun ngempot-ngempot. Pak guru M. Saleeh Rahamad dan A. Ghaffar Abdullah lebih banyak menghabiskan masa sendirian; membawa haluan dan hati sendiri-sendiri.

Kota Medan ialah sebuah tradisi yang dibina atas dasar perjuangan Raja Sisingamangaraja XII yang lebih dikenali dengan gelaran merchandise. Slogan 'tau ko medan' bergantungan di mana-mana sementelahan menyambut Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-61. Aku dan teman-teman menginap di Inn Dharma Deli, berhadapan bangunan sejarah peninggalan Belanda. Bangunan penuh seni itu menjadi warisan negara. Indah dan mengagumkan.

Paling menaik ialah kota kecil ini punya 'Pekan Buku' yang sistematik. Sebuah bazar menjual buku-buku lama dan baharu boleh dibeli dengan harga yang murah. Bayangkan Pak Arbak membeli 2 buah kamus tebal berkulit keras hanya dengan harga 50,000 rupiah sahaja (RM25). Cakap soal buku, diam tak diam rupa-rupanya aku telah berjaya menghabiskan 900,000 rupiah. Tak mengapa, buku-buku itu akan menjadi teman setia aku.

ii
Universiti Sumetra Utara (USU) sebuah universiti lama yang amat daif fizikalnya. Aku sedih melihat bangunan dan kemudahan yang ada. USU lebih teruk keadaanya daripada sekolah rendah di Malaysia. Tetapi bagi mereka, yang penting ialah ilmu, fizikalnya tidak penting. Itu kata-kata para dosen (pensyarah) USU. Inilah hakikat yang perlu kita akui bahawa rakyat Indonesia lebih mementingkan ilmu daripada kebendaan.

iii
Kota Medan banyak mengajar aku makna kegigihan hidup. Anak-anak mengutip botol plastik seawal pagi kemudian menjualnya dengan harga 5000 rupiah sekilo. Kanak-kanak yang sepatutnya berada di sekolah dan orang tua masih mengayuh beca atau menjaja rokok kretek untuk mendapatkan sesuap nasi. Mereka hidup di dalam celahan kota dan pembangunan yang memerlukan pengorbanan amat besar untuk mengubah nasib mereka.

Medan
saat hujan berhenti

lalu lintas menghapus jejak air mata
keheningan bertukar menjadi kesibukan


aku tak lagi mampu mengingat

kapan kisah cinta kita berlalu.

Medan; 24-27 Ogos 2007.

Tiada ulasan: