Khamis, 23 Ogos 2007

SETELAH EMBUN MENITIS

i
Esok aku akan bertolak ke Universiti Sumatera Utara (USU) bersama-sama rakan UM, UPM dan PENA. Misi kami kali ini ialah untuk mengikat kembali hubungan dua hala yang terputus sepuluh tahun yang lalu. Maksudnya di sini ialah hubungan antara IPT. Jika hubungan sastera, hubungan itu masih berlaku dalam suasana yang damai dan tidak perlu dinafikan.

Aku perturunkan sepenuhnya kerjas kerja yang akan aku sampaikan itu.


Kertas Kerja Untuk Seminar USU-UM-PENA


BAHASA MELAYU PENGIKAT BANGSA DAN RINDU DUA NEGARA.

SHAMSUDIN OTHMAN
Jabatan Bahasa dan Kemanusiaan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia,
Serdang, SELANGOR


Mukadimah


Adapun segala anak Melayu jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera dibunuh, melainkan yang patuh pada hukum Allah kerana segala Melayu itu, Tuhanlah atau tuanmulah, jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa”.

(Sulalat al-Salatin: 1612)

Wasiat Sultan Alauddin Riwayat Shah ini dipetik sebagai mukadimah kerana hubungan Melayu iaitu antara bangsa dan bahasa itu akrabnya seperti ‘air dicincang tak akan putus’. Meski siapapun kita, pertalian kita hakikatnya diikat oleh unsur air, api, angin dan tanah. Asal kejadian magis yang menautkan darah dan semangat, mengikat cinta terhadap negara dan rindu terhadap bahasa. Antara kita ada roh yang tidak mungkin dapat dipisahkan. Kalau terpisahpun akhirnya akan bertemu semula.

Dimensi material manusia Melayu yang dipasak dengan akal budi, keluhuran dan keimanan Islam sebenarnya telah melahirkan satu konsep baharu yang disepakati untuk dinamai sebagai ‘insaniah intelek’. Inilah uniknya hubungan semiotic dalam memaknakan konsep bangsa atau bahasa. Impak ini telah mengupayakan adifikir kita hingga dapat menyimpulkan bahawa hubungan bangsa dan bahasa tidak boleh dilihat dalam konteks sebuah daratan. Sebaliknya hubungan ini mencakupi sebuah wilayah rindu yang termetri sejak berabad sejarah lamanya. Sempadan geografi yang kita tatap dalam lembaran kertas atau skrin media elektronik itu hanya satu ikon simbolik dataran, siur, parit, sungai, kuala, laut, pulau atau apa sahaja itu, sebenarnya bukan pemisah kepada hubungan darah Melayu yang bermula dari sejarah Sri Tri Buana di Pulau Bintan tetapi hubungan yang terjalin sekian kurun itu diibaratkan seperti ‘aur dengan tebing’ bukannya ‘enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing’.

Menyingkap persoalan bangsa dan bahasa dalam konteks sebuah negara yang merdeka sepintas lalu itu banyak meninggalkan kesan yang menguris kalbu bangsa Melayu. Hubungan dalam makna ketaatan terhadap negara akhirnya dinafikan haknya. Justeru, selebihnya apa selepas ini? Jawapannya ialah tiada apa-apa kerana kita masih diikat oleh idelogi, dokrin, sosiobudaya dan keagamaan Melayu-Islam yang berbaur sekular dan semangat tiada sifat keesahan atau ketakulan terhadap fungsi dan peranan bahasa. Ini bermakna sempadan dalam konteks yang jumud dan syumul itu, tidak pernah wujud sama sekali. Selama ini, kita hanya memikirkan bahasa dan bahasa adalah jiran bersebelahan rumah. Dalam persepsi yang lebih terbuka, siapakah jiran kita pada dataran yang dipisahkan oleh perpaduan, atau menuju sebuah negara bertaraf globalisasi misalnya. Bukankah dua dataran besar ini, tidak pernah dipisahkan dengan ‘pagar’ atau gate yang sentiasa tertutup. Kalau ada pagarpun, di manakah pula kayu, besinya atau jaringnya?

Apabila wilayah rindu orang Melayu diperkosa oleh Portugis sekitar tahun 1511, kita pada hakikatnya sudah menjadi satu bangsa yang berani melintas laut yang luas bergelora. Kita sudah tercatat dalam sejarah sebagai bangsa pedagang yang berjaya dan kaya. Kita juga berjaya menjalin hubungan dengan pedagang-pedagang bertaraf antarabangsa. Hakikat ini perlu kita akur jika kita ingin membuka minda dan menjadi satu bangsa yang kekal bertamadun. Saya bernostalgia begini kerana rata-rata orang Melayu hari ini daif dan ketinggalan dalam kebanyakan bidang. Kita seperti sudah kehilangan pengaruh dan agama Islam dihina. Fahaman terhadap kekayaan dan kemajuan di dunia tidak perlu untuk mendapat tempat di akhirat adalah fahaman manusia yang kecewa. Manusia yang kecewa seperti ini bukanlah satu bangsa yang boleh mempertahan ketegaran Islam dan empayar Melayu yang agung suatu waktu dahulu. Keagunganan kita bermula sejak kurun ke-7 M di bawah kuasaan kerajaan Sriwijaya. Ketika itu, kita memiliki kuasa kelautan (maritime) yang dijelmakan daripada cahaya aqidah keesaan Allah serta konsep falsafah ilmu sarwa (wouldview).

Tanah maritime ini pernah melahirkan gemulah-gemulah hebat bangsa seperti Sultan Alauddin Riwayat Shah, Sultan Manshur Shah, Tun Perak, Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Hamzah Fanzuri, Abdullah Munshi, Mohammad Yamin, Zaaba, Ibrahim Yaacob, Tun Abdul Razak, dan kerajaan-kerajaan besar seperti, Pasai, Melaka, Aceh, Patani, Banjarmasin, Palembang, Riau-Johor dan nama-nama lain yang pernah tercatat dalam penemuan Marco Polo, Winsterd, Prof. A. Teeuw atau Ibnu Batutah. Nama-nama besar itu diperaku membawa pembaharuan yang bertitik tolak daripada Islam sebagai agama sejagat dan universal. Dan mereka inilah bangsa Melayu yang bertutur dalam bahasa Melayu dalam warna pendatang dan pedagang seperti bangsa China, India, Portugis, Inggeris, Arab dan lain-lain. Kekuatan bahasa Melayu telah berjaya menyatukan bangsa-bangsa pedagang ini dalam nuasa ekonomi dan politik sesebuah negara.

Justeru, tamadun tinggi bahasa dan bangsa Melayu yang tidak bersempadan ini, pada hemat saya, ialah tamadun yang bersumberkan prinsip dan ketetapan Illahi yang qat’i. Tamadun yang dicipta itu bukan tamadun yang semata-semata bersumberkan pertimbangan akal manusia tetapi lebih daripada itu. Dalam hal ini, saya tidak menganggap akal tidak berperanan dalam membina tamadun sebaliknya akal tidak akan berfungsi sekiranya tidak dinukilkan daripada kitab mukjizat al-Quran dan Sunnah.

Sebagai satu bangsa yang hidup dan menghirup udara abad-21, kenyataan sejarah lebih 700 tahun itu telah menjadi satu unsur yang penting dalam usaha melestarikan tamadun Melayu di muka bumi Allah ini.

Nah! Mengapa saya mengungkapkan persoalan peribahasa Melayu ‘air dicincang tak akan putus’ dalam makalah ini? Kebimbangan memahami dan mentafsir peribahasa ini benar-benar mengugahkah naluri. Selepas peristiwa hitam perjanjian Inggeris-Belanda dan berakhirnya gerakan Malindo (Malaysia-Indonesia) atau ideologi Jepun ‘Asia untuk Asia’, kita seperti menjadi bangsa yang berbeda; terpisah dan dikoyak-koyakkan. Kenangan-kenangan manis menjadi satu ingatan. Apa yang timbul hari ini ialah kepedihan dalam sanubari; menjadi sembilu dalam darah daging kerana kegemilangan itu seperti cinta dan rindu yang telah hilang. Kita akhirnya menjadi bangsa yang menangisi diri sendiri setelah melihat kelunturan dan kehormatan bangsa Melayu mula terkulai dalam kaisar globalisasi. Apatah lagi apabila raksasa bertopeng setan (barat) itu mula menguja kehidupan babarian.

Sebuah negara bertamadun sudah pasti berjaya melahirkan manusia yang dapat mendirikan budaya fikir, akal budi dan antropologi (kajian tentang manusia). Kita sebagai manusia yang dilahir dan dibesarkan dengan bau sungai, tanah bakau, ombak selat sewajibnya tidak memisahkan tradisional dan moden. Moden menjadi lambang kemajuan zaman, sementara tradisional menjadi model-model kearifan hidup. Oleh itu, kalau bukan kita, siapa lagi yang harus memulakan kebangkitan semula tamadun kita yang gah pada suatu waktu dahulu.

Orang-orang Melayu dengan bahasa Melayunya telah terbukti menjadi penentu kepada pembangunan sesebuah kerajaan. Bermula dari jeti persinggahan, segalanya bertukar menjadi pelabuhan. Dari pelabuhan bertukar pula menjadi bandar dan seterusnya menjadi negara. Melaka, Singapura dan Aceh misalnya hari ini menjadi negeri yang disegani. Sayang sekali, kebanggaan ini tercemar apabila sesetengah intelektual Melayu yang memiliki sekelumit pengetahuan menjadi pelawak hanya kerana memiliki ilmu retorik yang tidak bersandarkan sejarah. Mereka keterlaluan menyanjung barat sehingga mentafsir tanah Melayu dan bahasa Melayu ini bukan dengan ilmu budaya menyebabkan mereka tersasar dari arah pemikiran oksidentalsime (melihat barat dengan mata timur). Sejarah itu juga yang menukarkan nama Negara kita daripada Tanah Melayu kepada Malaya seterusnya Malaysia. Bukankah ini penjajahan semula daripada kelicikan oksidentalisme itu?

Di rantau selat ini, ada tiga golongan orang Melayu yang membodohkan diri mereka sendiri. Pertama, golongan yang menganggap masalah orang Melayu akan diselesaikan oleh orang Melayu sendiri. Golongan kedua, golongan yang hanya memerhati bangsa dan agama sendiri dipijak; dan ketiga, golongan yang secara ideloginya mengharapkan ikhsan orang lain. Pemikiran ini kian menular kerana, golongan-golongan yang tidak beretika ini akan mengharapkan kuasa politik mengubah segala-galanya. Sikap culas dan mengambil mudah ini tidak boleh dibiarkan kerana kemelut politik Melayu hari ini seperti kehilangan semangat nasionalisme, malah lebih teruk lagi bersikap seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing.

Kesimpulan

Tanah Melayu ini, perlu lari daripada igauan ‘tanah perca’ atau ‘negeri pojok angin’. Ilmu yang dimiliki oleh orang Yunani, Rom, Parsi dan Arab, yang berjaya meneroka bulan bintang itu perlu kita kuasai dan ditandingi dengan pasak agama Islam supaya keegoan kita seperti yang pernah diungkapkan oleh Van Linschotten (sarjana Belanda yang banyak menulis hal ehwal Kepulauan Melayu, pada abad ke-18), dapat disuburkan kembali. Beliau menulis;

Bahasa Melayu pada masa itu, bukan sahaja amat harum namanya juga dianggap bahasa yang paling dihormati di antara bahasa-bahasa timur, dan bahawa orang yang tidak tahu akan bahasa Melayu di Kepulauan Melayu dapatlah dibandingkan dengan orang yang tidak tahu akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu.


Akhirulkalam, makalah ini hanya boleh berharap agar semangat atau budaya Melayu khususnya bahasa Melayu tidak terus hilang di ruang selat atau jiwa sebuah negara bangsa. Tradisi terhadap kesetiaan dan yakin diri terhadap maruah warisan bangsa wajib ditautkan kembali. Marilah kita sama-sama menari zapin di pentas rindu yang pernah menyatukan kita. Kita berlari di celahan pohon gelam, nipah, nibung dan sagu. Inilah harta paling mahal yang perlu dibayar jika kita kehilangannya.

Inilah kita, bahasa melambangkan bangsa.

Wassalam.

Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: