Khamis, 2 Ogos 2007

CERITA RINDU


i
Saat usia yang kian diperhatikan oleh detik waktu, aku menjadi manusia yang setia kepada rindu. Rindu keluarga, rindu ayah ibu, rindu taulan sepengajian, rindu kekasih dan rindu kepada janji yang masih belum tertunai. Ini semua adalah sebuah cinta yang lain dan amat sukar untuk dimengertikan. Hampir sebulan aku tidak pulang ke kampung halaman tercinta. Banyak cerita daripada ayah bonda tentang durian yang mula gugur, rambutan yang mula menguning dan memerah, duku langsat yang kian merekah dan manggis yang kian mengeras di pohonan. Inilah kenangan yang indah; aku tak dapat bayangkan kalau aku dapat kembali panjat pokok buah-buahan itu seperti zaman remaja dahulu. Ah, seronok saat itu! Tetapi semuanya kian hilang daripada diriku hari ini kerana hambatan waktu, beban tugas dan usia yang kian menua. Bagaimanapun aku pastikan detik-detik indah dalam rindu itu akan aku ladeni meski dalam waktu yang benar-benar terbatas.

ii
Sajak aku tersiar dalam majalah 'Dewan Siswa' Ogos 2007. Sajak atas permintaan editor aku tujukan kepada anak-anakku yang kian dewasa. Malam tadi, anak aku yang sulung bertanya, "ayah kecewakah dengan negara kita?". Aku tidak segera menjawab. Aku merenung wajah anakku dengan seribu sebak yang hanya aku sendiri sahaja yang faham. "Kenapa,?" Tanyaku selamba. "Kak Long baca sajak tu, macam ada yang tak kena aja," jawab anakku bersahaja. Dan tanpa ingin menyusahkan anakku itu, aku menyimpulkan kata-kata, "nanti apabila kak long dah dewasa, kak long tahulah apa yang telah kerajaan lakukan kepada bangsa kita Melayu ini. Kak long belajarlah rajin-rajin dan jadilah seorang pejuang walaupun kak long seorang wanita."
Sebenarnya sajak "Selamat Ulang Tahun Tanah Airku" itu banyak menyimpulkan dendam kesumatku terhadap juak-juak kerajaan yang terlupa peranan mereka sebagai ulil Amri, pemimpin atau kepala bapak.
Ini juga adalah sebuah rindu yang lama berakar umbi dalam sanubariku.

iii
Bercakap tentang merdeka, sudah merdekakah kita? 2 keping gambar di atas merupakan gambar klasik tentang makna rindu dan merdeka!

Tiada ulasan: