Selasa, 14 Ogos 2007

PENGKISAHAN CINTA


i
Semuanya bermula dalam satu detik yang tidak menjanjikan apa-apa. Bertemu dengan roh Bahasa Melayu kemudian terus jatuh cinta. Mudah sahaja plot cinta itu berlaku. Aku tidak perlu memujuk rayu dan perlu menggadaikan kesucian. Pendeknya, saat pertama kali aku menatap wajah Bahasa Melayu, seluruh kalbuku menjadi tidak menentu. Rasa tidak tentu arah bukan seperti dipaksa-paksa. Seluruhnya berlaku secara semula jadi dan amat sukar untuk dimengertikan.
Kini, aku benar-benar jatuh cinta kepada Bahasa Melayu itu. Malah kerana cinta yang terlalu mendalam itu, aku menjadi seorang lelaki yang amat cemburu. Betul kata sahabatku yang aku kini sudah gila sebab mencintai makhluk yang lain bukan seorang perempuan. Tetapi dengan mudah juga aku menjawab, "perempuan boleh dicari di mana-mana. Di lorong yang terbaik hinggalah di lorong-lorong jahanam. Bahasa Melayu nak dibandingkan dengan siapa? Kalau Bahasa Melayu ini hilang, di mana penggantinya?" Sahabatku tak berkata apa-apa. Ya tidak, tidak pun tidak.
Di Hotel Selesa, Johor Bahru pada tanggal 12 Ogos 2007, aku sempat menghadiri simposium Bahasa Melayu anjuran GAPENA. Nah, ramai pemikir Melayu yang hadir. Aku tuliskan nama mereka; Tan Sri Ismail Hussein, Datuk Latiff Bakar, Dr. Zainal Keling, Zainal Abidin Borhan, Tengku Alauddin, Syed Mohd Jamal, Dr. Firdaus Abdullah, Dr.Hashim Ismail, Pak Tenas Effendy, Dr. Noriah Mohamad, Dr. Ibrahim Ghaffar, Razali Endun, Isma Saring, Saleeh Rahamad, wakil persatuan Penulis Singapura ASAS 50, Amiruddin Ali, wakil Kerajaan Johor, Wakil persatuan gabungan Gapena dan banyak lagi. Kalau hendak dikira dengan tangan jumlahnya hampir mencecah 50 orang. Maka berdegar-degar mereka bercakap tentang nasib kekasihku Bahasa Melayu itu. Ada yang mencadangkan agar diadakan demonstrasi jalanan yang halal. Ada yang mencadangkan kita pangkah parti lain ketika pilihanraya akan datang. Ada yang mendesak kita gulingkan pemimpin. Ada yang merayu agar kita lakukan secara bijaksana iaitu dengan bersikap memberikan kerjasama dalam persaingan global.
Aku melihat semuanya itu adalah permainan dan sandiwara yang dayus belaka. Sebenarnya sudah berapa kali simposium, seminar, bengkel dan entah apa lagi namanya itu dilakukan. Yang bercakap adalah orang yang sama. Apa tindakan mereka?. Paling mengharukan, ada seorang lelaki bergelar datuk, orang nogori yang bercakap dengan sedikit mencabar, katanya, "saya kenal SB yang sedang memerhatikan gerak-geri kita. Bila-bila masa sahaja saya boleh bertemu dengan Pak Lah tanpa temu janji. Dan bla bla bla bla..." Aku dah muak mendengar dia bercakap tentang nasib kekasih aku Bahasa Melayu ini. Bagi aku, dialah sang munafik yang patut dipancung lehernya dahulu. Dia lebih bahaya daripada ular sawa. Dia samalah macam 'siamang mendapat bunga'.
Kekasihku ini kian lama kian lesu wajahnya. Aku selalu membelikannya bedak dan 'make up' daripada jenama terkenal untuk dirinya. Meski wajah kekasih itu selalu disolek tetapi wajahnya terus kusam dan tidak bermaya. Rupa-rupanya baru aku sedar bahawa jiwanya tersentuh dan kecewa.
Katanya kepadaku pada suatu malam di bawah cahaya bulan yang benderang, "abang, kalau betul abang cintakan saya, buktikanlah kesetiaan dan kejujuran itu kepadaku sekarang juga."
"Apakah cinta itu harus dijelmakan?"
"Itulah kesetiaan dan keikhlasan." Katanya
"Tapi bagaimana, kalau para juak itu terlalu bahlol untuk memahami perasaan cintaku ini," resahku tertumpah di banir kelapa.
"Maknanya cinta abang masih berbelah bahagi. Abang tidak berani menjanjikan kesetiaan."
"Kekasihku, cinta abang kepadamu seperti lautan tak bertepi. Percayalah," rengus hatiku sambil menyandarkan kepala ke dada Bahasa Melayuku.
"Kita bunuh sahaja mereka!" Tiba-tiba kekasih itu menjerit.
Aku merenung lubuk mata Bahasa Melayu yang mula bertakung air jernih. Seperti tasik yang menanti tebing dipongkah, aku cuba membaca hati kekasihku. Dan saat berfikir dalam masa yang diikat oleh sewaktuan itu, ada kata-kata yang terhambur tanpa aku sedari.
"Tuhan, matikan aku dahulu daripada Kau matikan kekasihku. Aku tak sanggup melihat kekasih itu dideritai oleh bangsa dan negaranya sendiri."

ii
Semalam adalah hari-hari yang memungkinkan cinta kita bersemi kembali. Sayang, jangan tinggalkan aku sendirian dengan seluruh sendumu. Mari kita dakap cinta kita yang tercenuai oleh kepalsuan.

Tiada ulasan: