Isnin, 6 Ogos 2007

MERDEKAKAH BAHASA MELAYU?

Interi pilihan kali ini ialah 'Merdekakah Bahasa Melayu'?
Membaca surat khabar hari Khamis 2 Ogos 2007 Utusan Malaysia dalam ruangan Forum ada sesuatu yang menarik untuk dikongsikan. Tulisan Budi Hartono yang nama chinanya Lim Sia Kim seorang rakyat Indonesia kesal dengan nasib dengan Bahasa Melayu di Malaysia. Katanya hal ini tidak berlaku di Indonesia kerana orang china atau apa suku bangsa sekalipun boleh bercakap bahasa Melayu Indonesia dengan fasih. Di Malaysia katanya, orang china dan india tidak fasih dan ada yang tidak boleh bertutur langsung bahasa Melayu. Dia sedih. Tetapi yang menariknya apabila dia punya dua nama; satu nama Indonesia dan satu lagi nama china. Nah, itu baharu dikatakan perpaduan. Bolehkah bangsa china dan india di Malaysia berbuat begitu? Tentu jawapannya ialah idea ini terlalu ekstrim. Siapa yang kata?

ii
Semalam dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, RTM, tetamu undangan Datuk Muhammad Rahmat dan Datuk Aziz Setapa diundang untuk bercakap tentang merdeka dan nasib DEB. Kenapa setelah mereka bersara daripada UMNO mereka bercakap lebih jujur dan tidak berkepentingan. Kalaulah idea dan pemikiran itu dicanang dalam UMNO sejak pemerintahan dan kekuasaan mereka, aku rasa Melayu sudah lama sedar akan makna merdeka yang sebenarnya. Sayang, setelah mereka tidak punya kuasa baharulah idea itu dilahirkan secara jujur.

Muhamad Daud Muhamad meneruskan gagasannya dalam akhbar 'Siasah' terkini. Dia menegaskan bahawa TPM kita hari ini telah mengkhianati perjuanangan ayahnya Tun Razak. Aku tertarik dengan tulisan itu kerana dia melihat apa yang akan berlaku 50 tahun selepas ini. Andaiannya, jika dalam tempoh 20 tahun kita kehilangan Tun Razak; macam-macam wawasannya dicelarukan oleh anaknya sendiri. Bagaimana pula selepas ini jika anaknya itu tidak lagi menjadi juak UMNO? Adakah cucu-cicit Tun Razak punya kuasa atau berkuasa untuk mengubah keadaan itu?

iv
Banyak yang aku belajar sejak menjadi warga UPM. Aku mula merasai bahang pilihanraya yang akan berlaku bila-bila masa sahaja. Saat ini, kita perlu menjadi manusia yang bijaksana untuk memilih pemimpin yang ulul Amri. Dan banyak juga yang hendak aku perkatakan tetapi masa dan ruang amat terbatas. Aku kini sedang diperhati dan percaturkan. Hendak berkongsi cerita lebih-lebihpun mungkin tidak boleh. Bukan takut tetapi aku selalu ingat pesan Tok Guru, katanya, "menjulung keris biar kena pada masa dan tempatnya." Mudah-mudahan Allah SWT akan sentiasa di sisiku. Amin.

Tiada ulasan: