Ahad, 13 Jun 2010

SEPINCING MALAM DI DADAKU

SEPINCING MALAM DI DADAKU

Membaca puisi-puisimu
seakan membawa aku jauh
ke negeri keindahan
kesentosaan dan kedamaian
yang bersatu
di dalam keharmonian akal
benar-benar menyedarkan
demikianlah,
apabila waktu mengajar aku
mengenal takrif hikmah
yang terbit dari jernih akal,
makanya aku sentiasa
terasa dikejar dosa masa lalu
untuk mempercayai atau menidakkannya
aku kadang-kala diambang takut
yang amat sangat
seperti Al-Ghazali dan Khaldum
menyusun kata-kata,
begitu jugalah aku
yang sedang mencari kata-kata
dalam kenangan dan pengalaman
yang subur.

Saat kenangan dan pengalaman
bersayap merpati
terbang ke negeri kematian
rohku kah yang berwajah mawar
semerbak mengharum
di taman perkasihan
menjadi hujan
lalu membasah bumi.

Kerana aku bernama kenangan
akulah sekawan angin
yang mendesir
di hujung cinta-Mu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

Tiada ulasan: