Ahad, 11 Mac 2007

al kisah resolusi yang tidak penah cuba difahami dan cerita-cerita lain


HARI ini, Ahad- 11 Mac 2007, tulisan Salman Sulaiman dalam ruangan sastera Mingguan Malaysia telah membangkitkan persoalan yang pernah aku bangkitkan suatu waktu dahulu. Hampir setahun berlalu; Salman (seorang produk USM, MPR dan anak jati tanah serambi Mekah) ini meneruskan kembali perjuangan sekelompok penulis muda tanah air yang suaranya hari ini perlu didengari. Soalnya kenapa suara anak-anak muda ini perlu didengari? Bukankah suara orang-orang tua hari ini yang dahulunya pernah muda itu tidak pernah lantang seperti anak-anak muda hari ini? Tanyalah mereka atau orang-orang tua itu.

Nah, inilah yang perlu difikirkan bersama-sama, bukannya orang tua itu hari ini melatah dan menuduh MEMBATI BUTA. Maaf kalau aku katakan, melatah tanpa usul periksa adalah sifat iri hati yang jumud. Bukankah dengan memberikan ruang bermakna anak-anak muda hari ini telah meneruskan apa yang pernah mereka lakukan dahulu. Kalau dahulu, mereka sering marah-marah kerana kebenaran; bukankah hari ini anak-anak muda ini marah-marah juga kerana kebenaran? Kalau orang tua itu mengatakan itu bukan kebenaran bermakna mereka adalah bapak kepada ketidakbenaran yang mereka ciptakan.

Hidup ini seperti roda kata Abu Nawas. Hidup dan kehidupan serta dunia ini bukan empat segi katanya lagi. Oleh itu, yang muda pasti akan tua, dan yang tua pasti akan mati. Begitupun orang muda kena ingat juga bahawa jangan fikir mereka akan mati saat tua. Kuasa Allah SWT adalah kekuatan yang tiada tandingannya.

Justeru, kepada rakan-rakan yang orang tuanya adalah juak-juak itu yang haipokrit dan tak sedar diri tolong ingatkan kepada mereka bahawa di luar sana ada sekelompok anak-anak muda yang bijaksana dan akan meneruskan perjuangan mereka mencari dan akan terus bercakap tentang kebenaran. Katakan kepada mereka juga bahawa anak-anak muda ini kirim salam.


ii

SEMALAM di UPM telah diadakan diskusi buku anjuran pelajar program DPLI. 3 buku yang didiskusikan ialah Fosil (Amirul Fakir), Sebelum Menjadi Penakut (Salman Sulaiman) dan Taman Percakapan (Shamsudin Othman). Diskusi anjuaran DBP-PENA-FPP UPM, dilakukan oleh Mohamad Sahidan (DBP), Napiee Mat (UPM) dan Rahimidin Zahari (IB). Ketiga-tiga kumpulan puisi ini secara kesimpulannya dilihat sebagai penyambung nafas kepada perkembangan puisi tanah tanah air.

Kertas Kerja sdr Rahimidin Zahari tentang kumpulan sajak 'Taman Percakapan' akan menyusul kemudian dalam blog ini. TUNGGUUU!

Menariknya majlis ini apabila SN Dr. S. Othman Kelantan sebagai perasmi majlis menjelaskan;

i. kita WAJIB menghormati orang yang berilmu kerana orang yang
berilmu tidak akan meghina orang lain (dia sindir siapa tu?).

ii. jalur puisi tanah air diketuai oleh 6 orang penyair besar iaitu,

a. Usman Awang
b. Kassim Ahmad
c. Abd Aziz HM
d. AGI (A Ghafar Ibrahim)
e. Suhaimi Hj Muhammad
f. Latiff Mohidin


Hal jalur kepenyairan Malaysia ini belum lagi ditulis oleh mana-mana sarjana. Mungkin nanti, kita berharap agar SN S. Othman Kelantan boleh menulisnya dengan lebih terperinci sebab itu tugas dia. Tugas aku ialah menulis sajak dan terus menulis sajak. Di manakah aku (?) dalam jalur tersebut biarlah mereka yang memikirkannnya.


iii

Al-Fatihah juga kepada Allahyarham Tan Sri Rafie Mahat yang telah kembali menemui yang Esa. Anda boleh membaca biografinya yang ditulis oleh aku dan rakan-rakan terbitan MBKM (2005). Buku ini berjudul 'Sebutir Bintang Mengerdip' yang dipilih daripada sajak khas aku untuknya. Sesuatu yang menariknya tentang Allahyarham ialah, dia seorang yang peramah dan dapat mengingati nama orang lain. Moga Allah meneriman segala amalan dan jasa baktinya kepada negara.


iv

AKU pulang ke kampung dengan penuh rasa damai di hati. Saudara-mara masih mengamalkan budaya islam-timur. Kesegaran cinta akan Islam, budaya Melayu benar-benar meruntun kalbu.


Ah! Syahdu dan damainya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sesetengah orang tua ni macam Napoleon dalam Animal Farm Orwell. Berjuang untuk perut sendiri. Tapi, ada suatu kepastian ttg napoleon-napoleon orwell ini; mereka sama-sama ....

Tanpa Nama berkata...

saya berada dalam diskusi taman percakap (tp) tu..hebat! butir kata sdr Rahimidin menyorot TP membuatkan saya teruja untuk memiliki TP...tahniah ya...buku yang baik, diulas oleh orang yang baik, berganda kebaikannya....