Rabu, 21 Mac 2007

Menimba Sebuah Sepi

i
LEWAT tadi malam, saat menekuni "Rindu Tanpa Akhir", tanpa aku sedari ada zouk' yang meresap dan mula mencuri-curi ruang untuk cuba menyebati dengan diriku. Meski berkali-kali aku cuba menerima dengan dada yang terbuka; tetapi seperti ada desakan yang ingin pula menidakkan. Justeru, saat bertarung dengan keinginan dan ketidakmahuan yang menguja itu, aku mula terfikir makna rindu yang kucari selama ini.
Al-Ghazali, sang Hujjat al-Islam ini mengupas cara bagaimana kita perlu dicintai, mencintai dan nikmat lazatnya kerinduan rohani. Membaca naskah ini, mengundang rasa intim spritual dan pencarian kebahagian abadi.

ii
lalu aku teringat sajak Rumi;

cinta adalah abadi
tapi ia mudah memugar dan menghilang
kerana cinta
manusia memburu cahaya cinta Illahi
dan sejati melekat pada iman

pencinta harus berani
memilih emas dari kilaunya.

Rumi.

iii
Aku sendiri tidak pasti atas alasan apa, sejak beberapa malam ini - aku sering dikunjungi rindu-rindu masa lalu yang mengasyikkan. Rindu kepada kampung halaman yang ditinggalkan, juga kekasih seperti desir angin yang menampar-nampar pipiku. Meski tamparan itu pedih, tetapi yang aku rasa adalah belaian syahdunya. Bagaimana harus aku membunuh masa lalu kalau kekinian adalah jambatan masa depan yang dikabusi sangsi.

Hujan, berikan aku seteguk penawar
untukku bebat luka yang masih bernanah.

iv
Rupa-rupanya, kerinduan itu menjadi tanda akan 'laptop' yang terpakas di'formmat' semula kerana virus. Habis semua gambar-gambar kenangan kembara aku ketika di Turki, Jakarta, Thailand, Bali, Mekah, sebahagian eropah dll nya itu adalah gambar bersama-sama rakan penulis. Aduh! rasa nak berderai air mata.
Malah, lebih malang lagi, sebahagian bab awal tesis Phd (yang kutulis sehari sehelai), sajak-sajak juga cerpen 'Penjilat Bulan' yang masih dalam tukangan itu musnah tanpa sempat aku pindahkan.

Aku akan belajar daripada kesilapan ini, sayang.

1 ulasan:

Zaid Akhtar berkata...

ta'ziyah Abg Din...
hilang harta intelek satu kerugian besar :-(

Inna Lillah