i
MALAM tadi lepas maghrib aku bertazkirah dengan anak-anak di rumah. Maklumlah justeru terlalu sibuk dengan rutin, makanya tazkiran seperti ini agak culas aku ladeni. Mungkin kerja dan mengejar kebendaan menyebabkan ruin itu tidak lancar seperti sebelumnya. Nah, itu kesilapan sendiri kerana tidak pandai membahagi-bahagikan waktu. Berbalik kepada tazkirah aku; aku menceritakan kepada anak-anakku tentang kiamat. Bagaimana azab dan seksa mengikut dosa yang dilakukan oleh manusia. Rujukan aku ialah kitab 'Menjadi Kekasih Allah' karya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Ketika tazkirah aku melihat anak-anak itu begitu taat mendengar (mungkin menghayati atau takut) hinggalah ke akhirnya lebih kurang jam 8.15 mlm. Sebelum menamatkan tazkirah, anakku yang berusia 6 tahun bertanya, "ayah, Saiyidah pasti kiamat sudah hampir. Lebih baik kita sembahyang lama-lama."
Isteriku gelak dan aku dapat bayangkan tentu anak-anak dan isteri teringatkan filem yang sempat kami tonton bersama-sama 2 bulan lalu iaitu filem berjudul 'Kiamat Sudah Hampir'. Rupa-rupanya, anak sekecil itu pun takut pada kiamat.
ii
Bercakap tentang kiamat; aku tidak faham kenapa berita pagi di akhbar ada cerita oranga buang bayi di Seremban. Adakah mereka tidak takut atau sengaja nak mencabar kekuasaan Allah? Atau adakah mereka terdesak atau mungkin juga menjadi mangsa kemerdekaan dan globalisasi?
iii
Ya Rabb,
kiamat yang pasti
bagaimana mampu aku lalui
jika beban dosa
tidak Kau hapuskan?
Segeralah Kau utuskan jawapan
pertanyaan demi pertanyaan
yang berlengkar dalam sukmaku.
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan