Ahad, 18 Mac 2007

Berakhirnya Rutin Cuti i.

CUTI sekolah berakhir hari ini. Aku baharu sahaja selesai menyiapkan soalan EDU 3313 (UPM: Komunikasi). Seharian berulit dengan nota-nota P&P membayangkan sejauh mana aku berupaya mengajar calon guru untuk menjadi insan yang bernurani 'guru'. Soalnya berjayakah aku mendidik mereka?

ii
Sepanjang cuti, aku lebih banyak berulit dengan buku yang sempat aku beli di Jakarta dan Bali. Buku-buku yang tak sempat aku buka sampul plastiknya; aku pilih baca mengikut desak naluri. Menariknya ialah membaca novel karya Saddam Hussein bertajuk 'TARIAN SETAN'. Karya ini membangkitkan kebencian aku kepada Amerika yang dayus, bacul, penakut, rakus dan tidak berperikemanusiaan. Saddam berkisah tentang perjuangannya mempertahankan hak dan idelismenya. Begitupun tanpa disedari, ada duri dalam daging yang memusnahkan perjuangannya. Inilah pengajaran yang boleh diambil sebagai ikhtibar bahawa 'duri dalam daging' ada di mana-mana. Peribahasa ini ada di sekeliling kita. Justeru, berhati-hatilah.

iii
Malam-malam begini, aku menerima sms daripada kekasih yang lama menyepi. Rasa terhibur dan gembira tak dapat aku ceritakan meski isinya meminta sedikit pertolongan. Biasalah, dalam kehidupan ini kita tidak boleh hidup sendirian. Kita perlukan seseorang untuk mendengar dan berkongsi masalah. Kekasihku yang sukar aku fahami itu sebenarnya lebih suka memendam rasa dan berdikari. Itu haknya dan aku hormati tindakan yang baginya itu terlalu idealis. Moga semua masalahnya dapat terungkai dan kekasihku itu akan bahagia dengan pilihannya. Dari jauh aku selalu berdoa agar rakan-rakan aku berjaya dalam perjuangan hidup. Sebaik-baiknya mereka jangan melalui pengalaman seperti Saddam yang bertemu dengan 'duri dalam daging' ketika berjuang.

iv.
Di sebelah tangan kanan aku tersusun sebahagian buku-buku baharu yang masih belum sempat aku ladeni. Begitupun, buku yang akan segera aku tekuni ialah 'Rindu Tanpa Akhir' karya Imam al-Ghazali. Moga aku menemui mutiara rindu yang aku cari selama ini.

Allah, kembalikan rinduku yang hilang.
Amin.

Tiada ulasan: