Jumaat, 30 Mac 2007

Ketemu lagi dan salam rindu

Apa khabar? Maklumlah, setelah kita hampir dua minggu tidak bertemu. Aku terlalu sibuk dengan urusan duniawi yang entah apa-apa. Pergi ke Lahat Datu selama seminggu kemudian terpaksa berkejaran pula menyiapkan diri untuk menghadiri temu duga. Kekangan kudrat ditambah dengan rutin keguruan benar-benar meruwetkan. Hendak tak hendak, semuanya itu terpaksa aku lakukan dengan sebaik-baiknya kerana itu tanggungjawab dunia.
ii
Semalam aku baru dapat memulakan kehidupan seperti biasa. Membaca dan menonton. Terasa seronok setelah hampir dua minggu ditekan beban tugas. Justeru, aku sempat berulit dengan kumpulan sajak Suhaimi Hj Muhammad yang terkini 'Cintamu Umi' terbitan DBP:2007. Syahdu dan segar sekali nuasa percakapan dan pemikirannya. Inilah karya terbaharunya yang aku kira akan meninggalkan surealisme yang menjadi pendiriannya selama ini. Tahniah As-Syuhaimi.
iii
Lama tak layari blog rakan-rakan, banyak cerita/berita terkini tak sempat aku ladeni. Email rakan-rakan juga tidak sempat aku balas atau tatapi. Maaf.

Rabu, 21 Mac 2007

Menimba Sebuah Sepi

i
LEWAT tadi malam, saat menekuni "Rindu Tanpa Akhir", tanpa aku sedari ada zouk' yang meresap dan mula mencuri-curi ruang untuk cuba menyebati dengan diriku. Meski berkali-kali aku cuba menerima dengan dada yang terbuka; tetapi seperti ada desakan yang ingin pula menidakkan. Justeru, saat bertarung dengan keinginan dan ketidakmahuan yang menguja itu, aku mula terfikir makna rindu yang kucari selama ini.
Al-Ghazali, sang Hujjat al-Islam ini mengupas cara bagaimana kita perlu dicintai, mencintai dan nikmat lazatnya kerinduan rohani. Membaca naskah ini, mengundang rasa intim spritual dan pencarian kebahagian abadi.

ii
lalu aku teringat sajak Rumi;

cinta adalah abadi
tapi ia mudah memugar dan menghilang
kerana cinta
manusia memburu cahaya cinta Illahi
dan sejati melekat pada iman

pencinta harus berani
memilih emas dari kilaunya.

Rumi.

iii
Aku sendiri tidak pasti atas alasan apa, sejak beberapa malam ini - aku sering dikunjungi rindu-rindu masa lalu yang mengasyikkan. Rindu kepada kampung halaman yang ditinggalkan, juga kekasih seperti desir angin yang menampar-nampar pipiku. Meski tamparan itu pedih, tetapi yang aku rasa adalah belaian syahdunya. Bagaimana harus aku membunuh masa lalu kalau kekinian adalah jambatan masa depan yang dikabusi sangsi.

Hujan, berikan aku seteguk penawar
untukku bebat luka yang masih bernanah.

iv
Rupa-rupanya, kerinduan itu menjadi tanda akan 'laptop' yang terpakas di'formmat' semula kerana virus. Habis semua gambar-gambar kenangan kembara aku ketika di Turki, Jakarta, Thailand, Bali, Mekah, sebahagian eropah dll nya itu adalah gambar bersama-sama rakan penulis. Aduh! rasa nak berderai air mata.
Malah, lebih malang lagi, sebahagian bab awal tesis Phd (yang kutulis sehari sehelai), sajak-sajak juga cerpen 'Penjilat Bulan' yang masih dalam tukangan itu musnah tanpa sempat aku pindahkan.

Aku akan belajar daripada kesilapan ini, sayang.

Selasa, 20 Mac 2007

Membaca Musim Hujan

SYUKUR, musim hujan datang lagi. Musim ini bakal memberikan air kepada kegersangan tanah. Air akan menyejukkan keadaan alam yang panas dan tegang. Malah air akan menjadikan alam kian indah. Bayangkan kalau tanpa air hujan, maka tiada pelangi. Bayangkan kalau tiada hujan, sungai akan kering atau keruh. Bayangkan juga, kalau tiada hujan, apa akan jadi kepada tumbuh-tumbuhan yang melata di bumi?

Inilah kebesaran Allah. Allah ciptaan air untuk pohon membesar, berbunga dan berbuah.

ii
Malah kerana setitis air juga, seorang isteri akan hamil. Inilah rahmat dan kebesaran ciptaan Allah.

Selamat datang kepada orang baharu yang bakal lahir daripada air dan doa suci ayah bonda. Selamat juga menjadi adiputra yang cemerlang di sisi Allah dan masyarakat buana.
Amin...

Ahad, 18 Mac 2007

Berakhirnya Rutin Cuti i.

CUTI sekolah berakhir hari ini. Aku baharu sahaja selesai menyiapkan soalan EDU 3313 (UPM: Komunikasi). Seharian berulit dengan nota-nota P&P membayangkan sejauh mana aku berupaya mengajar calon guru untuk menjadi insan yang bernurani 'guru'. Soalnya berjayakah aku mendidik mereka?

ii
Sepanjang cuti, aku lebih banyak berulit dengan buku yang sempat aku beli di Jakarta dan Bali. Buku-buku yang tak sempat aku buka sampul plastiknya; aku pilih baca mengikut desak naluri. Menariknya ialah membaca novel karya Saddam Hussein bertajuk 'TARIAN SETAN'. Karya ini membangkitkan kebencian aku kepada Amerika yang dayus, bacul, penakut, rakus dan tidak berperikemanusiaan. Saddam berkisah tentang perjuangannya mempertahankan hak dan idelismenya. Begitupun tanpa disedari, ada duri dalam daging yang memusnahkan perjuangannya. Inilah pengajaran yang boleh diambil sebagai ikhtibar bahawa 'duri dalam daging' ada di mana-mana. Peribahasa ini ada di sekeliling kita. Justeru, berhati-hatilah.

iii
Malam-malam begini, aku menerima sms daripada kekasih yang lama menyepi. Rasa terhibur dan gembira tak dapat aku ceritakan meski isinya meminta sedikit pertolongan. Biasalah, dalam kehidupan ini kita tidak boleh hidup sendirian. Kita perlukan seseorang untuk mendengar dan berkongsi masalah. Kekasihku yang sukar aku fahami itu sebenarnya lebih suka memendam rasa dan berdikari. Itu haknya dan aku hormati tindakan yang baginya itu terlalu idealis. Moga semua masalahnya dapat terungkai dan kekasihku itu akan bahagia dengan pilihannya. Dari jauh aku selalu berdoa agar rakan-rakan aku berjaya dalam perjuangan hidup. Sebaik-baiknya mereka jangan melalui pengalaman seperti Saddam yang bertemu dengan 'duri dalam daging' ketika berjuang.

iv.
Di sebelah tangan kanan aku tersusun sebahagian buku-buku baharu yang masih belum sempat aku ladeni. Begitupun, buku yang akan segera aku tekuni ialah 'Rindu Tanpa Akhir' karya Imam al-Ghazali. Moga aku menemui mutiara rindu yang aku cari selama ini.

Allah, kembalikan rinduku yang hilang.
Amin.

Sabtu, 17 Mac 2007

Kisah Kiamat dan Anak-anak

i
MALAM tadi lepas maghrib aku bertazkirah dengan anak-anak di rumah. Maklumlah justeru terlalu sibuk dengan rutin, makanya tazkiran seperti ini agak culas aku ladeni. Mungkin kerja dan mengejar kebendaan menyebabkan ruin itu tidak lancar seperti sebelumnya. Nah, itu kesilapan sendiri kerana tidak pandai membahagi-bahagikan waktu. Berbalik kepada tazkirah aku; aku menceritakan kepada anak-anakku tentang kiamat. Bagaimana azab dan seksa mengikut dosa yang dilakukan oleh manusia. Rujukan aku ialah kitab 'Menjadi Kekasih Allah' karya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Ketika tazkirah aku melihat anak-anak itu begitu taat mendengar (mungkin menghayati atau takut) hinggalah ke akhirnya lebih kurang jam 8.15 mlm. Sebelum menamatkan tazkirah, anakku yang berusia 6 tahun bertanya, "ayah, Saiyidah pasti kiamat sudah hampir. Lebih baik kita sembahyang lama-lama."
Isteriku gelak dan aku dapat bayangkan tentu anak-anak dan isteri teringatkan filem yang sempat kami tonton bersama-sama 2 bulan lalu iaitu filem berjudul 'Kiamat Sudah Hampir'. Rupa-rupanya, anak sekecil itu pun takut pada kiamat.

ii
Bercakap tentang kiamat; aku tidak faham kenapa berita pagi di akhbar ada cerita oranga buang bayi di Seremban. Adakah mereka tidak takut atau sengaja nak mencabar kekuasaan Allah? Atau adakah mereka terdesak atau mungkin juga menjadi mangsa kemerdekaan dan globalisasi?

iii
Ya Rabb,
kiamat yang pasti
bagaimana mampu aku lalui
jika beban dosa
tidak Kau hapuskan?

Segeralah Kau utuskan jawapan
pertanyaan demi pertanyaan
yang berlengkar dalam sukmaku.

Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Jumaat, 16 Mac 2007

Menekuni 'My Name is Red' karya Orhan Pamuk dan Kemerdekaan Kita

KETIKA nama Orhan Pamuk dikemundangkan oleh urusetia Hadiah Nobel untuk memenangi hadiah nobel untuk tahun 2006, aku ketika itu berada di tanah Salehuddin Al-Ayubi, Istanbul-Ankara-Bursa, Turki. 8 hari di tanah Turki benar-benar mengasyikkan. Inilah kebesaran Allah sehingga ramai penulis tanah air mengabadikan sejarah dan ketamadunan bumi ini. seingat aku, Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Baha Zain, (sekadar menyebut beberapa nama) telah berjaya memindahkan kebesaran ciptaan Illahi itu ke dalam teks sastera sehingga memenangi hadiah sastera. Saat aku menaip ini pun, aku masih terbayangkan Masjid Biru, bazar, selat Brophorous dan salji yang berbisik di telinga.
Membaca 'My Name is Red' tidak sesegar membaca 'The Snow' karya Orhan Pamuk. Begitupun biasalah, karya yang menentang atau menidakkan kehebatan Islam pasti akan diangkat oleh dunia barat. Inilah ketidakadilan yang sedang direncanakan oleh barat yang sekular untuk menindas Islam. Mungkin kita masih ingat Salman Rusdie yang menghina Rasulullah (Nabi Muhammad SAW) dengan naskah 'The Setanis Verse'nya. Begitulah sekilas pandang nasib Islam di mata barat. Islam bagi mereka adalah teroris atau pengganas hinggakan Al-Quranpun mereka kata ganas.
Tidak aku nafikan ketika menukangi novel 'My Name is Red' ini, aku dapat melihat keracuan idelogi penulisnya sendiri. pendek kata, Orhan Pamuk sanggup mengadai maruah diri sendiri untuk merebut anugerah nobel price ini. oleh itu, membacalah sambil menilai bukan terimanya bulat-bulat.

ii
Apa kaitannya Orhan Pamuk dengan pemimpin kita?
Sudah terang lagi bersuluh, begitulah: Pemimpin kita sanggup membunuh bahasa Melayu, sastera Melayu dan kesenian Melayu untuk mencipta sebuah negara bangsa perpaduan. Akhirnya, apa-apa sahaja budaya bangsa lain yang difahami oleh mereka sebagai budaya Malaysia akan diterima pakai sewenang-wenangnya. Mereka (pemimpin kita) mencipta budaya baharu untuk sebuah negara baharu yang bernama Malaysia bukan lagi negara yang akarnya Tanah Melayu.
Inilah erti kemerdekaan 50 tahun yang difahami oleh juak-juak itu.

iii
Aku akan terus berdoa, moga Allah (Tuhan dalam konteks Islam (akidah) dan sebagai Rukun Negara) mengubah doktrin, paradigma, etos dan logos juak-juak yang tamak haloba dengan materialistik itu.

iv
AKU SEDANG MEMBACA 'INTEGRITI: ISLAM ATAU LIBERAL'.

Khamis, 15 Mac 2007

ISI (Institut Seni Indonesia) dan KPM ...

i
SYUKUR juga apabila menteri pelajaran Malaysia dapat buka mata melihat apa yang sebenarnya berlaku di Bali, Indonesia ketika berada di pulau itu untuk urusan negara ASEAN. Dia tentu terperanjat apabila melihat struktur dan keindahan pulau Bali yang penuh dengan aspek kesenian khususnya ukiran, kraftangan (kerajinan tangan), kebudayaan (tarian, barongan, dll) dan keindahan alamnya. Malah, dia tentu bertambah hairan apabila memikirkan bagaimana rakyat Bali amat pakar, mahir dan tak boleh hidup tanpa seni.
Nah! Itulah yang aku saskikan ketika berada empat hari di pulau Bali beberapa minggu lalu. Aku kagum memikirkan kurikulum pendidikan seni yang hidup subur di sana.
Aku berkesempatan bertanya dengan penduduk tempatan ketika berada di Holiday Villa di Dewangkara. Kata mereka, "mengukir, melukis, bermain wayangan (tarian dan barongan) adalah hidup turun temurun kami. Kami punya kekayaan yang lumayan sekirannya berupaya menguasai kemahiran keluarga. Di sini tidak perlu komputer atau kecanggihan sains teknologi. Inikan pulau pelancongan ketiga dunia. Justeru, yang kami jual adalah keaslian pulau Bali. Kami tidak perlu sains dan teknologi kerana benda seperti itu boleh didapati di mana-mana? Tetapi kalau kesenian Bali ini hilang? Di mana boleh dicari ganti?"
Itulah pemikiran mereka selama ini. Mereka punya nuansa, mereka punya roh, mereka punya semangat, mereka punya tanggungjawab, mereka punya kesedaran, dan mereka punya kecintaan terhadap khazanah bangsa.
Tapi, bagi bapak Hishamuddin, dia cuma punya sebilah keris yang dicabut kemudian dihunuskan setahun sekali sambil menjerit, "Hidup Melayu, Hidup Melayu'" di PWTC. Ah, bertapa jahil dan sempitnya dia!
Mudah-mudahan, apa yang dia (bapak menteri pelajaran) temui di pulau Bali itu akan menjadi wahana baharu pemikirannya untuk memajukan kurikulum kesenian di negara kita. Aku akan terus berdoa agar Allah bukankan fikirannya yang sempit itu. Jika ini dapat dilakukan, sudah tentu kita dapat mengembangkan teknologi ukiran negara yang dahulunya gah di Kelantan, Terengganu, Johor dan Kedah. kita sebenarnya telah lama kehilangan keaslian seni. Kita menjadi peniru sehingga tanpa disedari kita dihina oleh negara luar. Hari ini, para pelancong yang datang ke Langkawi khususnya orang Inggeris tidak akan membeli batik Malaysia kerana katanya kita meniru batik Indonesia. Corak dan motif batik kita maknanya telah lama mati dibunuh oleh sistem pendidikan negara yang tidak pernah menghargai dan menilai hasil seni anak-anak Melayu.
Kalau kita tahu dan sedar erti malu, kembalilah memungar keaslian seni Melayu.
Sama-samalah kita berdoa agar ISI menjadi kenyataan di negara kita.

Rabu, 14 Mac 2007

Lukisan dan Aku

CUTI PERSEKOLAHAN: Aku mengambil keputusan untuk mengemas dan melihat kembali koleksi lukisan yang sedia ada. Jumlah sekitar 20 termasuk hasil karya sendiri aku perhatikan satu persatu. Tanpa aku sedari, rupa-rupanya aku telah memiliki sejumlah lukisan yang dihasilkan oleh pelukis tanah air. Dalam koleksi itu, aku memiliki karya;
i. Zulkifli Boyong - Siri Tompok.
ii. Ahmad Khalid Yusof - Siri Pantun
iii. Yusof Gajah -
iv. Wan Zulkifli
v. Sani Sudin - Siri Kata dan Cendawan
vi. P. Pagar (Pelukis Bali, Indonesia)
vii. Siti Zainon Ismail - Siri Padma
vii. Aris Aziz dan lain-lain

ii
Aku belajar melukis secara formal ketika berusia akhir belasan tahun di ITM Shah Alam dalam jurusan seni lukis dan seni reka. Aku tidak menamatkan pengajian kerana berpindah ke maktab perguruan lembah pantai, Kl. Di situlah dengan waktu yang terbatas, roh warna, garis dan titik mula sebati di dalam diri. Sayang, ketika itu guru yang sempat aku dampingi ialah Jailani Abu Hassan dan Pak Wan. Begitupun, meski aku tidak menjadi pelukis besar seperti Latiff Mohidin, sekurang-kurangnya aku pernah memenangi beberapa pertandingan lukisan anjuran kerajaan dan beberapa karya aku turut menjadi koleksi bank dan permis kerajaan. Sesekali tu, terfikir juga nak melukis kembali, tetapi apabila melihat lakaran yang sempat aku tinggalkan dalam kumpulan sajak aku 'Taman Percakapan' terbitan DBP:2006; aku rasa sentuhan (stroke and touch) aku seperti hampir mati. Kaku dan penuh keresahan sentuhannya. Tak mengapalah, mungkin Allah tidak mahu aku menjadi seperti Latiff, Agi, Siti Zainon, Solihin Osman dll. Ada rahmat dan hidayahnya jika aku renungkan kembali, mengapa aku tidak dijadikan pelukis?
Begitupun, terima kasih Allah kerana mengajar aku makna kehidupan seorang pelukis. Hari ini, aku tidak bermain dengan warna, garis dan titik tetapi aku bermain dengan aksara dan kod kata-kata.

AMIN.

Isnin, 12 Mac 2007

kembalinya seorang rakan penulis.

Al Fatihah untuk Allyarham Ahmad Faizal (anak AF Yassin) yang telah kembali ke Rahmatullah akibat kompilasi penyakit kencing manis dan koma. Berita daripada Rahimidin Zahari aku terima semalam. Tapi atas masalah peribadi kami mengambil keputusan untuk menziarahinnya petang ini. Sedihnya kami terkilan sebab tidak berkesempaan untuk melawatnya yang uzur di Subang MC. Jam 11, Rahimidin sms aku dan beritanya yang Fadzil telah menemui Allah.

ii
Aku mengenali Faizal ketika sama-sama menjadi anak angkat DBP dalam program Minggu Remaja (MPR) tahun 1986. Kami (Rahimidin, Ahmad Patria, Aku, Roslan Ngah, Zamri Mohammad, Amaruzati, dan lain-lain) menjadi anak didik yang berjaya hingga hari ini. Hari ini, kami kehilangnnya...

iii
Ketika aku menulis blog ini, aku masih menanti sms Rahimidin untuk mengunjungi allyarham buat kali terakhir.

iv
sambungan selepas isyak 12/03/07:
aku baharu sahaja pulang dari melihat allahyarham selamat disemadikan. aku dapat menyaksikan KP DBP, Dr. Fuad Jarkasi, Dr. Khairul Azmi, dan lain-lain. Apa yang lebih memeranjatkan ialah aku dapat bertemu dengan Zamri Muhammad iaitu rakan MPR tahun 1986. Rupa-rupanya dia adalah biras allahyarham. Kami berbual panjang dan Zamri menjelaskan bahawa sahabatku itu telah berperang dengan sakit kencing manis hampir 10 bulan. Arahan Dr. agar kaki kanannya dipotong idak pernah dihiraukan. Kesannya, kuman telah meresap ke jantung dan dia koma. Moga Allah merahmati rohnya dan aku sentiasa berdoa agar allahyarham yang baik itu akan ditempatkan di syurga. Aku sempat menghubungi Ahmad Patria, dia merengus dan seperti tidak percaya yang dia akan kehilangan seorang sahabat dalam usia 38 tahun.

iv
Mendengar imam membaca talkin benar-benar meruntun kalbu. Terasa aku seperti akan menemui Tuhan. Ya Allah, perlukah aku menghafal setiap jawapan yang bakal ditanyai oleh malaikat Mungkar dan Nagkir di alam kubur itu? "Bayang-bayang maut dan kematian tidak pernah berdusta. Kita akan menemuinya juga suatu hari nanti. Bila dan di mana? Itu adalah kerja Allah" kata Rahimidin Zahari sewaktu kami dalam perjalanan pulang menuju rumah PENA. Aku diam dan seketika membayangkan dosa-dosa yang telah aku lakukan selama ini. Ya Allah, ampunkan seluruh dosaku dan dosa-dosa muslim dan muslimat.
Tiba-tiba aku teringatkan kata-kata arwah yang ingin kembali menulis setelah lama tidak menulis cerpen ketika saat terakhir aku berbicara dengannya di rumah PENA sewaktu Malam Puisi Perjuangan Utusan-PENA.
Tuhan, terimalah aku dengan seluruh rahmat-MU.
Amin. Al-Fatihah untuk Ahmad Faizal bin Ahmad Fadzil.

Ahad, 11 Mac 2007

al kisah resolusi yang tidak penah cuba difahami dan cerita-cerita lain


HARI ini, Ahad- 11 Mac 2007, tulisan Salman Sulaiman dalam ruangan sastera Mingguan Malaysia telah membangkitkan persoalan yang pernah aku bangkitkan suatu waktu dahulu. Hampir setahun berlalu; Salman (seorang produk USM, MPR dan anak jati tanah serambi Mekah) ini meneruskan kembali perjuangan sekelompok penulis muda tanah air yang suaranya hari ini perlu didengari. Soalnya kenapa suara anak-anak muda ini perlu didengari? Bukankah suara orang-orang tua hari ini yang dahulunya pernah muda itu tidak pernah lantang seperti anak-anak muda hari ini? Tanyalah mereka atau orang-orang tua itu.

Nah, inilah yang perlu difikirkan bersama-sama, bukannya orang tua itu hari ini melatah dan menuduh MEMBATI BUTA. Maaf kalau aku katakan, melatah tanpa usul periksa adalah sifat iri hati yang jumud. Bukankah dengan memberikan ruang bermakna anak-anak muda hari ini telah meneruskan apa yang pernah mereka lakukan dahulu. Kalau dahulu, mereka sering marah-marah kerana kebenaran; bukankah hari ini anak-anak muda ini marah-marah juga kerana kebenaran? Kalau orang tua itu mengatakan itu bukan kebenaran bermakna mereka adalah bapak kepada ketidakbenaran yang mereka ciptakan.

Hidup ini seperti roda kata Abu Nawas. Hidup dan kehidupan serta dunia ini bukan empat segi katanya lagi. Oleh itu, yang muda pasti akan tua, dan yang tua pasti akan mati. Begitupun orang muda kena ingat juga bahawa jangan fikir mereka akan mati saat tua. Kuasa Allah SWT adalah kekuatan yang tiada tandingannya.

Justeru, kepada rakan-rakan yang orang tuanya adalah juak-juak itu yang haipokrit dan tak sedar diri tolong ingatkan kepada mereka bahawa di luar sana ada sekelompok anak-anak muda yang bijaksana dan akan meneruskan perjuangan mereka mencari dan akan terus bercakap tentang kebenaran. Katakan kepada mereka juga bahawa anak-anak muda ini kirim salam.


ii

SEMALAM di UPM telah diadakan diskusi buku anjuran pelajar program DPLI. 3 buku yang didiskusikan ialah Fosil (Amirul Fakir), Sebelum Menjadi Penakut (Salman Sulaiman) dan Taman Percakapan (Shamsudin Othman). Diskusi anjuaran DBP-PENA-FPP UPM, dilakukan oleh Mohamad Sahidan (DBP), Napiee Mat (UPM) dan Rahimidin Zahari (IB). Ketiga-tiga kumpulan puisi ini secara kesimpulannya dilihat sebagai penyambung nafas kepada perkembangan puisi tanah tanah air.

Kertas Kerja sdr Rahimidin Zahari tentang kumpulan sajak 'Taman Percakapan' akan menyusul kemudian dalam blog ini. TUNGGUUU!

Menariknya majlis ini apabila SN Dr. S. Othman Kelantan sebagai perasmi majlis menjelaskan;

i. kita WAJIB menghormati orang yang berilmu kerana orang yang
berilmu tidak akan meghina orang lain (dia sindir siapa tu?).

ii. jalur puisi tanah air diketuai oleh 6 orang penyair besar iaitu,

a. Usman Awang
b. Kassim Ahmad
c. Abd Aziz HM
d. AGI (A Ghafar Ibrahim)
e. Suhaimi Hj Muhammad
f. Latiff Mohidin


Hal jalur kepenyairan Malaysia ini belum lagi ditulis oleh mana-mana sarjana. Mungkin nanti, kita berharap agar SN S. Othman Kelantan boleh menulisnya dengan lebih terperinci sebab itu tugas dia. Tugas aku ialah menulis sajak dan terus menulis sajak. Di manakah aku (?) dalam jalur tersebut biarlah mereka yang memikirkannnya.


iii

Al-Fatihah juga kepada Allahyarham Tan Sri Rafie Mahat yang telah kembali menemui yang Esa. Anda boleh membaca biografinya yang ditulis oleh aku dan rakan-rakan terbitan MBKM (2005). Buku ini berjudul 'Sebutir Bintang Mengerdip' yang dipilih daripada sajak khas aku untuknya. Sesuatu yang menariknya tentang Allahyarham ialah, dia seorang yang peramah dan dapat mengingati nama orang lain. Moga Allah meneriman segala amalan dan jasa baktinya kepada negara.


iv

AKU pulang ke kampung dengan penuh rasa damai di hati. Saudara-mara masih mengamalkan budaya islam-timur. Kesegaran cinta akan Islam, budaya Melayu benar-benar meruntun kalbu.


Ah! Syahdu dan damainya.

Jumaat, 9 Mac 2007

Penjilat Bulan di Pantai Diwangkara


Penjilat Bulan di Pantai Diwangkara


barangkali malam dan pantai usah dipersalahkan
meski malam memaknakan gelap untuk kekasih bercanda
dan pantai telah memaknakan bersih untuk kekasih menyerah
hingga saat itu
kemungkinanlah yang menjadikan aku pentafsir
episod serakah demi serakah.


malam itu
di bawah bulan gerhana
aku memulakan pengkisahan syahdu
dan kau mendengarnya sambil menjilat
gerhana bulan yang pecah di dada laut.

malam itu dan beberapa malam berikutnya
antara kemelut dan keliru
gelisah dan serba salah
aku membilang buih-buih
yang pecah di pantai.


Kamar 105, Holiday Villa,
Diwangkara, Bali, Indonesia.

berita REPUBLIKA


AKU baru sahaja selesai menatap ruangan yang paling aku gemari pada setiap hari jumaat ketika menatap akhbar berita harian. paparan Republika kali ini membawa pengkisahan 'Tiga Ukuran Tinggi Rendah Darjat Umat' . nah! marilah kita melihat ke dalam diri sendiri dan akuilah bahawa kesegalaan Allah maha hebat.

"Allah maha segalanya. sabda rasulullah yang bermaksud; sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka hendaklah memperhatikan bagaimana kedudukan Allah di dalam hatinya. maka Allah menempatkan hambaNya, sebagaimana hamba itu mendudukkan Allah di dalam hiti dan jiwannya."

tulisan Kh Abdullah Gymnastiar dalam kolum Tausiyah itu kali ini lain sedikit sentuhannya. pemikirannya kali ini jelas memperlihatkan bahawa sejauh mana sifat dan zat Allah itu jika tidak difahami atau dihayati maka begitu jugalah Allah melihat kita.
Aduh! pembacaan kali ini benar-benar menguji sejauh mana aku melihat diri sendiri. apakah muhasabah selama ini diterimaNya atau tidak. dan, apa yang paling penting ialah siapakah aku di sisi kedudukkan Allah?
ii
menatap gambar masjid Agung Baiturrahman Aceh, mengingatkan aku bagaimana aku dan rakan-rakan berada di bumi itu selepas setahun tsunami melanda bandar raya islam itu. ketika keadaan selepas tsunami masih terasa. melihat kemusnahan daripada bencana kebesaran Allah itu mengajar aku makna ketakutan, kebenaran dan kekuasaan yang maha tinggi. dan paling membanggakan ialah struktur binaan masjid ini yang dikatakan bangunan tahan gempa. ini bermakna kita perlu belajar daripada sejarah dan tamadun silam.
iii
kenapa aku bercakap tentang indonesia tidak malaysia?
aku malas bercakap tentang tanah air sendiri sebab malaysia sejak akhir-akhir ini dicelarukan dengan kisah-kisah yang membencikan. kisah menteri pecah amanah, kisah ketua pengarah rasuah, kisah artis menghina nabi, kisah artis jadi ikan bilis, kisah perogol misteri dan macam-macam lagi. aku jadi muak dengan kisah-kisah yang menakutkan. sampai bilakah tanah air ini akan selamat daripada kemunafikan? di manakah hadhari/madaninya Islam di malaysia ini? rasanya menyesal aku menjadi pemangkah selama ini.
iv
kadang-kadang sudah sampai masanya kita memilih yang haq dan benar. selamat memangkah.


Rabu, 7 Mac 2007

dunia melayu yang sedang dicelarukan

i
tentu kalian membaca akhbar Utusan Melayu semalam (6.03.07). sama ada sedar atau tidak tuan-tuan tentu telahpun membaca tajuk "Forum penulis terkenal Kanada, Haroon Siddiqul di PWTC". terima kasih kepada UMNO kerana sanggup menaja kehadirannya ke tanah Melayu yang sedang mengalami kejutan budaya dan keracuan minda. mudah-mudahan kehadirannya ke tanah Melayu ini dapat meninggalkan impak minda atau sosiobudaya Melayu yang kian hilang keasliannya. Seingat aku, Haroon Siddiqul adalah seorang wartawan di The Toronto Star yang lantang memperjuangkan nasib Islam di bumi Kanada. mungkin dengan kehadirannya ke tanah Melayu, sedikit sebanyak akan lahir penyatuan idea yang bernas. malah, kita sama-sama berdoa pemikiran yang dihidangkan oleh Haroon ini tidak diterima pakai sewenang-wenangnya kerana Islam di tanah Melayu tidak sesekular Islam di tanah eropah.
ii
rentetan daripada itu, apakah kita telah kehilangan arah hingga mengundang satu pandangan lain daripada sosiobudaya yang serba lain. inilah kemungkinan-kemungkinan yang perlu difikirkan kembali. jangan menjadi bangsa yang sudah terantuk baru nak mengadah. kita tak nak pisang berbuah dua kali.
pokoknya sudah bebaskan kita daripada pemikiran penjajahan inggeris meski usia kemerdekaan akan mencecah 50 tahun tahun ini?
iii
kesyumulan Islam punya makna tersirat yang lain dan hakiki. makna ini bukan boleh ditukargadaikan dengan materialistik. kejumudan terhadap pembangunan negara dilihat seperti menidakkan modal insan dan kejiwaan manusia.
apakah yang kita cari sebenarnya? kemewahan/ keangkuhan/ nama/ atau kebenaran yang haq di sisi Allah?
tanyalah diri sendiri...

SALAM JIHAD. TAKBIR.

Selasa, 6 Mac 2007

Percakapan kepada Lelaki Tanah Bali


i
dingin malam menikam-nikam kulit tubuhku. lelaki yang kukenali petang tadi masih bersandar pada tiang gerbang berukir monumen borobudur. sesekali dia melepaskan asap kretek jenama 'Semporna' dari bibir pucatnya. bayu dari laut Diwankara menampar-nampar baju putih berbusana muslim yang dipakainya. dia masih terus menekuni waktu-waktu yang kian meninggalkan malam.
"Udah lama bapak tunggu?"
lelaki berketinggian sekitar 5 kaki 7 incin yang dimakan usia itu tidak menjawab pertanyaanku tetapi lebih suka mengukir senyuman dan tunduk tanda hormat.
"apa menariknya tanah bali ini pak?"
dia menunjuk ke arah laut. bayang bulan gerhana jelas berkaca di dada laut. wajah laut yang jernih berserta angin laut yang segar benar-benar mendamaikan. aku memandang laut dan membaca fikirannya lelaki tanah bali itu. mungkin ada sesuatu yang ingin dikongsikan. aku memandang wajahnya sambil menjadi penanti yang setia.
"tanah bali adalah tanah seniman. tanah bali adalah tanah pengukir, tanah bali adalah tanah petani, tanah bali adalah tanah pelukis, tanah bali adalah tanah suci sang karnapati. ini tanah yang tidak pernah dijejaki wali songo. pernah suatu waktu dahulu sunan kali jaga ingin bercadang ke sini, tetapi dia tewas oleh amukan gelora laut. begitu juga dengan dipo negoro. dia juga tewas oleh amukkan satria-satria hindu. bulau bali ini adalah tanah suci agama hindu. bapak dapat melihat banyak pura (rumah ibadah orang hindu) yang masih mengekalkan ciri-ciri historikal penganut agama hindu. lihatlah gerbang ini, masih mempertahankan bentuk ukiran bihara yang sama di angkor watt seperti di kemboja".
"wah, tentu menarik perjalanan kali ini," getus hatiku sambil terasa bahu kiri ditepuk berkali-kali.
"bapak, kenapa bulan di sini gerhana?" saleeh rahamad mencelah sambil menunjuk permukaan laut.
"ah, kau ni saleeh, tak ada kerja lain. asyik ingat bulan aja."
lelaki tanah bali itu ketawa sambil menjawab dengan fahaman semiotik yang lain, "bulan di tanah bali ini juga suci. kami akan melepaskan sajian (ancak) setiap kali bulan mengambang empat belas. kami percaya bulan juga seperti kita ada waktunya suka dan ada waktunya derita."
"aduh, kok begitu sekali anehnya bulan di tanah bali ini?" tanya rahimidin.
"ya, ya. kerana anehnya bulan di sini maka seharusnya kita jilat bulan itu?" jerkah sm zakir.
"kalau masin?" tanyaku pendek tetapi serius.
"lagi masih lagi bagus. sikit-sikit tak mainlah." pintas sm zakir bersulam ketawa yang menggetar.
lelaki tanah bali itu turut mengukir senyum lantas mencelah, "bulan di sini tak masin pak? kami tak pernah menjilat bulan kerana bulan tanah bali ini suci pak? bapak perlu belajar untuk memahami budaya tanah bali ini."
kami berenam berpandangan sesama sendiri. dalam hati masing-masing sedar bahawa wacana kami dengan lelaki tanah bali itu berbeza. di wajah kami tersembunyi senyuman yang sukar diterjemahkan.
"ayuh pak, kita menyusur pantai untuk melihat keindahan bulan sebelum siang menjelma." lelaki tanah bali meninggalkan kami beberapa langkah di hadapan.
"jom, kalau kita tak dapat menjilat bulan, dapat memetik bulan pun jadilah," culas saleeh selamba.
pantai Diwankara dipengapi oleh gelak tawa enam pemuda malaysia yang berstatus bujang empat hari. ketawa kami membelah kesunyian malam.
wajah dan gerhana bulan di permukaan laut kami renung dalam-dalam.

Isnin, 5 Mac 2007

salam dari tanah bali, indonesia




i
semuanya memugkinkan perjalanan yang mengasyikkan. aku tak dapat bayangkan apabila dapat melihat, menikmati dan menghirupi sebuah tanah seni yang indah. maha hebat ciptaan-Mu, Allah. kau ciptakan manusia yang mampu mengukir patung, topeng, dan pohonan. Kau ciptakan kelembutan gerak tubuh dan kesantunan dalam tradisi hindu. Kau ciptakan keindahan susun alam; laut, sawah, rimba dan keaslian gunung berapi yang terpasak rapi. ah, bertapa sukar menterjemah makna syukur pemberianmu.
ii
malam di holiday villa, bersaksikan laut dan pantai yang damai, deru ombak berbisik di telinga sambil menggoda iman. laut adalah kehidupan lain yang mencurigakan. saat senja, sajian (ancak) seperti bunga-bunga kemboja yang dilepaskan ke laut.
iii
empat hari di tanah budaya; aku, rahimidin, sm zakir, amiruddin, saleeh rahamad, dr ahmad razali, dato azim, abg azran, wak saring dan dr.ibrahim ghaffar terkesima melihat bulan. lalu aku segera bertanya, "boleh ke kita menjilat bulan?"
mereka serenta menjawab, "boleh, tapi masin sikit".
iv
insyallah, berikan aku kekuatan untuk aku menghasilkan sajak dan cerpen dari kembara ini. dan insyallah, selepas ini kami akan ke vietnam, kemboja dan india. kepada sesiapa yang ingin ikut serta bolehlah berhubung dengan sdr. sm zakir/ rahimidin zahari. kami sentiasa meraikan cinta yang hilang.

Khamis, 1 Mac 2007

Cerpen mini: Kembalikan Cinta Kami

kembara ke Bali, memungkinkan cerpen mini ini.

i. prarindu
tawaran mewakili tanah air ke luar negara kali ini tidak sesegembira seperti yang aku lalui sebelumnya. entah debaran apa, langkah aku seperti berat untuk diorak. aku memerhati beg pakaian berjenama 'Arnold Palma' yang sempat aku beli ketika mendamba kota tulip, amsterdam dan menikmati aroma tulip itu tiga tahun lalu. beg pakaian yang lengkap berisi kelengkapan untuk empat hari aku renung lama-lama.
"kenapa ke bali tidak iran?"
"Iran?" sentak sukmaku dengan suara yang amat agam dan penuh mendesak.
"tak percaya?" wajahku, aku pandang serius di depan cermin.
"maafkan aku cermin dan sukma. aku bukan tak mahu menjawab ketidakpasian itu. tapi cuba kau fikir masak-masak. Allah berikan kau akal dan perasaan. tentu kau boleh berfikir dengan baik apatah lagi kau dah baligh. dah dewasa."
cermin dan sukma berpandangan sesama sendiri. mungkin ada apa-apa yang bermain di bnak mereka. caturkanlah apa-apa sahaja tentang aku. namun nisbah aku nak beranjak mungkin tidak.
aku mengambil pasport antarabagsa dan menyelak halaman terakhir yang bercop lapangan antartuk, istanbul, turki. fikiran aku jauh melayang terkenangkan waktu-waktu manis menikmati keindahan tanah salehuddin al-ayubi dan kehebatan pentadbiran sultan ahmmed.
"tak mengapa, kembara mungkin memaknakan perjalanan hidupku yang seterusnya." getusku.

ii.rindu
"aku akan bawa rindu dan cinta yang terhukum ini kekasih. cinta yang kau zalimi selama ini adalah penawar kelukaan masa lalu. ya, aku akan bebat lukanya di tanah bali."
"apa yang kau cari kali ini?" tanya zakir sepontan ketika aku sedang membelek naskah Seyeed Hossein Nars 'Doktrin Kosmologi Islam' di atas ranjang hotel hilton.
kami sebilik dan malam tadi kami melepaskan kepenatan dengan melayari mimpi masing-masing seawal waktu isyak lagi. aku terus menatap helaian demi helaian. dan aku pasti zakir sedang menunggu butiran kata-kata dari bibirku yang basah dan sedikit kemerah-merahan. jiwa cerpenisnya mungkin sedikit terganggu kerana aku lambat memberikan reaksi. dia bangun kemudian menuju jendela; membuka dan membiarkan segugus angin dari laut bali menerjah kamar kami. dingin angin pagi itu terasa nikmatnya. zakir merenung laut sambil menggosok perutnya yang sedikit boyot itu.
"apa kata kalau aku tanya balik soalan kau tadi kepada kau semula. maksud aku, apa yang kau cari di sini?"
"Hehehe, betul-betullah kau ni? sukar untuk aku mencuri falsafah hidup aku?
"aku bukan macam kawan kita sang falsafah muda itu. aku bukan macam lutfi ishak yang terlalu banyka berfikir dan asyik berulit dengan fikir demi fikir. aku macam kau juga. masih mencari dan akan mencari.
kalau kau mencari pimikiran ali syariati atau epistemologis empiris, mungkin aku mencari al-kaldun. atau mungkin juga aku mencari maulana jalaluddin rumi?"
loceng dan pintu kamar berbunyi berkali-kali. tanpa salam, seorang lelaki tercegat di muka pintu. sang penyair sufi berkumis lebat dan bertubuh manco lagak seseorang jejaka pengoda menghampiri kami. rahimidin duduk meletakkan punggungnya di bucu kiri katilku.
"aku baru melihat laut. dan kalaulah laut itu boleh berbicara, tentu dia akan menterjemahkan suara batinku sekarang ini."
"pagi-pagi lagi kau dah bersajak," sindir zakir.
aku menutup buku setebal 354 halaman itu dengan menyelitkan daun mapel yang sempat aku kutip ketika di bursa, turki untuk aku jadikan penanda buku. sebenarnya itulah tabii yang sukar aku lepaskan, iaitu aku suka mengutip daun-daun pokok yang gugur di tanah negara yang aku jejaki. dan daun-daun itu akan menjadi penanda buku koleksi aku yang bernilai puluhan ribu di kamar pusat dokumentasi, madrasah sham al-johoriku.
"syeikh, enta cari apa dalam kembara kali ini?" tanyaku pendek kepada rahimidin.
"apa lagi pak, mari kita cari sumur dalam nyanyian ilalang di tanah bali ini? ayuh, mari kita raikan cinta. kau lihat buih-buih di laut itu. mari kita kutip kemudian kita bahagi-bahagikan sama rata. satu untuk enta, satu untuk ana, satu untuk zakir dan selebihnya untuk tuan dosen kita, en. saleeh. kita biarkan dia mabuk di dalam buih-buih laut pagi tanah bali ini. ayuh, kita cari cinta!" seloroh rahimidin. dia lelaki yang sukar ketawa itu mengukir senyum. mulus sekali lirikan senyumannya.
"aduh, udah tua begini lagi mau cari cinta. apa-apaan ini?" aku mencelah dengan loghat Indonesia.
ketawa kami memecahkan suasana. dan ketika sedang melayang ketawa itu, tanpa disedari seorang lelaki perkasa, berambut ala tentera; kemas, pendek dan rapi; sedikit berkumis dengan ketingian lima kaki sepuluh inci menyampuk, "kau orang ketawakan aku ke?"
aku, zakir dan rahimidin gagal menghenikan ketawa. ketawa kami kian mengila hingga aku mengambil keputusan membungkus diri dengan selimut. dalam selimut itu, aku tidak dapat bayangkan apa yang berlaku antara mereka bertiga. apa yang aku dengar ialah gelak yang masih berpanjangan.
"tuan dosen dari mana ni, berpeluh-peluh lagi?" tanya zakir.
dari dalam selimut, aku segera menjawab, "apa lagi, mencari cinta yang hilanglah. cari cinta di pantai yang penuh panorama."
gelak dan ketawa serta-merta menyusul dan kian mengila dalam kamarku.

iii postrindu
Tuhan, terlalu banyak yang kau berikan. bagaimana harus aku membalas rindu yang kau berikan. cinta dan menyintaiMu adalah sebuah rindu yang mahatinggi. bagaimana harus aku menggapainya.