Jumaat, 27 Jun 2008

SALAM DARI KEJAUHAN


berlatarbelakangkan menara kedamaian perang vietnam,
saigon, vietnam.


SALAM DARI KEJAUHAN

29 Jun - 5 Julai 2008 saya meneruskan kembara ke negara jiran mengikuti Seminar Pesta Penyair Nusantara 2008 di Kediri, Surabaya, Indonesia. Perjalanan ini mungkin nanti banyak membantu pengalaman dan keikhlasan pengkaryaan saya. Bersama-sama rakan PENA, ini semua merupakan sebuah kembara kreatif.

Mudah-mudahan kembara kali ini akan sentiasa dalam limpah rahmat dan hidayah Allah.

Salam dari kejauhan.

Khamis, 26 Jun 2008

SAYA AKUI BAHAWA BAHASA MELAYU BUKANNYA NASK AL-QURAN


SAYA menerima teguran daripada rakan-rakan tentang perjuangan saya terhadap bahasa Melayu. Mereka turut mengingatkan saya dengan pesanan bahawa BM itu bukannya al-Quran. Oleh itu, tidak perlu beriya-iya, bermati-matian mempertahankannya. Kata rakan saya juga bahawa BM adalah makhluk Allah yang tidak kekal abadi. BM akan mati sama seperti makhluk yang ciptaan-Nya.

Saya akur apabila perbandingan itu dilemparkan ke akal saya. Saya terima dengan rasa terbuka kerana bercakap soal makhluk tentunya kita akan melihat hubungan vartikal antara hamba dengan khalidNya; makhluk dengan Tuhannya atau juga hubungan yang lebih bersifat akidah rukun iman.

Dalam hal ini, saya menyokong dan bersetuju dengan pendapat itu. Tetapi, apa yang selalu saya jengkelkan dalam blog saya ialah persoalan menjadi PEMEGANG amanah yang diberikan oleh Tuhan itu. Setiap umat manusia telah diamanahkan untuk menyintai, menyayangi, mengasihi dan mempertahankan maruah dan jati diri kaum mereka. Kebesaran Allah menciptakan variasi kaum, bangsa dan bahasa merupakan satu fitrah yang akhirnya akan menjelmakan konsep masyarakat terbaik di sisi-Nya. Masyarakat terbaik ini akan melibatkan individu terbaik. Lantas inilah kaitannya dengan penciptaan syurga dan neraka Allah.

Sekirannya kita menjadi bangsa yang baik di sisi-Nya, itu bermakna kita telah menjaga amanah yang diberikan dengan seikhlasnya. Itu semua adalah janji Allah terhadap manusia yang beriman dan takut akan makna dosa dan pahala.

Justeru, ilmu pengurusan amanah ini tidak boleh dipandang ringan. "Jangan kamu tangisi agama jika ia diuruskan oleh ahlinya. Tetapi tangisilah agama jika ia diuruskan oleh orang yang bukan ahlinya." (Riwayat Ahmad).

Petikan riwayat Ahmad ini sering bermain-main dalam lingkaran gerak geri kehidupan saya setiap hari. Hari ini, kerana bahasa itu dipimpin oleh orang yang bukan ahlinyalah telah menyebabkan nasib bahasa Melayu itu seakan-akan hendak dikuburkan tanpa batu nisan. Sikap kepimpinan yang selalu mengambil jalan mudah, sanggup menjual tanpa memikirkan akan makna kehilangan, terlalu murah hati menderma yang hak tanpa memikirkan semuanya akan terhakis, berlaku sewenang-wenangnya.

Nah, lantaran itu jugalah saya sering berhati-hati akan konsep perpaduan yang kita canangkan. Lihatlah dengan mata kepala sendiri; sudah terlalu banyak orang Melayu memberi tetapi sebanyak mana yang orang Melayu terima?

Saya tidak menentang perpaduan kerana saya merasa bahagia menetap di tanah air bernama Malaysia yang berada dalam situasi aman damai. Saya akur dan menyintai tanah air ini. Tetapi juga saya punya perasaan kecewa yang perlu dikongsikan bersama-sama.

Orang Melayu telah cukup lama menjadi bangsa yang pemurah. Orang Melayu juga sudah lama menjadi bangsa yang baik hati. Kerana prinsip dan perwatakan inilah tanpa disedari perpaduan yang dibina telah hampir memijak kepala Melayu sendiri. Kini, orang Melayu masih juga seperti dulu.

Apakah kita tidak memikirkan bagaimana suatu waktu dahulu nenek moyang orang Melayu terpaksa memberikan emas, perak
dan kekayaan mereka untuk memaknakan 'merdeka'. Ketika itu, di manakah mereka ini (bukan ingin menimbulkan sentimen perkauman)? Sudahkan kita membayar hutang orang Melayu itu? Kini, setelah kita menikmati erti merdeka; mereka menuntut lebih banyak daripada apa yang sepatutnya. Saya akui juga bahawa mereka ini licik dan pandai membaca perlembagaan dan peraturan hingga berjaya memperoleh apa yang dihajati. Tidakkah orang Melayu terfikir juga bahawa kerana kelembutan Melayu itulah akhirnya kita menjadi manusia yang pemberi tanpa memikirkan apa yang bakal kita dapat sepenuhnya.

Hari ini, kita gugurkan istilah sekolah Melayu dan digantikan dengan sekolah kebangsaan. Sebaliknya mereka menuntut supaya dikekalkan istilah SJK (C) dan SJK (T). Bagaimana kalau kita meminta istilah (C) dan (T) itu digugurkan? Bersetujukah mereka dalam erti kata perpaduan?

Saya mungkin tidak selayaknya berkata sebegini kerana saya perlu sedar siapa diri saya sebenarnya? Begitupun, walau apa-apa yang berlaku saya masih sangsi dengan konsep perpaduan ini kerana selama 50 tahun usia merdeka tanah air ini, hanya orang Melayu sahaja yang mengamalkan konsep bertolak ansur dan saling cuba mengerti.

Saya akui dan menerima hakikat juga bahawa tidak semua mereka begitu? Tetapi, sekurang-kurangnya mereka sedar dan boleh menasihati rakan-rakan, saudara-mara, suku-sakat mereka yang perpaduan tidak pernah mengenal bangsa dan bahasa. Perpaduan adalah persetujuan untuk berkongsi SATU BAHASA dan SATU NEGARA dalam erti kata yang lebih muluk ialah 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'.

Esok lusa saya akan menulis lagi. Dan tentunya cerita itu tidak akan sama seperti kejengkelan hari ini.

Rabu, 25 Jun 2008

BAHLULNYA IKLAN NST

AKU MESTI TULIS SESUATU TENTANG IKLAN NST INI.

Aku rasa semua orang pernah menonton iklan ini di kaca televisyen mereka. Iklan yang biasanya ditayangkan pada waktu puncak iaitu pada silingan Berita Perdana di TV3 itu sebenarnya menunjukkan kebahlulannya pengarah dan penulis skrip iklan itu. Kenapa aku berkata demikian?

Daripada kajian strukturalnya, iklan ini berlatarkan Kuala Lumpur (tempat/kawasan paling maju di Malaysia). Watak dan perwatakannya ialah sekumpulan pelajar lelaki yang menerima pendidikan di sebuah kawasan yang serba canggih, perwatakan mereka juga menampakkan mereka sihat walafiat (manusia normal). Kajian struktural akan menbuktikan ketidakrasionalan iklan ini.

Bahlulnya pengarah dan penulis skrip ini ialah;

1. Mustahil pelajar yang berada di Kuala Lumpur tidak pernah mendengar perkataan ' National Monument'. Hanya orang pekak sahaja yang akan tersalah pendengaran lalu menyebut ' cik Maimon'. - Ini bercanggahan dengan penampilan watak pelajar itu yang semuanya normal.

2. Mereka menggunakan bahasa Melayu baku. Oleh itu tidak tergambar kumpulan pelajar itu bertutur dalam dialek kedaerahan macam orang hulu Terengganu, hulu Perlis, hulu Johor, hulu Negeri Sembilan, hulu Melaka, hulu Pahang, hulu Sarawak atau hulu Sabah. Jika dialek kedaerahan itu wujud makanya kita boleh mempercayai bahawa mereka tidak tahu di mana nasional monument itu sebab pelajar itu mungkin baru pindah ke KL.

3. Sistem pendidikan di Kuala Lumpur adalah sistem pendidikan yang paling canggih di Malaysia. Semua kelengkapan P&P tersedia malah cikgu mereka juga merupakan cikgu terbaik. Tak kanlah semudah itu mereka tidak dapat memahami pertanyaan yang amat mudah. Hal ini juga dibuktikan oleh KPM sendiri bahawa pelajar-pelajar bandar tidak menghadapi masalah dalam penguasaan bahasa Inggeris. Keputusan peperiksaan (untuk mata pelajaran BI, matematik dan sains) menunjukkan bahawa prestasi mereka cemerlang.

4. 'Tugu Negara' adalah simbol patriotisma Malaysia yang termaktub dalam buku sejarah bermula daripada sekolah rendah lagi. Oleh itu, bagi seorang pelajar normal, mereka mesti tahu di mana letaknya monumen ini.

5. Dan, kemuskilan paling bodoh ialah bahasa Inggeris bukan bahasa asing bagi kalangan pelajar-pelajar Kuala Lumpur. Kajian mendapati 90% pelajar kawasan bandar (KL) boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Adalah mustahil juga setelah KPM melaksanakan pengajaran matematik dan sains dalam BI bermula tahun 2000 (kini 2008 bermakna telah 8 tahun berjalan), pelajar tingkatan 4 atau 5 tidak boleh faham soalan yang semudah itu jika dibandingkan dengan soalan matematik dan sains yang memerlukan penghuraian jawapan yang lebih sukar daripada itu.

6. Sebahagian besar penduduk di Kuala Lumpur terdiri daripada golongan masyarakat pertengahan yang mementingkan ilmu. Kesedaran terhadap pentingnya ilmu tidak pernah mereka nafikan. Malah mereka ini adalah juga anak-anak pegawai kerajaan yang status ekonominya baik kerana mampu menaiki bas ke sekolah. Oleh itu, bahasa Inggeris tidak terlalu daif atau bodoh bagi mereka.

Kesimpulan:

i. Ini semua adalah agenda juak-juak tertentu yang ingin menghina bangsa Melayu.
ii. Bangsa Melayu dipergadaikan kerana iklan ini tidak melibatkan pelbagai kaum. (Adakah
semua pelajar Cina dan India boleh berbahasa Inggeris dengan baik?)
iii. BAHASA MELAYU SEDANG MELALUI AGENDA UNTUK DIBUNUH
DITALKIN dan DIKUBURKAN.
iv. Pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam BI adalah GAGAL.
v. Menteri Pelajaran Malaysia perlu bertanggungjawab terhadap iklan ini.

Nah, inilah sebuah kemarahan yang lain dan perlu ditentang kerana menghina bahasa dan bangsa Melayu!


IZINKAN AKU DENGARKAN SEBUAH CERITA LUKA BANGSA

Malam tadi sempena Malam Puisi Warisan ASWARA juga di ASWARA, aku diminta oleh teman Redzuan Harun (juga Pegawai ASWARA) untuk tampil mendeklamasikan sajak. Seperti yang tercatat dalam buku program makanya nama aku disebariskan dengan pemenang Anugerah SEA Writte Award. Makanya juga dalam majlis itu, SN Muhammad Haji Salleh, Kemala, Rahman Shaari, Zakaria Ali, AGI, Anwar Ridhwan, penyair jemputan dari Aceh Fikar W.Eda dan lain-lain tambil bergilir-gilir mendeklamasikan suara batinnya. Majlis turut dihadiri pengarah ASWARA iaitu Dato' Omar Awang dan YBhg. Dr. Muzahet Masruri iaitu Ketua Setiausaha KPKKW.

Kurang lebih jam 11.01 minit maka giliran aku untuk tampil di pentas diumumkan oleh sdr Sabri Yunus. Dan pada waktu itu juga waktu ini, izinkan aku dengarkan sebuah cerita luka bangsa aku yang selamanya ini sedang ditalkinkan oleh para juak-juak negara.

Sebenarnya, pada petang itu, aku didatangi oleh seorang yang tidak begitu aku kenali. Dia masuk ke bilik aku di UPM, memperkenalkan diri sambil menghulurkan kartu nama. Kami berbicara panjang dan ketika itu, mengertilah aku bahawa dia merupakan rakan pemikir kepada seorang menteri kanan. Kami bercakap soal bahasa dan budaya. Kami sedikit berdebat dan mempertahankan pendapat masing-masing. Kami saling memberi dan menerima dalam suasana mesra, ikhlas dan gelak sinis.

Hampir dua jam berbicara dia meminta izin untuk kembali ke pejabatnya di Putrajaya setelah menerima satu panggilan penting. Sebelum meninggalkan aku, dia sempat meninggalkan pesan. Katanya begini; "Din, kau tahu tak, kami melihat seniman dan budayawan ini seperti anjing menyalak bukit. Kami ini bukit dan mereka itu anjing."

Aku tersentak mendengar kata-kata lelaki itu. Sebelum dia menutup pintu bilik aku dan tanpa berniat untuk menghalaunya pergi; di depan matanya juga aku mengambil kartu namanya dan mengoyak-noyaknya. Saat itu, aku melihat wajah kacaknya tiba-tiba berubah. Tanpa memberi salam malah kalau dia memberi salam pun (mungkin) tidak tergamak aku menjawabnya... dia berlalu pergi.

Tiba-tiba dering sms muncul daripada telefon aku. Mesej dari Redzuan Harun. "Tuan syeikh, jangan lupa malam puisi warisan Aswara malam ini." Aku segera membalasnya dengan niat yang terbuku daripada peristiwa sebentar tadi, "insya-Allah, tapi maaf ada puisi ganas bakal didendangkan. Tk atas ingatan." Beberapa minit kemudian mesej dari Redzuan menyusul kembali, "Ganas dlm lembut, lembut dalam ganas. Hahaha."

Malam itu juga aku deklamasikan sajak ini dengan seluruh jiwa yang membara.

IZINKAN AKU DENGARKAN SEBUAH CERITA LUKA BANGSA

Tatkala menyandungkan nafiri sejarah bangsa
ada getar yang mendesak di benak
masa lalu seakan kerdil dalam kelongsong peristiwa
yang menidak tetapi mengiyakan catatan demi catatan
kesakitan dan kegembiraan sebuah negara
yang hari ini terbilang tetapi sebenarnya kian hilang.

Menatap lipatan masa lalu dan kekinian
ribuan hari dipayungi ketuanan merdeka
langit Islami terasa cerah
meski keliru antara hakiki, madani dan hadhari
dan tegar menyimbah cahaya
sambil menghimpun dan memelihara
menghijausuburkan khazanah bangsa
dibumi berdaulat rahmat-Nya
meski diuji ketawa air mata dan jerih bahagia.

Menatap merpati putih berterbangan
sambil mendengar jeritan merdeka
lewat musim semi ini, menjadikan aku warga itu
yang terkeliru antara takwa dan jihad
antara falsafah dan kemanusiaan
antara kebenaran dan kebatilan
yang merimbun di rimba juang
dan kau yang tidak pernah merasa kepedihan
dari derita itu masih mampu mengukir
senyuman demi senyuman
walau ratusan pahlawan terbujur tanpa nisan pusara.

Saat terkesima di bawah lengkung pelangi
selepas menikmati hujan merdeka
aku sekadar menjadi pentafsir
mimpi demi mimpi
tegar membilang tulang-belulang yang terbungkus indah
dalam lipatan jalur gemilang
dan akhirnya
bungkusan yang kutatap renung itu
sayang tak berharum mawar
tapi kaku berbalut lentera duka.

Seusia perjalanan ini
lorong hidup dan denai insaniah yang kulewati
sinarnya tiba-tiba berubah kelam
di bawah purnama merdeka.

Beberapa waktu seusai gerhana
kutulis cerita ini
saat merpati yang kulepaskan
lewat derita kelmarin
bercanda riang di awan perkasihan
sambil mencatur langkah masa depan
yang menjanjikan rindu kebahagiaan
dan makna sebuah kehidupan
di rumah kedamaian.

Izinkan aku nyanyikan
irama gembira yang kita kecapi hari ini
untuk mengubat luka masa lalu
yang bertahun kita nikmati dalam derita
juga bertahun membelenggu tangis ayah bonda
hingga kesedihan seakan sebati dalam diri
dan cacian seakan membebati maruah peribadi.

Hari ini,
lewat insaniah yang menggunung
usah kita tangisi sejarah silam
yang memaknakan kesedihan
tetapi pandanglah langit berpelangi
yang bakal mewarnai perjalanan abadi
penentu impian dan anganan insani.

Mengertilah,
kekayaan dan kemewahan bukan penentu kebahagiaan
mengertilah,
kesenangan dan darjat bukan penentu kejayaan
tetapi ilmu dan bijaksana adalah segala-galanya
itulah nurani cinta yang perlu segar di kebun hayat.

Beberapa waktu seusai gerhana
kutulis bingkisan ini kepadamu
untuk kau mengerti liku dan duri
yang terhampar saat berlari
dan kutulis bingkisan ini kepadamu
supaya kau menjadi lebih bestari dan berani
mengubati
derita luka bangsa .

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham-al-Johori,
Kuala Lumpur.

Selepas sahaja aku turun dari pentas, pak AGI dan SN Muhammad Haji Salleh menghulurkan tangan. Kami bersalaman dan Pak AGI berkata, "suara kau mantap. Kau marahkan siapa?". Sekonyong-konyong suara SN Muhammad Haji Salleh yang lembut dan penuh akaliah itu menyusul, "Din, sajak yang baik. Tapi intelektual kita telah lama terbunuh." Aku diam sambil mengukir senyuman.

Kata-kata SN Muhammad Haji Salleh itu masih terngiang-ngiang di telinga saat aku menulis blog ini dan suara lelaki yang berkunjung ke bilik aku semalam juga masih terngiang-ngaing.

Sesuatu yang bergelodak dalam jiwa aku saat ini ialah, 'anjing'kah aku jika aku mencintai bahasa dan bangsa aku sendiri?

Kalaulah aku boleh berbicara terus kepada Tuhan, apa yang aku pinta ialah tunjukkan kebenaran tentang siapakah 'anjing' itu sebenarnya.

Sepi dan sunyi terus menggigit-gigit rasahku.


Isnin, 23 Jun 2008

serupa tetapi kenapa tak sama?

Gambar sewaktu anugerah HSKU 2007
(kenangan bersama-sama MPR)


Malam tadi, lebih kurang jam 12.45 pagi; saya menerima sms dari teman yang sering dekat tetapi sebenarnya jauh. Dia antara rakan jauh yang sering berkunjung ke blog saya tetapi tidak pernah meninggalkan pesanan. Begitu pun saya perlu bersyukur kerana masih ada yang sudi membaca buah fikir saya yang kadang-kadang nakal dan bergelora.

Nah, katanya, "kenapa blog kau tak tak macam blog SM Zakir atau Rahimidin?" Smsnya pendek sahaja tapi cukup untuk membuat saya berfikir. Saya membalasnya dengan pertanyaan. "mengapa kau tebak begitu?". Dia balas semula, "mereka tu pendiam dan tulisannya romantisme. Kau juga pendiam tetapi ganas rupanya."

Saya menunjukkan sms itu kepada isteri yang duduk di sisi saya ketika menanti perlawanan Belanda menentang Rusia. Isteri saya adalah penyokong setia Belanda kerana dia pernah mencipta sejarah di tanah Deuths itu dan isteri juga seorang pencinta bunga tulip. Isteri saya tersenyum sambil berseloroh, "kawan awak tu buta kayu!". Saya ketawa kecil sambil meneruskan bacaan kitab Muntakhab Ahadits tulisan Syeikh Maulana Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi.

Nah, perlukah saya menjawab pertanyaan itu di sini? Rasanya tidak perlu tetapi cukuplah sebagai satu rumusan ringkas iaitu kadang-kadang dalam diam itu ada dendam yang membara. Hanya ketahanan dan kekuatan iman sahaja yang dapat menguasai kemarahan itu. Oleh itu, saya adalah manusia yang punya selemah-lemah iman apabila hanya mampu melontarkan dendam dan kemarahan. Itu semua hanya dengan tulisan. Itupun hanya dalam blog ini sahaja. Dan 'diam' juga bukan ukuran seseorang itu romantisme.

Saya merenung ke dalam diri selepas solat 'subuh gajah' (tidak sedar kerana menonton bola malamnya). Selepas membaca beberapa halaman surah al-Anbiyaa' saya berkira-kira kembali akan sms rakan jauh yang saya terima malam tadi. Terbetik dalam hati kecil saya juga bahawa mungkin ramai lagi manusia yang sedang memerhati dan menilai diri saya. Apatah lagi dua orang malaikat iaitu rakit dan akit yang sememangnya dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mencatat seluruh perlakuan saya waima yang zahir dan batin. Saya menjadi agam seketika. Merenung jauh ke luar jendela sambil meneruskan fikir. Saya tidak dapat menemui jawapan tetapi sekadar merengus pada pagi yang masih bercahaya itu.

Saya meletakkan kitab mukjizat nabi Muhammad itu di rehal bersebelahan kitab-kitab kuning yang sering saya uliti. Dalam fikiran saya masih banyak persoalan yang belum terjawab. Lalu saya teringatkan sajak saya yang menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2007 baharu-baharu ini. Rupa-rupanya tanpa saya sedari, sajak itu punya makna yang lebih mendalam daripada apa yang saya maksudkan. Saya turunkan semula sajak itu sepenuhnya.

Doa Maal Hijrah di Kaki Maghrib

Senja itu selepas mengimbau filem hidup masa lalu
rupa-rupanya dalam detik yang tak terbayangkan
terlalu banyak nikmat telah kuterima

yang Kau utus dalam rahsia rahmat
hingga aku lemas di pentas kepura-puraan
dan letih digigiti palsu gemerlap angan-angan

Tatkala mengenang jutaan gembira dan sedih nikmatMu
sebenarnya terlalu sedikit yang sempat kubalas
sedang di langitMu masih berkerdip bintang cakerawala
membawa rahsia demi rahsia yang gagal kutafsirkan
dengan kebijaksanaan maknawiku
dan saat mengecap lazat cinta duniawi itu
terasa ada berahi yang menusuk
mendakap dan merasuk rindu kepadaMu
seakan sinar bintang bergemerlapan
di kaki langit yang tak tergapai tangan


Saat dibaluti usia yang menua ini
kenangan mengajar aku menjadi pengembara
yang tegar mencari cinta insani
pengubat reda dan takwa
yang sering bergetar
dalam nurani hijrahku.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.

Mingguan Malaysia, 25 Februari 2007.



Rabu, 18 Jun 2008

SURAT TERBUKA KEPADA WAI BEE

Dato' yang dihormati,
Saya sentiasa menyokong kesungguhan membina sebuah tamadun bangsa khususnya Melayu. Tetapi menyokong pembinaan tanpa keikhlasan adalah satu pembohongan perjuangan. Itulah yang berlaku kepada pucuk pimpinan kita hari ini. Mereka bermain tarik tali dan cuba menguji jiwa rakyat. Mereka menjadi pencatur yang licik dan pemuka-muka yang indah. Rakyat hanya menjadi buah dadu yang dilontar ke sana- sini. Bahasa dan jiwa bangsa atau lebih tepatnya BAHASA MELAYU kita sedang DIPERJUDIKAN. Dipertaruhkan di meja judi kemudian berkira-kira menunggu menang atau kalau.

Ini bukan lagi satu dosa besar tetapi PELAKNAT. 10 tahun menunggu, Dato' hanya bermain dengan kata-kata yang muluk tanpa memberi keputusan. 10 tahun bukan satu jangka masa panjang. Dan, hari ini rakyat masih menunggu tanpa menyedari bahawa nasib bahasa kami sedang dan terus diperjudikan.

Maaf Dato',
Kami rakyat tidak menentang BI kerana kami menyedari peri pentingnya BI dalam proses perkembangan ilmu. Tetapi, kami benci orang yang mengangungkan BI sedangkan bahasa kita telah menjadi seperti kepuk padi mati kelaparan. Dato' sedar atau tidak bahawa kepimpinan kita lebih hina daripada pendayus yang menjual kekasih mereka kepada orang lain. Bahasa kita adalah kekasih kita; dan hari ini mereka menjualgadaikan kekasih kita itu. Bukankah itu DAYUS namanya. Kalau bukan dayus pun tentu mereka bergelar PENYUNDAL/ JALANG/ PELACUR.
Saat manusia eropah, barat dan timur sedang berusaha mempertahankan maruah bangsa dan bahasa, kita pula sebuah bangsa yang punya tamadun tinggi; menafikan hak dan memusnahkan ketamadunan sendiri. Manusia dan bangsa apakah ini dalam erti kata sebuah bangsa berilmu dan berakidahkan Islam?

Moga Allah SWT sentiasa memaafkan SAYA atas kemarahan ini kerana semua ini sudah tidak terbendung. Amin.

Selasa, 17 Jun 2008

Malaysia — RM2.70 seliter : Malaysia Boleh!


Iran — RM0.29 seliter.
UAE — RM1.19 seliter
Nigeria — RM0.32 seliter
Arab Saudi — RM0.38 seliter
Mesir — RM1.03 seliter
Kuwait — RM0.67 seliter
Brunei — RM2.03 seliter
Malaysia — RM2.70 seliter

Malaysia Boleh!
Boleh apa?

BAHASA MELAYU: APAKAH DAYAMU

SAYA MULAKAN ENTRI INI DENGAN MEMETIK AYAT AL-QURAN.

DAN (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan Kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

(al-Baqarah: 30)

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT mahu menyerahkan kepada makhluk (MANUSIA) yang baru diciptakan (dilahirkan) ke dunia ini menerajui kepimpinan untuk mentadbir dan memimpin bumi ciptaan-Nya. Tugas menjadi pemimpin ini bukanlah suatu tugas yang mudah tetapi Allah SWT Maha Mengetahui bahawa manusia mampu memikul tugas yang dipertanggungjawabkan ini.

Sebagai khalifah Allah yang telah menerima amanah, tugas dan tanggungjawab, seseorang itu wajib menunaikan amanah dan tanggungjawab mereka di dunia ini. Bagi seorang guru, tugas mereka memberi pelajaran dan pendidikan kepada murid-muridnya. Oleh itu, selagi murid-murid itu berada di sekolah, maka guru-gurulah yang akan mengambil peranan sebagai pendidik. Para guru hendaklah memberi pelajaran dan pendidikan yang sempurna mengikut tanggungjawab sebagai guru.

Menjadi pemimpin merupakan tugas yang berat, malah melaksanakan tugas sebagai pemimpin yang telah diamanahkan Allah dengan pelbagai tanggungjawab, itu amat sengsara untuk dilaksanakan dengan betul. Menerima, menjaga dan melaksanakan amanah ini perlu dilaksanakan dengan sungguh-sungguh kerana amanah ini akan dipersoal oleh Allah SWT di akhirat kelak.

ii
Saya memetik ayat ini kemudian mengaitkannya dengan nasib Bahasa Melayu setelah membaca tajuk utama akhbar Utusan Melayu di bawah tajuk "Guna BI ajar Sains, Matematik: UPSR 2008 jadi pengukur".

Hati saya tiba-tiba tersentak dan hiba setelah membaca kenyataan Datuk Razali Ismail bahawa beliau berkata, penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran itu (sains dan matematik) bukan untuk mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris, sebaliknya diperlukan bagi menguasai konsep sains dan matematik dalam bahasa antarabangsa itu.

Aneh sekali! Dahulu pada zaman Tun Mahathir, subjek sains dan matematik perlu diajar dalam BI dengan fokus utama untuk kemahiran komunikasi BI. Hari ini kenyataan yang lain pula diketengahkan. Ini merupakan penipuan yang terang-terangan. Apatah lagi setelah satu generasi usia yang telah tercicir dan menjadi mangsa daripada percaturan 'membabi buta' itu dilakukan sewenang-wenangnya sebelum ini.

Pernahkah kita dan khususnya KPM bertanya kepada pelajar miskin atau luar bandar yang berlaku di Terengganu baharu-baharu ini tentang data tidak dapat menguasai kemahiran membaca berlaku? Itu kes di Terengganu, bagaimana pula di Sarawak, Sabah, Johor, Kedah, Perak, Perlis, malah di Kuala Lumpur sendiri?

JIKA KITA BERTANYA KEPADA PELAJAR SENDIRI, MEREKA AKAN MENJAWAB BAHAWA MEREKA TIDAK BERANI PERGI SEKOLAH SEBAB MEREKA TIDAK PANDAI BERBAHASA INGGERIS. JIKA POKOK PANGKAL TIDAK KE SEKOLAH BERPUNCA DARIPADA BAHASA INGGERIS BAGAIMANA PULA PENGUASAAN KONSEP SAINS DAN MATEMATIK DALAM BI AKAN TERCAPAI.

Secara mudahnya, yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran. Pelajar luar bandar akan terus ketinggalan dan yang bakal lahir ialah BUDAYA PONTENG SEKOLAH dan GENSTERISME serta MASALAH BUTA HURUF TEGAR.

Rasanya sudah berbuih mulut para ilmuan dan akademik yang mendapat pendidikan bahasa Melayu menjelaskan bahawa UNTUK MEMAHAMI KONSEP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN, SESEORANG KANAK-KANAK ITU PERLU DIJALANKAN DENGAN MENGGUNAKAN SISTEM PENDIDIKAN BAHASA UTAMA (BAHASA IBUNDA) IAITU BAHASA MELAYU DALAM KONTEKS RAKYAT MALAYSIA.

Saya selalu bertanya kepada diri sendiri. Apakah kelemahan sistem pendidikan yang berteraskan Bahasa Melayu sepenuhnya yang dijalankan pada tahun 1980-an hingga 2000 itu? Pada tahun-tahun itu, dengan penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) , SM Teknik, MRSM dan lain-lainnya telah berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh besar. Malah melalui sistem ini juga telah berjaya memperlihatkan semangat nasionalisme rakyat yang tinggi. Kelemahan sistem ini tidak pernah dijelaskan dan dibuktikan? Apa yang berlaku ialah kita membaiki sistem yang betul terbukti berjaya. Akhirnya kita menjadi seperti tikus membaiki labu.

Saya ingin bertanya sekali lagi, kepentingan BI ini sebenarnya kerana apa? Kerana masalah komunikasi atau konsep? Jika masalah komunikasi, saya menyokong sepenuhnya kemahiran pengajaran BI dicatur/ dirombak/ dicerna/ ditambah baik kembali. tetapi jika kerana 'konsep' sains dan matematik saya menentang setegas-tegasnya.

Ini kerana masalah 'konsep' HANYA BOLEH DISELESAIKAN OLEH BAHASA IBUNDA SAHAJA. Masalah konsep ialah masalah asas pengertian pembelajaran. Memahami konsep sepenuhnya akan membantu kecemerlangan penguasaan pembelajaran. Oleh itu, fikirkan yang mana lebih penting?

Pertanyaan kedua saya ialah adakah peratusan keputusan peperiksaan yang dicontohkan itu BENAR? Jika benar, mengapa masih ada pelajar buta huruf dan kadar kesalahan disiplin pelajar kian meningkat malah tambah meruncing? Kajian guru disiplin menjelaskan bahawa kadar ini meningkat kerana pelajar takut ke sekolah atau ponteng kelas kerana masalah BI. Jika hal ini berterusan berlaku makanya, masalah 'KONSEP' juga tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Yang bertambah terus dan parah ialah akan lahir SATU GENERASI YANG GAGAL.

Berbalik kepada sistem pendidikan dahulu; kita berjaya melahirkan pelajar yang menguasai konsep. Kemudian daripada itu baharulah kita menyediakan peluang seperti kewujudan Kelas Persediaan bahasa Inggeris untuk ke luar negara. Ini bermakna hanya pelajar yang betul cemerlang dan berkemampuan sahaja akan ke luar negara. Ini juga bermakna kita dapat menyeimbangkan proses pembelajaran tampatan dan luar negara. Nah, jelaslah bahawa rakyat tempatan tidak keciciran. Sementara yang berkemampuan dan berkelayakan tinggi akan terus berpeluang ke luar negara. Apa yang penting ialah kesamarataan ini telah membuktuikan bahawa sistem pendidikan dahulu tidak mempunyai kelemahan sebaliknya berjaya melahirkan budaya perkembangan ilmu yang sihat.

Fikir-fikirkanlah. Saya bersetuju dalam banyak hal tetapi saya juga kadang-kadang tidak bersetuju dalam banyak hal yang membawa kehancuran negara, bangsa dan bahasa.

Nah, inilah yang dikatakan amanah dan tanggungjawab terhadap BAHASA MELAYU.

Isnin, 16 Jun 2008

SYUKUR DAN PERINGATAN UNTUK MENERUSKAN PERJUANGAN


SYUKUR ke kadrat Allah SWT atas limpah kurniaanNya kerana masih dianugerahkan ketajaman fikir dan berfikir. Syukur juga sebab sekian lama nama tidak tersenarai dalam carta HSKU (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan), kini disenaraikan semula oleh panel anugerah. Terima kasih kepada para panel yang punya kebijaksanaan sendiri.

ii.
Saya petik dan membuat pindaan serta menambahkan input daripada bicara Nisah Haron dalam blognya di bawah entri Dominiasi Penulis Wanita dan Mantan MPR dalam HSKU 2007.

Tahniah kepada pengajur HSKU yang penuh komitmen dan bertahan dalam era keracuan dan kekeliruan 'ketamadunan Melayu' sedang bergolak.

Tetapi apa yang ingin saya ketengahkan dalam entri ini ialah bagaimana usaha dan kesungguhan DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) 'menternak' penulis tanpa pernah mengenal erti kalah dan kecewa. Di bawah program Minggu Penulis Remaja (MPR), maka hari ini dunia kesusasteraan Melayu dapat melihat penulis-penulis kawakan yang tegar berulit dan berjuang mempertahankan maruah sastera Melayu. Makanya juga dunia sastera tanah air dapat tumpang gembira apabila nama-nama seperti Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Hizairi Othman, Zariha Hassan, Amuruzati Noor Rahim, Lily Haslina Nasir, Ahmad Patria Abdullah, Faisal Tehrani, Nisah Haron, Salina Ibrahim, Siti Raihani M. Saaid, hinggalah kemunculan anak-anak muda seperti M. Lutfi Ishak, Fard Razy, Nasriah Abu Salam, Ummu Hani Abu Hassan, Serunai Fakir, Ghafirah Idris dan lain-lain yang terlalu menjanjikan masa depan itu. Sebenarnya, masih banyak nama-nama besar yang lahir daripada program MPR ini tetapi tidak dapat disebut semuannya kerana mempunyai senarai yang panjang. Itu tidak penting dalam erti perjuangan kerana dalam perjuangan apa yang penting ialah keikhlasan dan kejujuran berkarya. Niat atau nawaitu dan kesungguhan yang konsisten.

Alhamduillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilhahi.

Alhamdulillah, sekali lagi kerana kerana kita dapat kembalikan kepada Allah yang mengurniakan sari ilham serta ketekalan untuk menulis. Inilah sebahagian daripada perjuangan kecil yang dapat dilakukan oleh para penulis yang cinta akan sastera dan yang tidak mahu melihat sastera Melayu MATI tanpa sebarang pembelaan.

Keputusan HSKU bukan mengenai siapa menang atau kalah; ataupun siapa yang mendapat habuan menang berapa ribu, TETAPI siapakah yang sanggup menulis demi meneruskan amanah yang Allah kurniakan ini.

Saya merakamkan berbanyak-banyak terima kasih kepada penganjur iaitu Utusan Melayu yang masih bertahan menungkah arus dalam kemajuan sains teknologi tetapi masih setia dan tegar mempertahankan nasib sastera Melayu.

Kepada rakan-rakan penulis, ingatlah bahawa fitrah yang dianugerahkan ini merupakan amanah yang perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya. Menulislah untuk kebenaran bukan menulis untuk popular atau kerana nama.

Tahniah dan teruskan menulis. Moga kita berada di atas landasan yang direstui Allah.

Kepada DBP dan Utusan Melayu, teruskan perjuangan murni ini. Amin.

Khamis, 12 Jun 2008

Salam Sebuah Dunia yang Sepi

SEBUAH DUNIA ADALAH DIRIKU

Aku selalu andaikan
duniaku ditumbuh sepohon damai
dari damai itu berbuah bahagia
dari bahagia itu berakar cinta
dari cinta itu berbenih syukur.

Aku sebuah dunia yang sepi
sampai kapankah sunyi
akan menjadi langit mimpi
dan lantai hidup?

Kapankah juga
sebuah dunia yang sepi ini
akan menjadi sebuah rindu yang abadi?

Shamsudin Othman
Madrasah sham al-Johori.

Rabu, 11 Jun 2008

APALAH ERTINYA SEBUAH BANGSA i

MEMULAKAN entri ini dengan pertanyaan, apakah itu BANGSA?

Tentu dalam perkiraan yang paling mudah ialah bangsa itu bukan binatang, pokok, langit, air, api, hantu, kereta atau komputer. Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi keempat (DBP:2005) , halaman 122; bangsa merujuk kepada 5 makna iaitu i. jenis manusia daripada satu asal keturunan; 2. kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan; 3. macam/ jenis; 4. jantina/ jenis kelamin; dan 5. darjat tinggi/ keturunan mulia.
Nah, sudah terang lagi bersuluh bahawa bangsa tentunya akan merujuk kepada darjat sesuatu kumpulan rumpun manusia. Oleh itu, di Malaysia tentunya juga bahawa bangsa itu akan merujuk kepada bangsa Melayu yang mendominasi negara ini. Ini bermakna bangsa Melayu paling ramai jumlah penduduknya, bangsa Melayu adalah manusia peribumi, dan bangsa Melayu juga adalah kumpulan yang menjadi teraju kepimpinan negara.
Apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya. Bangsa Melayu mempunyai bahasa pertuturannya sendiri iaitu Bahasa Melayu. Yang jelas, Bahasa Melayu tidak diguna pakai oleh kepimpinan bangsa Melayu sendiri kerana kata mereka bahasa Melayu itu rendah darjat dan tidak memiliki kuasa ekonomi. Oleh itu, di manakah darjat bangsa Melayu itu tadi?
Hari ini, setelah berkira-kira hampir beberapa purnama istilah atau perkataan bangsa perlu ditukar kepada istilah BANGSAT kerana sikap kepimpinan negara yang beranggapan bahawa bahasa Melayu tidak berdarjat lagi. Hari ini juga, rata-rata kepimpinan negara yang berbangsa Melayu amat malu, segan, rasa terhina dan bodoh jika berbahasa Melayu di khalayak ramai. Mereka cenderung berbahasa bangsa lain yang pernah menjadi penjajah atau penumpang mencari rezeki di negara kita. Jika hal ini terus-terusan berlaku, akhirnya bangsa orang lain akan menjadi bangsa utama dan bahasa mereka akan menjadi bahasa utama negara.
Kesimpulannya isitilah 'bangsa' akan ditukar kepada istilah 'bangsat'. Selepas itu, kita akan sama-sama saksikan siapa yang akan jadi bangsat seterusnya dan seterusnya dan seterusnya.
Aku selalu berdoa agar bangsa aku menjadi bangsa yang berdaulat kerana negara aku masih punya DYMM dan sultan.

Isnin, 9 Jun 2008

ANTARA HASRAT DAN HARAP

i
Sebermula, maka tiada apa-apanya dalam sebuah cerita yang lain apabila harga minyak mendadak naik. Syahdan aku bertanya kepada diri sendiri, adakah dengan kenaikan harga minyak ini makanya harga barang-barang lain tidak naik sama maca kata memanda menteri hari ini. Logik akal ke alasan yang diberikan tatkala harga minyak naik maka harga barangan lain kekal. Bangang betul manusia yang membuat hukum matematik macam itu. Itulah impaknya jika matematik dan sains diajar dalam bahasa Inggeris makanya untuk belajar mencongak kita pun dah tak tahu. Aduh, dua kali malang nasib orang Melayu.
Aku berkira-kira lagi, lepas ni harga barang apa yang akan naik lagi? Beras, gula, tepong, bawang, minyak masak, lada, garam, sayur, ayam, babi, dan lain-lain akan mencanak naik juga akhirnya. Aku sendiri tidak faham, memanda menteri kita belajar matematik di mana dan macam mana? Oh, baru aku teringat bahawa, emanda menteri kita belajar Ilmu Hisab dulu. Tentunya, ilmu dalam Ilmu Hisab itu tidak macam ilmu matematik hari ini. Hari ini 1+1=2; mungkin dulu 1+1= 1-0. Aduh, malangnya nasib aku bermemandakan menteri macam ni.
Aku berkira-kira lagi, bagaimana pula dengan bayaran perkhidmatan takrif elektik, air dan gas untuk memasak? Tentunya, semua itu menuntut maki hamun yang lebih agresif.
Aku berkira-kira lagi begini; alangkah baiknya jika memanda menteri kita ini dapat selalu berkunjung ke surau atau masjid dan bertanya dengan imam dan bilal tentang apa hukumnya menaikkan harga minyak mendadak begitu? Tentu, imam dan bilal akan menjawab, "jangan sesekali kita menzalimi orang-orang yang susah."
Aku memandang sebuah lukisan yang pernah aku lukis sambil merenung senarai harga yang aku letakkan di sisi lukisan itu. Tak mahal, RM2000 aja. Mungkin dengan kenaikan harga minyak ini, kewajaran untuk aku menukar harga itu kepada RM2500 agaknya berbaloi sama sekali.
Esok, lusa dan sampai bila-bila aku akan terus berkira-kira lagi.

Khamis, 5 Jun 2008

ISTIFAR PANJANG!

AKU beristifar panjang apabila mendengar/ mendapati berita kenaikan harga minyak bermula malam tadi (jam 12.01 - 5 Jun 2008). SMS dari teman-teman tidak henti menujah masuk. Jam masih berdetik mengikut rutin dan menunjukkan waktui 11.45 malam. AKU melayan kerenah sms daripada rakan-rakan dengan senyuman palsu tetapi dalam hati penuh bara yang mendidih. Seketika aku teringatkan mantan PM iaitu Tun Mahathir; teringatkan dia bukan apa sebab selama dia mentadbir negara 22 tahun tak pernah harga minyak naik mendadak semacam itu. Rupa-rupanya, segila-gila tun tu, masih ada orang yang lebih gila daripada itu.
Benar dan tidak dinafikan bahawa pembangunan menuntut pengorbanan tetapi pembangunan tidak boleh dicapai melalui kezaliman dan penindasan. Harga minya yang naik mengila itu akan menyebabkan seribu barangan lain naik mengila dan membabi buta juga. Tempiasan daripada kenaikan harga minya akan menyebabkan semuan naik angin atau naik minyak. Jadinya, yang akan terus menderita dan kecewa ialah RAKYAT.
Aku adalah salah seorang daripada 25 juta rakyat Malaysia yang mula akan menikmati kehidupan jerih dan payah itu. Adakah ini juga keputusan 'menang-menang' kerajaan? Adakah ini juga balasan terbaik apabila BN masih menang PRU-12? Atau, adakah ini janji manis yang menjadi manifesto BN yang penuh rahsia itu?
Aku sedang memikirkan nasib kedua ibu bapa aku yang hidup 100% bergantung kepada minyak untuk meneruskan hidup. Mampukah mereka meneruskan hidup dengan senang dan selesa seperti sebelum ini?
Kepada kedua ibubapaku, maafkan aku kerana gagal memberikan kesenangan hidup kepadamu, pada saat-saat kau beristirahat menuju tanah nurani. Aku anakmu terasa ditipu hidup-hidup oleh pemerintah yang diamanahkan rakyat. Maafkan aku ibu. Maafkan aku juga ayah kerana gagal memberikan nikmat hidup seperti yang kita impikan selama ini.
ii
Dua tiga hari sebelum ini, PM Iran, Ahmad Nijad berkata bahawa kenaikan harga minyak dunia adalah agenda amerika yang ingin menebus kerugian akibat gagal menguasai minyak di Iraq. Menyokong akan kenaikan minyak bermakna kita menyokong perjuangan kezaliman amerika terhadap Iraq dan Islam. Oleh itu, siapa sebenarnya penyokong amerika?
Aku tak ingin memaki dan menghina kerana aku bukan dilahirkan untuk memaki hamun.

Selasa, 3 Jun 2008

BEBERAPA CATATAN YANG PERLU DIRUNGKAI

i
SAYA masih agam di bilik; sendirian sambil menukang kerja-kerja pengajian yang kian mendesak. Meskinya tempoh 3 tahun untuk menyiapkan sebuah rumah bernama doktor falsafah benar-benar menguji dan menuntut kesabaran. Dalam pada mengejar itu jugalah ada rakan-rakan dari penerbitan yang meminta saya menyumbangkan sesuatu untuk akhbar dan majalah mereka. Katanya, "idea yang ada tu jangan dibuat pekasam. Wadah dah ada, tumpahkanlah."
Mendengar pujukan itu memang seronok didengar apatah lagi tentunya ada habuan juga yang menanti. Tetapi, saat difikirkan kembali; perlukah saya menulis dalam ruang fikir yang berjungkir balik. Maksud dan perkiraannya mudah iaitu untuk apa menulis jika pandangan dan idea itu dikatakan berhaluan kiri dan tidak profesional? Untuk apa juga akhirnya saya terpaksa membuang masa dan bersunyi-sunyi menulis sesautu yang ikhlas lahir daipada dalam hati tetapi ada yang menidakkannya.
Nah, jawapan bagi kebuntuan ini ialah BEBASKAN DAHULU AKTA PENERBITAN. Di dunia luar sana, kebebasan akhbar berlaku secara terbuka kerana rakyat/ pembaca yang akan membuat penentu dan mengadili keesahannya.
Ini tidak, pembaca negara kita menjadi jumud dan tidak matang kerana didedahkan dengan pemikiran sehala yang akhirnya tidak menjadikan rakyat matang dan berani bersuara. Lebih malang sekali, media perdana hari ini terpaksa memilih cerita murahan, picisan, dan hampas untuk bacaan rakyat. Cerita artis, cerita AF, cerita cerai-berai dunia seniman, cerita hantu yang tahyul dan berita sukan yang menyedihkan menjadi sensasi dan keutamaan. Di manakah nilai pemikiran rakyat kita yang terdedah dengan semua macam benda yang tidak ilmiah dan boleh membantu rakyat berfikir.
Saya melihat dengan mata fikir bahawa media perdana seakan mencaturkan hiburan yang muluk-muluk untuk menutup budaya ilmu berkembang secara sihat.
DI MANAKAH SILAPNYA DAN SIAPAKAH PENCIPTA ONARNYA?
ii
SEKIAN lama berulang-alik dan menukang kerja-kerja rutin, terfikir dalam fakulti akal tentang nasib budaya dan sastera Melayu di negara Malaysia ini. Apa dah jadi sebenarnya? SN Pak Samad semacam merajuk dan mula menjauhkan diri, beberapa orang sasterawan negara lain sudah tidak begitu sihat (merujuk kepada Andullah Hussein, Nordin Hassan, Arenawati dan Shahnon Ahmad); yang kuat berfikir dan terus berkelana ialah S. Othman Kelantan dan Muhammad Haji Saleeh.
Apakah akal mereka ini masih diperlukan oleh sebuah bangsa dan tamadun Melayu yang besar?
Kalau diperlukan pemikirannya, sejauh manakah kerajaan memanfaatkan akal mereka ini? Mereka ini hanya punya idea kreatif yang genius; mengapa tidak diberikan kolum khas dalam akhbar perdana untuk mereka ini menumpahkan pandangan tentang jatuh bangunnya nasib sebuah bangsa Melayu. Mereka ini sasterawan negara yang menerima anugerah daripada DYMM Agung. Atas status itulah mereka sepatutnya dihargai.
Jika golongan seniman ada Istana Budaya dan konsulat budaya dan warisan; bagaimana dengan nasib sasterawan negara? Adakah cukup dengan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sahaja? Tentunya tidask kerana mereka berfikir dan menulis; sudah tentu mereka memerlukan media yang lebih luas untuk menetaskan idea bagi membangunkan tamadun bangsa. Kepada manusia yang masih mengunguli tampok media perdana, berikan sasterawan negara ini ruang dan tempat yang selayaknya kerana mereka diangkat oleh DYMM Agung untuk menjadi pemikir bangsa juga negara.
Kita jangan menjadi pembunuh kepada nasib sasterawan, sejarahwan, budayawan dan intektual bangsa dan negara. Kita perlu menjadi manusia berani untuk mempertahankan hak dan falsafah sebuah kedaulatan bangsa dan tamadun bernama Melayu.