Saya menjadi tidak karuan apabila menatap entri terbaharu blog kanda Shapiai Ramly, "Melihat Kesunyataan". Ulasannya tentang kumpulan puisi saya itu benar-benar menakutkan. Saya segera menulis sesuatu pada ruangan komen blognya. Saya menulis begini:
Kanda Shapiai yang dihormati,
Jangan terlalu memuji saya kerana pujian akan memusnahkan. Saya takut kepada pujian kerana itu adalah pinjaman duniawi yang akan hilang dalam sekelip mata sahaja.
Kepada kanda Shapiai (yang banyak mengajar saya erti puisi dan sastera Melayu), izinkan saya petik keseluruhan entri di bawah judul "Percakapan Seorang Shamsudin". Terima kasih kerana masih mengingati keakraban dulu.
Jangan terlalu memuji saya kerana pujian akan memusnahkan. Saya takut kepada pujian kerana itu adalah pinjaman duniawi yang akan hilang dalam sekelip mata sahaja.
Kepada kanda Shapiai (yang banyak mengajar saya erti puisi dan sastera Melayu), izinkan saya petik keseluruhan entri di bawah judul "Percakapan Seorang Shamsudin". Terima kasih kerana masih mengingati keakraban dulu.
Percakapan Seorang Shamsudin
Shamsudin Othman, penulis kelahiran Tangkak ini memang tidak asing lagi bagi penulis muda Johor. Saya mengenali beliau ketika beliau masih menuntut lagi. Beliau sudah mula mendekatkan diri dengan penulisan dan juga Persatuan Penulis Johor (PPJ). Ketika PPJ mengadakan pertemuan di Desaru sempena penerbitan antologi ‘Iqrak’ beliau datang bersama temannya Kamaruddin Md. Tahir. Selepas itu Shamsuddin masuk Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan kebetulan selepas itu mengajar di Kota Tinggi. Dari sini beliau terus belajar dan akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Kini beliau adalah pensyarah di Universiti Putera Malaysia.
‘Taman Percakapan’(DBP: 2006) adalah kumpulan puisi beliau yang memuatkan 110 buah sajak. Membaca ‘Taman Percakapan’ seolah-olah membaca siapakah Shamsudin Othman yang sebenarnya. Penulis seangkatan Rahimidin Zahari dan SM Zakir ini cukup kuat berpegang kepada prinsip pencarian diri, sesuai dengan dirinya yang sentiasa tenggelam dalam alam mujarradat (kerohanian). Dalam percakapannya kepada roh seorang Shamsuddin, dia seolah-olah merayu kepada Al-Khalik;
Tuhan
Jangan biarkan aku sendiri
Kerana aku makin jauh
Dan jauh
Menuju dunia kekasih.
Shamsuddin juga sering mengingatkan dirinya, isteri dan anak-anaknya tentang harapan seorang suami, seorang ayah dan juga sebagai seorang kekasih.
Kepada Saiyidah Sumaiyah dia berdoa;Agar kau menjadi sepohon mawar
Yang tegar melepaskan harum
Ke langit menjadi bunga segar
Ke sisi menjadi dahan merendang
Ke tanah menjadi akar menunjang
Dan aromanya mengikat gerak peribadi.
Shamsuddin juga bercakap kepada banyak orang dan banyak benda seperti percakapan kepada bahasa Melayu, kepada hari lebaran, hari kematian, kepada Tanjung Sedili dan juga kepada bulan dan bintang.
Semua percakapan ini sebenarnya membawa makna yang tersendiri. Meminta banyak kembara melalui lawang-lawang fikiran dan renungan.Kita menunggu-nunggu kumpulan puisi beliau seterusnya.
ii
Rabb,
jangan sesatkan aku
di dalam rumah pujian-Mu.
Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.
iii.
Kanda Shapiai,
Insya-Allah nanti akan saya segerakan kiriman kumpulan puisi terbaharu berjudul "Tanah Nurani" (PIB:2009).
Salam dari kejauhan.
4 ulasan:
oh kalau buat ulasan boleh dapat buku free ke? bukan tak larat nak beli tapi pemberian penulisnya lebih bermakna. ada sentimental haha. amacam menjadi tak taktk nih. tengoklah sampaibandung nanti. ni nak pergi gunung ledang jangan sesat lak. tempat tu keras.
Saya tumpang bangga dengan orang Tangkak. Kalau ada 100 orang Tangkak berderet seperti susunan kedai kain yang tumbuh seperti cendawan ni, alangkah bagusnya. Yah! Teruskan perjuanganmu.
Tuan,
Memuji pada tempatnya dan tidak berlebih-lebihan tidak salahkan?
Tahniah, sahabatku.
Moga sentiasa dikurnia ilham dan kekuatan dalam perjuanganmu.
syukur alhamdulillah jumpa blog ini ...
byk perkara yang saya dapat dari anda...
sungguhpun saya bukan melayu ...
saya faham perasaan seorang melayu yang ingin mempertahankan bahasanya...
begitu juga dengan saya yang agak risau dengan kemerosatan bahasa ibunda di kalangan kaum kami ...
terlalu banyak penggunaan bahasa melayu di melanaukan..sehingga bahasa itu kedengaran bercampur aduk ...
kadang-kadang penggunaan untuk sesetengah perkataan pun boleh salah ... sedangkan mak dan ayah adalah melanau jati...
saya hanya terfikir apa akan berlaku sekiranya 10 tahun akan datang?!!! seandainya tidak ada yang cuba membongkar kembali bahasa-bahasa ibunda dari kaum kami ....
bukankah itu semua adalah lambang perpaduan negara malaysia...
daripada: sha83@kaizer
Catat Ulasan