Rabu, 15 Julai 2009

TEWAS TIPIS MENANG MORAL ATAU MENANG TIPIS TEWAS MORAL


TIBA-TIBA ungkapan 'Tewas Tipis Menang Moral' dan 'Menang Tipis Tewas Moral' bermain dalam fikiran saya. Selepas keputusan pilih raya N41 Manek Urai diumumkan malam tadi; banyak sms masuk ke telefon bimbit saya. Ucapan tahniah atau paling syahdu apabila menerima sms ini tepat jam 11.21 malam, "sukalah tu, parti kau menang tipis. Nipis atau tebal bukan soalnya, yg penting menang. Tahniah!"

Saya yang sedang berulit dengan kitab Al-Quran Kitab Sastera Terbesar karya Dr. phil. M. Nur Kholis Setiawan itu menjadi sedikit terganggu. Mana tidaknya, tidak sampai seminit ada sahaja sms yang masuk; seperti biasa demi erti persahabatan, sms itu perlu dibalas dengan jawapan paling ringkas, iaitu 'Takbir!'

Berbalik kepada ungkapan di atas, saya berkira-kira bahawa kedua parti sama ada PAS atau UMNO (UBN) perlu bersiap siaga untuk menghadapi pilih raya ke-13 akan datang. Keputusan majoriti menunjukkan kedua-dua parti tidak berada pada kedudukan yang selesa. Saya melihat keputusan pilihan raya N41 ini sebagai petanda bahawa rakyat kian bijak membuat pilihan. PAS yang didominasi prinsip Islam seakan-akan tidak disenangi lagi. Manakala UBN yang berpaksikan kepada sekularisme seakan-akan sedang diterima dengan seadanya. Begitulah pertembungan antara dua parti yang diuruskan SPR.

Saya tidak ingin menyentuh tentang janji-janji manis kedua-dua parti yang ditaburkan ketika berkempen sebelum ini. Sebelum itu, janji-janji politik oleh mana-mana parti politik pun adalah retorikal yang muluk dan merdu didengari. Sesudah bergelar YB atau menang pilih raya, rakyat terus menjadi penanti yang setia tanpa disapa atau dikunjungi. Demikianlah sandiwara pilihan raya. Mungkin ada yang tersingung dengan tanggapan ini. Bagaimana dengan pembangunan yang ditaburkan?

Pembangunan adalah tugas wajib pemerintah. Sesiapapun yang memerintah, sikap pilih kasih tidak perlu ada di dalam diri. Menyediakan kemudahan asas atau terbaik adalah amanah daripada rasa keadilan pengurusan kewangan rakyat. Rakyat perlu mendapat hak sewajarnya. Menyokong atau menjadi seteru parti bukan ukurannya.

Kepada PAS, tahniah. Kepada UMNO, tingkatkan usaha. Kepada kedua-dua parti; pilihan raya kali ini ada pengajaran dan hikmahnya. Berfikirlah secara lebih matang. Buang jauh-jauh semangat sengketa. Kembalilah kepada tujuan yang satu, iaitu memimpin dan pemimpin adalah amanah ALLAH SWT.

2 ulasan:

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,
1. Buang dan jual sahaja 'pemain jersi no. 2' pasukan hijau-putih itu, mungkinkah 'pemain jersi no. 2' ini penyebab hampir tewasnya pasukan hijau-putih di stadium MU itu? Hehehe... (lanjutannya... jika berkesudian silalah ke rarws)
2. Dalam perlawanan peringkat akhir sebegini (bukan perlawanan liga), KALAH TETAP KALAH! walaupun kalah tipis atau kalah tendangan penalti! ya... piala harus diserahkan dan dijulang!

Zaid Akhtar berkata...

Tuan RAR,
usah terlalu seronok dengan kenangan indah di Istanbul. Musuh mengintai luar dan dalam untuk menjatuhkan.
:-)