Jumaat, 31 Julai 2009

JANJANG HAYAT DI LAUT 43


Tanggal 31 Julai 2009 maka genaplah setahun pemergian SN S. Othman Kelantan menemui undangan Illahi (al-fatihah). Pada tanggal ini juga, genaplah usia saya 43 tahun. Seperti yang saya tuliskan dalam sms kepada teman-teman yang menghantar ucapan 'Selamat Ulang Tahun' kepada saya; saya tulis "Terima kasih kembali. Usia adalah angka yang mendekatkan saya dengan kematian".

Terima kasih kepada anak murid, teman-teman dan keluarga yang mengutus ingatan itu. Dan kini, rupa-rupanya saya sedang bergelut dengan angka yang kian membanyak. Sejauh mana meningkatnya angka itu, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Ini semua adalah perjalanan yang tidak pasti. Jauh dan dekat destinasi itu, takdir dan waktu yang mengetahuinya.

Selepas solat subuh (terlewat sikit bangun sebab..., guru saya En. Saleeh Rahamad, S.M Zakir dan Rahimidin tentu boleh meneka kenapa saya terlambat bangun), segera saya tulis sajak ini;

JANJANG HAYAT DI LAUT 43

Aku buih di laut-Mu
teroleng oleh ombak
di lapisan cahaya
antara biru atau hijau langit
berapungan dipuput arus
menuju pantai abadi.

Aku ombak di air-Mu
sesekali membadai
dan pecah di pasir nafsu
lemas dalam alunan puisi perindu.

Aku pasir di pantai-Mu
kuukir rumah dosa
tanpa tiang dan bumbung pahala
juga aksara insaf
yang berwajah taubat
di pasir takwa.

Aku pulau di dada laut-Mu
menagih zikir matahari dan tahmid bulan
saat taubat angin menyentuh
di rukuk dan sujud terakhir
yang berakar di laut diri.

Janjang hayatku di laut 43-Mu,
adalah degup karang dalam kalimah ratib-Mu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.


ii.
31 Julai hingga 2 Ogos 2009, saya, SM Zakir, Rahimidin Zahari, Amiruddin Ali dan rakan-rakan daripada DBP Wilayah Selatan akan berada di puncak Gunung Ledang. Kami akan cuba menikmati keindahan ciptaan Illahi. En. Saleeh, jangan cemburu sebab tak dapat ikut. Kita jumpa di Bandung aja.

Salam dari kejauhan.

Khamis, 30 Julai 2009

APABILA KANDA SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY MENULIS TENTANG SAYA....

Saya menjadi tidak karuan apabila menatap entri terbaharu blog kanda Shapiai Ramly, "Melihat Kesunyataan". Ulasannya tentang kumpulan puisi saya itu benar-benar menakutkan. Saya segera menulis sesuatu pada ruangan komen blognya. Saya menulis begini:

Kanda Shapiai yang dihormati,
Jangan terlalu memuji saya kerana pujian akan memusnahkan. Saya takut kepada pujian kerana itu adalah pinjaman duniawi yang akan hilang dalam sekelip mata sahaja.

Kepada kanda Shapiai (yang banyak mengajar saya erti puisi dan sastera Melayu), izinkan saya petik keseluruhan entri di bawah judul "Percakapan Seorang Shamsudin". Terima kasih kerana masih mengingati keakraban dulu.

Percakapan Seorang Shamsudin


Shamsudin Othman, penulis kelahiran Tangkak ini memang tidak asing lagi bagi penulis muda Johor. Saya mengenali beliau ketika beliau masih menuntut lagi. Beliau sudah mula mendekatkan diri dengan penulisan dan juga Persatuan Penulis Johor (PPJ). Ketika PPJ mengadakan pertemuan di Desaru sempena penerbitan antologi ‘Iqrak’ beliau datang bersama temannya Kamaruddin Md. Tahir. Selepas itu Shamsuddin masuk Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan kebetulan selepas itu mengajar di Kota Tinggi. Dari sini beliau terus belajar dan akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Kini beliau adalah pensyarah di Universiti Putera Malaysia.

‘Taman Percakapan’(DBP: 2006) adalah kumpulan puisi beliau yang memuatkan 110 buah sajak. Membaca ‘Taman Percakapan’ seolah-olah membaca siapakah Shamsudin Othman yang sebenarnya. Penulis seangkatan Rahimidin Zahari dan SM Zakir ini cukup kuat berpegang kepada prinsip pencarian diri, sesuai dengan dirinya yang sentiasa tenggelam dalam alam mujarradat (kerohanian). Dalam percakapannya kepada roh seorang Shamsuddin, dia seolah-olah merayu kepada Al-Khalik;

Tuhan
Jangan biarkan aku sendiri
Kerana aku makin jauh
Dan jauh
Menuju dunia kekasih.

Shamsuddin juga sering mengingatkan dirinya, isteri dan anak-anaknya tentang harapan seorang suami, seorang ayah dan juga sebagai seorang kekasih.
Kepada Saiyidah Sumaiyah dia berdoa;

Agar kau menjadi sepohon mawar
Yang tegar melepaskan harum
Ke langit menjadi bunga segar
Ke sisi menjadi dahan merendang
Ke tanah menjadi akar menunjang
Dan aromanya mengikat gerak peribadi.

Shamsuddin juga bercakap kepada banyak orang dan banyak benda seperti percakapan kepada bahasa Melayu, kepada hari lebaran, hari kematian, kepada Tanjung Sedili dan juga kepada bulan dan bintang.

Semua percakapan ini sebenarnya membawa makna yang tersendiri. Meminta banyak kembara melalui lawang-lawang fikiran dan renungan.

Kita menunggu-nunggu kumpulan puisi beliau seterusnya.

ii
Rabb,
jangan sesatkan aku
di dalam rumah pujian-Mu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

iii.
Kanda Shapiai,
Insya-Allah nanti akan saya segerakan kiriman kumpulan puisi terbaharu berjudul "Tanah Nurani" (PIB:2009).

Salam dari kejauhan.

Selasa, 28 Julai 2009

SAYAP GERHANA MENGEPAK TAKWA

Gambar: Gerhana Matahari

Firman Allah yang maksud-Nya:

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, sekiranya benar kamu hanya beribadat kepada Allah.
(al-Fussilat: 37)

SAYAP GERHANA MENGEPAK TAKWA

Demikianlah cerita al-Fussilat: 37 kepadaku
pada suatu hari bening
berteman sunyi, sejadah dan sejalur cahaya.

Kau tegar berkasidah
tentang bulan dan matahari
juga ketauhidan Illahi
yang kelam dalam telaga imaniku.

Tanpa sahabat tetapi dua malaikat
sepi menjadi zuk yang indah
siang menyembunyikan gilang cahaya
di depanku gelap
tetapi sebuah takwa dan iman
damai menyatu.

Aku baca gerhana matahari-Mu, Rabb
sebagai pesan kiamat
yang kian mendekat.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.




Isnin, 27 Julai 2009

SURAT-SURAT CINTA


SURAT-SURAT CINTA i

Aku tatap surat-surat yang kau kirimkan
isinya adalah luahan yang meruntun
segugus cinta yang hilang
juga segunung rindu yang terhukum.

Seperti selalu,
aku segera ingat pesan dan harap
yang terkubur dalam sejarah masa lalu
kenangan saling bertali arus
mengiya kemudian menidakkan
cerita yang terjawab oleh waktu
tetapi sentiasa menguji iman.

Surat-surat cinta dari Yang Maha Esa
aku baca hayati saat matahari
resah di dalam dakapan bulan
dan Syabaan datang membawa pesan
kemuliaan sirah junjungan.

Dan, semalaman tadi,
surat-surat cinta dari Tuhan
mengutus aku ke negeri ingatan.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori,
Kuala Lumpur.
5 Syaaban 1403H

Rabu, 22 Julai 2009

Novel Resis ii "Love and Vertigo"


MATAN pensyarah saya (En. Saleeh Rahamad) di dalam blognya menulis di bawah entri 'Novel resis'. Dia menyuarakan rasa kebimbangan hatinya terhadap perkembangan novel-novel barat yang sedang memburukan nama Malaysia. Dia berkisah tentang novel "Love and Vertigo" karya Hsu-Ming Teo.

Saya tidak terperanjat dengan kisah itu walaupun buat-buat terkejut ketika membacanya. Lalu saya tuliskan sesuatu pada ruang komen entrinya itu. Saya perturunkan kembali komen saya itu di dalam entri saya ini.

Wah, memeranjatkan! (buat-buat terkejut aja).
Hehehehe. Kalau kita baca tulisan-tulisan Muhammad Haji Salleh dalam "Permata di Rumput Gemilang: Sastera Sebagai Ruang Bangsa" (DBP:2008), ketakutan itu sudah lama meresap di dalam diri politikus/kuasawan Melayu.

Sasterawan seperti kita hanya mampu merengus dan mengesat air mata sahaja. Di Turki, Orhan Parmok dah lama buat kerja macam tu. Di India pun sama. Di Malaysia rasa-rasanya dah lama berkembang (buktinya kena tanya pak Zakir dan syeikh Rahimidin). Sastera kita juga sedang berhadapan dgn pemesongan itu. Di tangan penulis bukan Melayu (maaf tidak semua) agenda ini sedang bermula.

Awas, MELAYU dan TANAH MELAYU sedang DILELONG.

Itulah komen saya. Membaca entri itu mengingatkan saya kepada kuliah saya bersama-sama Allahyarham S. Othman Kelantan (al-fatihah untuk rohnya dan 31 Julai ini genap setahun beliau kembali ke negeri abadi), pada tahun 2005 dulu. Ketika itu, Allahyarham sering mengingatkan saya supaya menulis sesuatu yang bermakna dan ingat akan perintah menulis itu adalah amanah Allah. Kata-kata Allahyarham yang tidak boleh saya lupa ialah, "menulislah apa-apa sahaja dengan penuh hikmah tetapi jangan jual negara." Saya dan rakan sekuliah ketawa mendengar lawaknya ketika itu. Begitulah dia, seorang sasterawan negara yang terlalu dekat di hati saya.

Hampir setahun Allahyarham S. Othman Kelantan meninggalkan kita, En. Saleeh Rahamat, mantan guru saya itu menjentik kembali kenangan itu. Kedua-dua mereka ini adalah guru saya yang cekal, gigih, otai dan brutal.

Semuanya masih segar dalam ingatan. Mari kita tentang agenda penulis yang sedang berusaha untuk menjual dan mengadai tanah air.

Isnin, 20 Julai 2009

Dalam Dakapan Perjalanan Agung


Dalam Dakapan Perjalanan Agung

Tidak seperti semalam
dakapan waktu terasa erat dalam rangkulan
bibir sepi yang kukucup
membalas dengan berahi yang lain.

Sebuah sunyi
aku tiduri dengan nafsu
tanpa mimpi dan angan-angan
aku diratah
rakus memuncak menjadi segugus ingin
saat kegersangan meraba dada malam.

Inilah anganan yang tak tertunaikan
cinta berderai di anjung cahaya
rindu hancur di hujung dini
dan sebaris ingatan
terputus dari karangan kenangan.

Dalam dakapan waktu
aku mencari diriku sendiri
yang tertinggal ketika Rasullullah
dibawa buraq
dalam Israk menuju Mikhraj
dari Masjidil Haram menuju al-Aqsa.

Sidratul Muntaha
aku susur perjalanan agung
membawa rohku yang sunyi
dan jasakku yang sepi
saat menjejaki imanku
yang hilang di celahan waktu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.
26 Rejab 1430/19 Julai 2009

Khamis, 16 Julai 2009

SITUASI TIDAK MENENTU

Saya dihubungi rakan-rakan wartawan tentang kisah mahasiswa UPM yang murtad atau dimurtadkan semalam. Berita yang tersiar di Malaysiakini itu benar-benar memeranjatkan saya.

Seorang rakan yang bertugas di rangkaian media utama menghubungi saya untuk mendapatkan kebenaran kisah sensasi itu. Saya yang terpinga-pinga diherdik oleh rakan saya yang katanya saya tidak mengambil berat hal ehwal pelajar. Saya menelan tohmahan itu bulat-bulat sambil otak saya berfikir akan duduk perkara kisah itu. Saya segera membuka internet dan menyusur ke sesawang Malaysiakini. Wah! Memeranjatkan apabila berita sensasi itu diakui dan menjadi berita utama di laman Malaysiakini.

Saya segera menghubungi anak didik saya yang menginap di asrama dan bertanya akan kedudukan kisah itu. Peliknya, mereka sendiripun tak tahu. Oleh itu, saya mengambil jalan mudah dengan memetik sepenuhnya dua perenggan berita yang dihebahkan oleh Malaysiakini, iaitu;

Bagaimanapun tiada pengesahan rasmi diperolehi daripada pihak universiti dan polis, setakat ini.

Undang-undang negara melarang seseorang bukan Islam menyebarkan agama kepada seorang Muslim.

Mudah-mudahan dengan berita ini, suasana akan kembali tenang dan damai. Kepada warga kampus UPM khususnya anak-anak didik saya, itu tanda supaya anda perlu lebih berhati-hati dan kuatkan iman.

Rabu, 15 Julai 2009

TEWAS TIPIS MENANG MORAL ATAU MENANG TIPIS TEWAS MORAL


TIBA-TIBA ungkapan 'Tewas Tipis Menang Moral' dan 'Menang Tipis Tewas Moral' bermain dalam fikiran saya. Selepas keputusan pilih raya N41 Manek Urai diumumkan malam tadi; banyak sms masuk ke telefon bimbit saya. Ucapan tahniah atau paling syahdu apabila menerima sms ini tepat jam 11.21 malam, "sukalah tu, parti kau menang tipis. Nipis atau tebal bukan soalnya, yg penting menang. Tahniah!"

Saya yang sedang berulit dengan kitab Al-Quran Kitab Sastera Terbesar karya Dr. phil. M. Nur Kholis Setiawan itu menjadi sedikit terganggu. Mana tidaknya, tidak sampai seminit ada sahaja sms yang masuk; seperti biasa demi erti persahabatan, sms itu perlu dibalas dengan jawapan paling ringkas, iaitu 'Takbir!'

Berbalik kepada ungkapan di atas, saya berkira-kira bahawa kedua parti sama ada PAS atau UMNO (UBN) perlu bersiap siaga untuk menghadapi pilih raya ke-13 akan datang. Keputusan majoriti menunjukkan kedua-dua parti tidak berada pada kedudukan yang selesa. Saya melihat keputusan pilihan raya N41 ini sebagai petanda bahawa rakyat kian bijak membuat pilihan. PAS yang didominasi prinsip Islam seakan-akan tidak disenangi lagi. Manakala UBN yang berpaksikan kepada sekularisme seakan-akan sedang diterima dengan seadanya. Begitulah pertembungan antara dua parti yang diuruskan SPR.

Saya tidak ingin menyentuh tentang janji-janji manis kedua-dua parti yang ditaburkan ketika berkempen sebelum ini. Sebelum itu, janji-janji politik oleh mana-mana parti politik pun adalah retorikal yang muluk dan merdu didengari. Sesudah bergelar YB atau menang pilih raya, rakyat terus menjadi penanti yang setia tanpa disapa atau dikunjungi. Demikianlah sandiwara pilihan raya. Mungkin ada yang tersingung dengan tanggapan ini. Bagaimana dengan pembangunan yang ditaburkan?

Pembangunan adalah tugas wajib pemerintah. Sesiapapun yang memerintah, sikap pilih kasih tidak perlu ada di dalam diri. Menyediakan kemudahan asas atau terbaik adalah amanah daripada rasa keadilan pengurusan kewangan rakyat. Rakyat perlu mendapat hak sewajarnya. Menyokong atau menjadi seteru parti bukan ukurannya.

Kepada PAS, tahniah. Kepada UMNO, tingkatkan usaha. Kepada kedua-dua parti; pilihan raya kali ini ada pengajaran dan hikmahnya. Berfikirlah secara lebih matang. Buang jauh-jauh semangat sengketa. Kembalilah kepada tujuan yang satu, iaitu memimpin dan pemimpin adalah amanah ALLAH SWT.

Isnin, 13 Julai 2009

SETELAH MATAHARI ENGGAN BERDOA


ADA sesuatu yang menarik untuk dikongsikan. Ceritanya daripada seorang pensyarah IPTA yang sempat berkunjung ke Manek Urai pada cuti hujung minggu semalam. Saat kami bertemu di kios makan, dia mula bercerita tentang pengalamannya ketika berada dua hari di Kelantan. Dia yang saya kenali sebagai penyokong totok UBN kelihatannya bersungguh-sungguh menceritakan apa yang disaksikan di depan biji matanya sendiri.

Dia melontarkan kemarahan yang tidak terhingga kepada parti yang disanjungnya selama ini. Maaf dan dengan izin, biar saya ungkapkan kembali sepenuhnya kesimpulan daripada kemarahannya itu. Katanya, "gila sungguh puak-puak ni. Manek Urai dengan jumlah pengundi tak sampai 12 ribu habis duit rakyat RM127 juta. Nok jadi gapo pekan koboi ni, weh? Ada masjid nak diganti; ada jambatan nak ditukar; ada jalan rayo hok molok lagi nak ditukar..., gilo, gilo sungguh puak ni."

Saya yang tidak berapa pandai kecek Kelante' tu, mengukir senyum sendirian. Saya makan dua biji kuih buah melaka dan sepotong kuih kasui sambil memikirkan apalah yang hendak dimarahkan sangat profesor ini. Sebelum saya meninggalkan profesor yang masih marah-marah itu untuk ke kuliah, saya berseloroh dengannya, "prof, baru sekarang ke prof tahu yang puak tu gilo?"

Sehabis kuliah, saya menulis sajak ini.

SETELAH MATAHARI ENGGAN BERDOA

Beginilah kisah yang tak boleh didustai
setelah matahari enggan berdoa
bulan terus berzikir munajat
memohon rahmat-Nya
membuka pintu kemenangan.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

Khamis, 9 Julai 2009

AIR MATA SEORANG 'PELUDAH BAHASA'

AKHIRNYA setelah tujuh tahun bergelora dan membadai hati orang Melayu, PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya pada 2012/2014. Di tangan dan keberanian TPM Muhyiddin Yassin, dia mengambil keputusan untuk memansuhkannya. Dan, manusia Melayu yang paling kecewa ialah mantan PM (gambar).

Walaupun pemansuhan sepenuhnya akan berlaku dalam masa 3-4 tahun lagi, ada rasa kebimbangan yang menular di dalam hati dan akal fikiran saya. Tempoh waktu 3-4 tahun itu adalah jangka waktu yang panjang dan mungkin banyak perkara boleh berlaku sekelip mata. Apatah lagi para juak dan kuasawan adalah pemain silap mata yang hebat di muka bumi Allah ini.

Apa-apapun saya ingin memanjangkan kesyukuran kepada Allah kerana pemimpin Melayu khususnya kuasawan umno hari ini sudah mula membuka mata untuk melihat wajah rakyat dan memansang telinga untuk mendengar suara rakyat. Mudah-mudahan, di bawah nakhoda baharu ini, suara dan jerit hati rakyat dapat difahami dengan seikhlasnya.

Berbalik kepada PPSMI; semalam, air mata mantan PM itu mengalir lagi dengan alasan muluknya bahawa pemansuhan PPSMI akan menyebabkan anak-anak Melayu ketinggalan. Saya akui bahawa mantan PM ialah pakar hebat dalam bidang ekonomi dan politik. Persoalannya, siapakah yang lebih hebat dalam bidang pendidikan? Profesor Diraja Ungku Azizkah, atau guru-guru yang seharian bergelumang dengan anak-anak murid di sekolah? Saya ingin bertanya kepada Tun Mahathir; sepanjang Tun menguasai teraju negara, berapa lamakah masa yang pernah diambil untuk duduk di dalam bilik darjah kemudian mengajar sains dan matematik (tidak kiralah di dalam bahasa Melayu atau BI)? Pertanyaan kedua, cuba Tun mengajar sains dan matematik di dalam BI di kawasan hulu Terengganu atau hulu Kedah? Nah, dengan dua pengalaman ini, Tun akan tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku dalam sistem pendidikan negara hari ini.

Saya sanjung Tun sebagai negarawan ulung yang berjaya memacu nama negara di mata dunia. Saya puji kesungguhan dan ketabahan Tun mengharungi kancah politik negara; tetapi dalam hal PPSMI saya tidak sependirian dengan Tun. Saya mengambil keputusan untuk memusuhi Tun dalam hal-hal PPSMI ini kerana bagi saya Tun adalah manusia yang telah meludah bahasa ibunda sendiri. Tun meletakkan darjat dan maruah bahasa Melayu kepada kedudukan yang sehina-hinanya (menghina Perlembagaan 152 dan menghina Penyata Razak). Akhirnya, Bahasa Melayu hampir-hampir mati kerana dinafikan hak ketamadunan bahasa Melayu itu sendiri.

Hari ini, jika air mata Tun menitis lagi, anggaplah itu air mata rakyat yang gembira. Rakyat sebenarnya sudah lama memendam air mata di dalam diam dan sesekali merusuh kecil. Saya adalah sebilangan daripada rakyat itu yang saban hari berdoa agar maruah Bahasa Melayu kembali ke takhtanya.

Maafkan saya, Tun. Saya selalu membaca sajak Pak Samad bertajuk "Peludah Bahasa" tidak sajak Tun bertajuk "Melayu Mudah Lupa". Dengan sajak Pak Samad itu, saya membina kekuatan.

Tun yang dikasihi, senja dan malam sering memburu kita. Saya mohon maaf andai ditakdirkan saya menemui yang abadi terlebih dahulu. Sesuatu yang Tun perlu tahu ialah, saya membenci Tun bukan kerana Tun tidak berakal tetapi saya membenci Tun kerana Tun seorang yang terlalu menghina Bahasa Melayu.

Salam dari kejauhan. Maafkan saya, Tun yang dikasihi.

Rabu, 8 Julai 2009

MEMBEBAT LUKA SEJARAN BANGSA


PETANG DAN MALAM TADI, bertujah-tujah sms masuk ke telefon bimbit saya. Isinya sama, iaitu tentang berita pemansuhan PPSMI yang bakal diumumkan esok petang oleh TPM merangkap menteri pelajaran. Saya menguntum senyum sambil membalasnya pula dengan catatan ringkas berbunyi; "TAKBIR! HIDUP BAHASA MELAYU".

Pagi ini, selepas solat subuh, di depan komputer saya berpuisi.

MEMBEBAT LUKA SEJARAH BANGSA

Tujuh tahun kemelut dan krisis melanda
seperti banjir yang mengganas
rakyat berarak di jalanan
suara dan air mata bersatu di dalam dendam
meratah jiwa dan meragut perasaan
sebuah bangsa yang dinafikan hak dan cita-cita.

Semalam,
saat hujan mendesah dengan ribut dan petir
seorang teman mengutus khabar
bahawa akar tamadun
akan kembali mencengkam bumi
mengikat tanah yang terpugar
lewat musim rakus bermaharajalela nafsu kuasawan.

Dari kejauhan - taman ilmu
hati berdetik merawat hiba
bagaimana harus kubebat luka sejarah bangsa
yang darahnya tak pernah kering mengalir
jua dendamnya tak pernah berpenghujung.

Ya Rabb,
anugerahkan aku kekuatan seorang pemaaf
seperti Rasulullah yang meruntuh kasih Abu Talib
kembali sujud kepada Allah yang satu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

Khamis, 2 Julai 2009

SAJAK KEPADA 1MALAYSIA


SAJAK KEPADA 1MALAYSIA


monumen muluk ini terbina
dari lidah fikir menteri perdana
sebuah gagasan puluhan juta rakyat
terhimpun dalam rumah damai
yang bertiang
tapi tak berdinding beratap berlantai.

dari taman ilmu
aku merenung jauh
yang kutafsir adalah segugus damai yang hilang
dalam hati perpaduan
setelah berabad meniti jambatan merdeka

dari taman ilmu
aku mengetuk pintu Malaysiaku
membuka jendela kemudian merenung purnama bulan
sambil mendengar matahari bersyair
dan rakyat menadah air mata yang tertumpah

saat monumen muluk ini
memuncak ke langit dan mengakar ke pusat bumi
sukmaku membaca gerak sunyi
melangkah longlai meninggalkan masa lalu
hingga menyentap senyum tawa bonda.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori

*nota tambahan:
Selepas ini kita akan menemui 2Malaysia, 3Malaysia dan 1001Malaysia.