Khamis, 9 Julai 2009

AIR MATA SEORANG 'PELUDAH BAHASA'

AKHIRNYA setelah tujuh tahun bergelora dan membadai hati orang Melayu, PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya pada 2012/2014. Di tangan dan keberanian TPM Muhyiddin Yassin, dia mengambil keputusan untuk memansuhkannya. Dan, manusia Melayu yang paling kecewa ialah mantan PM (gambar).

Walaupun pemansuhan sepenuhnya akan berlaku dalam masa 3-4 tahun lagi, ada rasa kebimbangan yang menular di dalam hati dan akal fikiran saya. Tempoh waktu 3-4 tahun itu adalah jangka waktu yang panjang dan mungkin banyak perkara boleh berlaku sekelip mata. Apatah lagi para juak dan kuasawan adalah pemain silap mata yang hebat di muka bumi Allah ini.

Apa-apapun saya ingin memanjangkan kesyukuran kepada Allah kerana pemimpin Melayu khususnya kuasawan umno hari ini sudah mula membuka mata untuk melihat wajah rakyat dan memansang telinga untuk mendengar suara rakyat. Mudah-mudahan, di bawah nakhoda baharu ini, suara dan jerit hati rakyat dapat difahami dengan seikhlasnya.

Berbalik kepada PPSMI; semalam, air mata mantan PM itu mengalir lagi dengan alasan muluknya bahawa pemansuhan PPSMI akan menyebabkan anak-anak Melayu ketinggalan. Saya akui bahawa mantan PM ialah pakar hebat dalam bidang ekonomi dan politik. Persoalannya, siapakah yang lebih hebat dalam bidang pendidikan? Profesor Diraja Ungku Azizkah, atau guru-guru yang seharian bergelumang dengan anak-anak murid di sekolah? Saya ingin bertanya kepada Tun Mahathir; sepanjang Tun menguasai teraju negara, berapa lamakah masa yang pernah diambil untuk duduk di dalam bilik darjah kemudian mengajar sains dan matematik (tidak kiralah di dalam bahasa Melayu atau BI)? Pertanyaan kedua, cuba Tun mengajar sains dan matematik di dalam BI di kawasan hulu Terengganu atau hulu Kedah? Nah, dengan dua pengalaman ini, Tun akan tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku dalam sistem pendidikan negara hari ini.

Saya sanjung Tun sebagai negarawan ulung yang berjaya memacu nama negara di mata dunia. Saya puji kesungguhan dan ketabahan Tun mengharungi kancah politik negara; tetapi dalam hal PPSMI saya tidak sependirian dengan Tun. Saya mengambil keputusan untuk memusuhi Tun dalam hal-hal PPSMI ini kerana bagi saya Tun adalah manusia yang telah meludah bahasa ibunda sendiri. Tun meletakkan darjat dan maruah bahasa Melayu kepada kedudukan yang sehina-hinanya (menghina Perlembagaan 152 dan menghina Penyata Razak). Akhirnya, Bahasa Melayu hampir-hampir mati kerana dinafikan hak ketamadunan bahasa Melayu itu sendiri.

Hari ini, jika air mata Tun menitis lagi, anggaplah itu air mata rakyat yang gembira. Rakyat sebenarnya sudah lama memendam air mata di dalam diam dan sesekali merusuh kecil. Saya adalah sebilangan daripada rakyat itu yang saban hari berdoa agar maruah Bahasa Melayu kembali ke takhtanya.

Maafkan saya, Tun. Saya selalu membaca sajak Pak Samad bertajuk "Peludah Bahasa" tidak sajak Tun bertajuk "Melayu Mudah Lupa". Dengan sajak Pak Samad itu, saya membina kekuatan.

Tun yang dikasihi, senja dan malam sering memburu kita. Saya mohon maaf andai ditakdirkan saya menemui yang abadi terlebih dahulu. Sesuatu yang Tun perlu tahu ialah, saya membenci Tun bukan kerana Tun tidak berakal tetapi saya membenci Tun kerana Tun seorang yang terlalu menghina Bahasa Melayu.

Salam dari kejauhan. Maafkan saya, Tun yang dikasihi.

11 ulasan:

Farmilla Hamdi berkata...

Suasana yang sukar dijangkakan. Kenapa ya, 2012? Suatu permainan yang sukar dijangkakan. Apapun kita kesal, airmata yang mengalir bukan kerana ketelusan atas nama kefahaman tetapi kerana kebebalan dalam pemahaman...kesian...

Unknown berkata...

Tuan SO,
Boleh saya tumpang tandatangan surat ini juga? Luahan tuan itu sama dengan luahan hati saya.

Nur Fatiha Fadila berkata...

Assalamu'alaikum Tuan,
Semoga tiada lagi manusia-manusia seangkatan'tun' yang akan tampil merosakkan pemansuhan yang telah diputuskan sementara menanti d2012

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,
1. Kenapa dia terlalu membenci dan menghina bahasa Melayu?
2. Dengar katanya (harap-harap tidak benar) pemimpin Pontian dan Pagoh perkecilkan golongan orang kerja petani @ orang kerja kampung di Manek Urai? juga semacam perkecilkan orang @ pemimpin yang berpendidikan rendah? Entah benar atau tidak tuan...

Hang Kebun berkata...

Sudahlah kita dijajah berabad2 lamanya bila sudah merdeka pun kita nak berbangga dengan bahasa penjajah lagi... angkatlah bahasa melayu menjadi bahasa antarabangsa biar setanding dengan bahasa inggeris, perancis dan lain2 lagi... Nasib baik hanya ludah kalau muntah ke langit lagilah teruk...

Zaid Akhtar berkata...

kempen mari meludah ke ni?
:-)

Melihat Kesunyataan berkata...

Dia menangis lagi,
katnya kita akan kehilangan segalanya
kalau menjaring
bulan di langit sana...

munira berkata...

salam takzim.
tuan hj, dalam tempoh kurang lebih 3 tahun ini, macam-macam perkara boleh berlaku. al maklum, ini semua sepak terajang orang-orang 'di atas' sana..

Tanpa Nama berkata...

awat muka menatang tu hodoh sangat, macam beruk mat yeh mati bini..

Muazzam Rosjaisam berkata...

salam cikgu samsudin...
masih ingat saya lagi...
ank murid cikgu di Sekolah Menengah Sains Alam Shah,KL...

salam khabar dari perantauan untuk cikgu...

Saya sbg bekas mainan tikus makmal PPSMI,tidaklah merasakan yg ianya perlu dimansuhkan....
saya tahu yg cikgu seorang pejuang bahasa...
saya hormatinya seikhlas hati...
dunia sentiasa berevolusi...
pada saya mantan PM kita,Tun..
seorang pemikir kehadapan...
walaupun ada diantara buah fikiranya yg tidak boleh diterima pakai...

tapi adakah kita semua memikirkan tentang masa hadapan...
dalam hanya tempoh 7tahun kita sudah menilai pencapaian PPSMI,bagi saya adalah sesuatu yg tidak rasional...

mmg kuasawan yg diatas yg akan menntukan rang undang2 mana yg boleh diterima pakai....
cuba kita bayangkan....
bolehkan anak2 generasi muda kita yg berada di hulu sana menguasai BI dgn mudah...
tidak begitu bukan....

pada saya,pelajar yg lahir pada tahun 1990 merupakan antara golongan perintis medium PPSMI....
Saya juga belajar di luar bandar sebelum ke Alam Shah...
semuanya kerana keinginan kita untuk berjaya...
bukan kerana pemasalahan bahasa...

ada yg mengatakan BM menjadi lingua franca pada masa kesultanan Melayu Melaka dlu kerana majunya Pelabuhan Melaka...

dan pada masa kini...
majunya Bahasa Jepun kerana ketamadunan mereka yg begitu kukuh...
mereka bangga dgn bahasa mereka..
sama seperti org Perancis...
tapi kita bangsa melayu sendiri,seolah2 berasa malu untuk bertutur dalam bahasa ibunda kita sendiri...
ini semua kerana masalah yg berpunca dalam diri kita sendiri...
org melayu seolah-olah memerlukan tongkat untuk berjaya dalam sesuatu...
tidak mahu berusaha dengan kudrat yg maha Esa kurniakan...

maafkan saya sekiranya cebisan luahan hati ini mengusik hati cikgu...
saya masih setahun jagung dalam kehidupan ni....
mungkin tidak sematang cikgu..
tapi saya merupakan salah seorang 'tikus makmal' hasil dari pemikiran Tun...

tesalah kata harap dimaafi...
moga cikgu bahagia selalu diperantauan...

Hasmora berkata...

Salam Tuan Haji Sham,

Tak perlu ke hulu mana pun, cukup di kawasan Kuala Lumpur mahupun pinggir-pinggir Kuala Lumpur kecuali sekolah elit; anak-anak termangu-mangu juga. Cikgu sains dlm makmal pun saya dengar cakap Melayu (baca Malaysia..heh) juga. Sebenarnya hipotesis pembelajaran S&M mudah, dan Unesco pun kan sudah arah.. P&P Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda masing-masing!