Rabu, 8 Julai 2009

MEMBEBAT LUKA SEJARAN BANGSA


PETANG DAN MALAM TADI, bertujah-tujah sms masuk ke telefon bimbit saya. Isinya sama, iaitu tentang berita pemansuhan PPSMI yang bakal diumumkan esok petang oleh TPM merangkap menteri pelajaran. Saya menguntum senyum sambil membalasnya pula dengan catatan ringkas berbunyi; "TAKBIR! HIDUP BAHASA MELAYU".

Pagi ini, selepas solat subuh, di depan komputer saya berpuisi.

MEMBEBAT LUKA SEJARAH BANGSA

Tujuh tahun kemelut dan krisis melanda
seperti banjir yang mengganas
rakyat berarak di jalanan
suara dan air mata bersatu di dalam dendam
meratah jiwa dan meragut perasaan
sebuah bangsa yang dinafikan hak dan cita-cita.

Semalam,
saat hujan mendesah dengan ribut dan petir
seorang teman mengutus khabar
bahawa akar tamadun
akan kembali mencengkam bumi
mengikat tanah yang terpugar
lewat musim rakus bermaharajalela nafsu kuasawan.

Dari kejauhan - taman ilmu
hati berdetik merawat hiba
bagaimana harus kubebat luka sejarah bangsa
yang darahnya tak pernah kering mengalir
jua dendamnya tak pernah berpenghujung.

Ya Rabb,
anugerahkan aku kekuatan seorang pemaaf
seperti Rasulullah yang meruntuh kasih Abu Talib
kembali sujud kepada Allah yang satu.

Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori.

8 ulasan:

Korakora berkata...

menunggu kata dari menteri, ialah, bukan teater dinsman, menunggu kata dari tuhan.

Nur Fatiha Fadila berkata...

Assalamu'alaikum Tuan,
Satu puisi indah yang mencerminkan suara hati seluruh pencinta dan pejuang bahasa.

Salam kejayaan.

Melihat Kesunyataan berkata...

Assalamualaikum!
Sesekali janganlah cuba membebak luka sejarah. Biarlah darahnya mengalir hingga kini. Biar disaksikan oleh semua generasi. Biar luka itu mengajar kita erti pengorbanan.

S.M. Zakir berkata...

sekejap lagi kita akan melihat teater dan wayang. para penjilat dan pengampu tiba-tiba menjadi pejuang bahasa. para badut dan pak dogol tiba-tiba menjadi bijak pandai bahasa Melayu.

... dan para pejuang yang berarak dan menggalang jiwa akan mengulangi sejarah orang-orang yang dilupakan.

Teratakerapung berkata...

salam cikgu, PPSMI masih dan akan diteruskan lagi sampai bila-bila - firasat saya.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,
Harus diingat 'Mansuh 2012' bermula peringkat pertama serta akan berperingkat-peringkat lagi seterusnya... mungkin sampai 'kiamat' tidak dapat mansuh sepenuhnya?

azura berkata...

Tuan,
Wajarkah kita menjadi pemaaf untuk selama-lamanya???

Puisi tuan sangat merudum perasaan. Sayu. Pilu.

lutfi berkata...

Yang dibangunkan Tun cuma aspek luaran yang sementara sifatnya. Sepanjang 20 tahun, memang dia membangunkan ekonomi, tetapi dia meruntuhkan akar tamadun bangsa. Dia mewujudkan minda penakut dalam kalangan rakyat. Dia membangunkan negara lagaknya seorang Don yang memperluaskan empayar kekuasaannya.
Sungguh, tidak ada sezarah, seatom dan seproton pun kasihku, pada mu Tun. Tidak ada.