Isnin, 2 Februari 2009

SENJA YANG MEMBUNGKAMKAN


i
Seperti selalu, sewaktu pulang dari pejabat saya akan pastikan radio di kereta hanya memutarkan alunan merdu suara Syeikh Abdul Rahman Al-Saudis sahaja. Merdu suaranya mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sering mendekatkan saya dengan masjidil Haram di Mekah. Sehingga kini, mendengar sahaja kemerduan suaranya akan segera menghantar ingatan saya ke subuh yang bening di tanah suci. Atas ingatan yang terlalu menyentuh itu, saya tidak pernah jemu mendengar kemerduan suaranya. Saya kini menjadi manusia tegar yang rindukan nyaring gemersik suaranya.

Hari ini selepas tiga tahun berlalu, saya masih rindukan suasana itu. Rindu berjalan hampir 1 km pada setiap jelun subuh dari hotel di persekitaran Masjid Kuching ke masjidilharam adalah waktu yang menghairahkan. Saat itu, jam 3 pagi seperti hari-hari biasa yang menusuk kalbu. Mahaindah kenangan detik itu.

Mendengar sahaja kemerduan bacaan ayat-ayat suci itu, saya terasa erat dalam dakapan. Kapankah semuanya akan berulang kembali? Rupa-rupanya, tanpa saya sedari, saya sedang dimabuki rindu sebuah cinta yang tidak terbahasakan.

ii.
Semalam seorang teman dari Pekanbaru, Indonesia mengsms saya. Bicaranya pendek tetapi jelas sekali. Katanya, "salam rindu dari tanah perca. kapankah akan tamatnya agenda PPSMI itu?"

Saya tidak segera menjawab kerana saya baharu sahaja siang tadi diingatkan oleh Dekan supaya jangan terlibat dalam sebarang rusuhan PPSMI. Ingatan itu meski tidak dalam bentuk bertulis atau rasmi, tetapi pesanan daripada talian telefon itu sudah cukup mengjengkel hati nurani saya. Resah itu sentiasa meronta-ronta. Kadang-kadang seperti rusuk sang serigala lapar yang terkurung dalam sangkar emas.

Saya sebenarnya juga sudah letih menelan air liur demi air liur sebagai tanda menelan ditelan mati emak diluah mati bapa. Terasa juga berdiri; kaki kanan di syurga dan kaki kiri di neraka. Atau setidak-tidaknya juga terasa seperti berada dalam sebuah gua rusuh yang sepi.

Saya membalas sms rakan itu dengan beberapa perkataan yang romantis tetapi sedikit puitis. Saya menulis,...

malam itu hanya aku berdua
aku dan resah
memanjat bulan
memetik bintang.

Moga sahabat saya faham apa yang saya kirimkan kepadanya.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam pagi sdr,
pengalaman pahit akhirnya bisa beralih rasa manis yang teramat nikmat kerna-Nya.berjuanglah meski bersenjatakan sebilah mata pena maupun sehelai kertas yang menyusun aksara murup,berapi dan membujuk.perjuangan kita belum selesai...

Melihat Kesunyataan berkata...

Assalamualaikum Samsuddin,
Ada banyak cara untuk berjuang. Teruskanlah.

Zarif Hassan berkata...

Salam Tuan Sifu,
sajak pendek itu benar merenggut tangkai hati.cukup ringkas. tetapi jauh untuk ditebaki..

Tanpa Nama berkata...

salam,
saudara sham..membaca blog saudara ni buat saya tertanya2 camne agaknya saudara in person? di mana org2 yg berfikiran 'mendalam' ini berada? huhuh,saya grad in bio, tapi maybe klakar kalau saya kata saya slalu rasa terpikat dgn luahan rasa hasil pemikiran yg mendalam yg tidak semua org boleh memahami ni. tapi tu la yg saya rasa...pernah kawan saya kata saya ni terlalu byk pk. byk pk benda2 yg tidak perlu..(bg mereka):) stgh org kata org seni ni giler. tapi diorg tak tau org seni lah yg byk mendalami maka lebih memahami.

beramal beserta dgn pemahaman adlh hampir sempurna, tetapi memahami tanpa amalan adalah sia2. kan??---peringatan untuk diri saya.

semoga tuhan memberkati usaha saudara.. saya bangga dgn saudara;)

salam..