Isnin, 9 Februari 2009

DAN APABILA TRAGEDI ITU BERLAKU, BERTANYALAH KEPADA DIRI KITA SENDIRI


DEMIKIANLAH tragedi penderhakaan abad-21 yang kita saksikan. Rakyat menderhaka kepada sultan; rakyat menderhaka kepada parti; pemimpin menderhaka kepada negeri dan tanah air dan macam-macam lagi penderhakaan yang dapat kita saksikan kemudiannya digembar-gemburkan pula oleh media. Aneh sekali zaman ini kerana tiada seorangpun mengembar-gemburkan penderhakaan manusia kepada Allah SWT. Bayangkan, malapeteka apakah ini?

Ini bermakna, rakyat Malaysia lebih takut menderhaka kepada pemimpin berbanding kepada Tuhannya. Tidak sedarkah mereka bahawa menderhaka kepada Tuhan lebih besar dosanya?

Saya melihat peristiwa di Perak sebagai satu pengajaran kepada umat Melayu. Hari ini, setelah sekian lama penderhakaan itu tidak berlaku, kita sama-sama dapat menyaksikan satu tragedi yang menyentuh hati nurani orang Melayu. Sayang dan sedih sekali. Tetapi harus diingat, sebelum ini pun peristiwa yang hampir sama berlaku di Terengganu iaitu kisah antara Idris Jusof dengan Ahmad Said dengan sultan atau Agung. Ketika itu, tiada mana-manapun orang UMNO tampil mendesak supaya Idris Jusof dihadapkan ke ISA, atau dituduh penderhaka kepada sultan. Kenapa?

Nah, inilah yang dikatakan 'hukum karma'. Saya melihat peristiwa ini sebagai satu pengajaran yang boleh disimpulkan bahawa antara UMNO, PAS, KeAdilan, DAP atau mana-mana parti mereka sanggup menghalalkan apa-apa sahaja demi kepentingan politik mereka. Saya tidak mahu menuduh sesiapa, tetapi demikianlah siasah politik orang Malaysia. Hari ini mengata orang; esok-lusa terkena batang hidung sendiri. Bila terkena kepada batang hidung sendiri makanya alasan yang diguna pakai ialah, "kita ada undang-undang dan perlembagaan. Kalau kita tidak ikut undang-undang dan perlembagaan yang kita buat, maka kita samalah seperti binatang." Itulah kata-kata yang sering saya dengar ketika hukum karma itu berlaku. Sekarang ini persoalannya, siapakah binatang sebenarnya?

Saya tidak menyebelahi mana-mana parti kerana saya perlu berkecuali. Saya melihat semuanya ini sebagai satu sandiwara sarkas. Pelakonnya terdiri daripada hero bodoh yang dipandaikan sementara sida-sida dan juak-juaknya adalah orang pintar yang dibodohkan. Plot dan sinopsis cerita telah lama ditulis. Apabila keadaan mendesak, makanya hero dan juak-juak itu berlakonlan dengan penuh emosi. Yang penting, selepas sahaja berjaya menjadikan rancangan itu cerita kepada rakyat di media perdana, pelakon itu akan mendapat upah yang lumayan. Begitulah, perjalanan sebuah cerita.

Para pelakon itu pula kini dengarnya sudah menerima tawaran daripada pengarah yang berada di Selangor dan Kedah. Ada beberapa agenda lain yang sedang kita tunggu-tunggu berlaku di kedua-dua negeri ini. Itu juga cerita-cerita menarik yang kosnya tidak dapat dianggarkan. Ada yang menyatakan RM100 juta dan ada yang menceritakan lebih daripada itu. Pengarah filem itu sedang mencari hero dan heroin yang sesuai. Pelakonnya mesti berciri-ciri seorang homosex dan heroinnya pula mesti berani membawa watak seorang jalang. Wah, saya sedang menanti apakah kesudahan perencanaan pengarah ini. Hebat-hebat sungguh pengarah filem Malaysia ini. Tetapi anehnya, hanya P. Ramlee sahaja yang saya tahu pernah menerima anugerah pengarah terbaik. Yang lain-lainnya, entahlah..

Kata seorang rakan saya juga pengkritik filem tanah air, "filem-filem Malaysia ni hambar sebab gansternya tak berani mati. Heronya pula lelaki separuh tiang yang lelaki tidak, perempuan pun tidak. Lepas itu, bila terdesak terus bersumpah." Itu kata-kata kawan saya. Saya petik sepenuhnya sebab dia kini berada di luar negara menjalankan tugas rasmi kehidupannya.

Dua hari lepas di DBP, saya diundang untuk mendeklamasikan puisi sempena Kutipan Amal Gaza. Selepas tamat majlis, saya lebak bersama-sama Zaen Kasturi, SM Zakir, Amiruddin Ali Hanafiah, M. Saleeh Rahamad dan Halis Azhan. Di tepi tangga Balai Budaya, Dewan Tun Syed Nasir itu, kami berkisah tentang bertapa untungnya kita rakyat Malaysia yang tidak menjadi mangsa gila kerakusan politik. Jika tidak, tentu kita akan mengalami nasib yang hampir serupa seperti di Gaza atau Thailand atau juga Sri Langka.

Entahlah, apa yang sedang berlaku dalam senario politik tanah air sekarang ini, saya sendiri sukar menebaknya. Perasaan ketamakan kuasa masih tidak berkesudahan. Sifat rakus dan bangga diri tidak terbendung. Tabii menjatuhkan sesama bangsa sendiri kian bermaharajalela. Sikap berlumba-lumba telah membawa konotasi yang lain. Berlumba-lumba untuk berjaya telah menjadi berbunuh-bunuhan untuk berjaya. Falsafah siapa kuat, siapa kaya, siapa berkuasa mula menular semahu-mahunya.

Saya merenung ke luar jendela sambil berfikir, "apakah yang akan terjadi kepada nasib bangsa Melayu 50 tahun lagi? Sudahlah nasib bahasa Melayu akan dipusarakan, kini saya bercongak-congak, apakah nasib bangsa Melayu pula akan ditalkinkan?"

Pemimpin Melayu khususnya UMNO tidak pernah mengambil ikhtibar akan sejarah 13 Mei 1969. Mereka juga tidak pernah belajar cara Tun Razak menyelesaikan masalah bangsa dan bahasa. Jika Tun Razak menyatukan rakyat Malaysia dengan memperkasa Bahasa Melayu; hari ini bagaimana pula UMNO ingin menyatukan rakyat Malaysia jika mereka mempersenda, memperlekeh dan menafikan keutuhan Bahasa Melayu.

Lihatlah kesannya hari ini setelah nasib kedaulatan sultan dan raja dilucutkan oleh UMNO. Apakah kuasa kedaulatan raja-raja Melayu yang tinggal? Belum pun cukup 20 tahun peristiwa itu berlaku, kita sudah dapat melihat ramai penderhaka. Rakyat berani mempersoalkan kedaulatan raja dan pemimpin berani mencabar raja di mahkamah. Bagaimana pula 50 tahun akan datang jika generasi mula hilang jati diri dan tidak tahu asal usul?

Bertanyalah kepada diri kita sendiri, siapakah yang memulakan angkara ini?

4 ulasan:

SATIRA + KACAU berkata...

Sdr SO: Jangan salahkan politik yang politik sahaja, saudara. Sekali, cuba salahkan juga politik yang di dalam sastera kita. Moga saudara maklumi. Bukankah?

Tanpa Nama berkata...

Tuan,

1. Dalam banyak isi ini saya bersetuju, saya tertarik dengan kenyataan : "Aneh sekali zaman ini kerana tiada seorangpun mengembar-gemburkan penderhakaan manusia kepada Allah SWT. Bayangkan, malapeteka apakah ini? Ini bermakna, rakyat Malaysia lebih takut menderhaka kepada pemimpin berbanding kepada Tuhannya. Tidak sedarkah mereka bahawa menderhaka kepada Tuhan lebih besar dosanya?"

2. Dalam seminggu ini terlalu banyak dapat dibaca dengan kenyataan dalam media kerajaan dan web/blog (terlalu banyak isu... tapi dalam konteks entri tuan ini tumpuan kepada 'derhaka'), antaranya:
a. Kenyataan Mufti Perak.
b. Kenyataan balas Harun Din.
c. Tetapi yang saya nak berkongsi fikir dengan tuan tentang kenyataan Tn. Guru Nik Aziz seperti di bawah:

Isu Perak : Raja Dan Demokrasi
Posted on Thursday, February 05 @ 11:43:18 MYT by Paktam
Oleh Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat
1. Menteri Besar dalam sesebuah negeri adalah mewakili rakyat dalam sesebuah negeri u ntuk disembah kepada Raja. Orang lain, walau PM sekalipun adalah orang luar. Kalau tidak begitu maka akan timbul bermacam-macam krisis dan huru hara. Ini termasuklah siri-siri jenayah dan pencolekan seperti yang berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu, Daud Samad dan beberapa Wakil Rakyat di Negeri Kelantan di tahun 1960an
.
2. Status Institusi Raja akan terjejas di mata rakyat kalau Raja mendengar dan akur menerima nasihat (advise) dari orang lain. Di zaman Tun Dr. Mahathir, Institusi Raja terjejas teruk dan jangan-jangan ia terjejas lagi di kali ini. Ucapan saya ketika di Parlimen di masa itu antara lain berbunyi: “Orang politik akan menjadi Raja/Presiden di masa hadapan. Puncanya kerana peribadi sebahagian Raja-Raja itu sendiri.”

3. Sistem Beraja tidak menjadi semakin bertambah. Hendaklah diingati benar-benar bahawa sistem Beraja semakin hari semakin berkurangan. Bertambah tidak. Dunia boleh saksikan sendiri bagaimana Raja Nepal di Katmandu, Sultan Hussein di Singapura, Hamingkubuwono di Indonesia, Sultan Kudrat di Filipina, Al-Malik Farouk di Mesir, Shah Iran di Iran, Maharaja China di Negeri China, Maharaja Yaman di Yaman, Iraq, India dan seluruh Benua Eropah. Kini, mereka hanya tinggal sejarah.

4. Jadi, Institusi Raja di Malaysia perlu berhati-hati benar.

5. Saya sayangkan Institusi Raja kerana saya tahu bahawa rakyat hormatkan Rajanya. Saya sendiri dapat merasakannya kerana saya sendiri juga daripada keturunan Raja Jembal. Selain daripada menghormati saya dari aspek-aspek yang lain khususnya dari hal agama, mereka hormat saya kerana saya juga datang dari keturunan ini.

6. Tegasnya semua pihak perlu berhati-hati dalam menangani krisis yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di luar dari Negeri Perak. Ingatlah, Allah Maha Berkuasa diatas segala sesuatu dan Allah tidak akan berpihak kepada pihak yang berbuat kezaliman.Sebaliknya, Allah akan menurunkan bantuan kepada mereka yang dikhianati dan mereka yang ditindas.

Firman Allah S.W.T. bermaksud :
“Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala Puji Bagi Allah Tuhan semesta Alam.” (Surah Al An’aam: Ayat 45).

Wallahua’lam.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Mursyidul Am PAS

Bertarikh : 9 Safar 1430
5 Februari 2009.

*****************************

Tuan, ditambah satu lagi kenyataan Tn. Guru Nik Aziz seperti berikut:

Benar kata Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, atas nama Islam setiap manusia adalah sama di sisi Tuhan dan mereka bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan di akhirat kelak. “Ini bukan soal Melayu (menderhaka) tetapi dalam Islam, raja atau rakyat, orang bandar, orang kampung tidak kira raja, tok guru setaraf semuanya. Dan mereka bertanggungjawab kepada Allah diakhirat kelak.”

Sekian. Terima kasih.

rar/

fatah85 berkata...

tidak perlu tunggu 50 tahun jika hendak melihat anak jati lupa asal usul. 50 tahun satu jangka masa yg panjang. lihat sekarang sudah.

Tanpa Nama berkata...

alif mim nun wau, alif tendang wau bacanya SARKIS.

betullah mereka sedang membuat persembahan sarkas terbesar abad ni di Malaysia.

huh!