Isnin, 16 Februari 2009

SEBUAH RUSUH, BAGAIMANA HARUS KUTAMATKAN?


Sepanjang malam Sabtu dan Ahad pagi, saya meghabiskan masa di rumah GAPENA. Ya, secara kebetulan tarikh tersebut merupakan tarikh bersejarah kepada pejuang Bahasa Melayu abad-21 iaitu 15 feb 2009. Pada tanggal inilah saya dapat melihat sekumpulan pejuang bahasa Melayu menyatakan kesatuan hati dan harapan terhadap tindakan kerajaan melacurkan nasib Bahasa Melayu. Saya dapat melihat dan berbual-bual dengan mereka tentang harapan yang menggunung. Mereka berkumpul untuk menyatakan kesatuan tekad meneruskan saman kepada KPM kerana telah menafikan hak dan akta Perlembagaan 152 dan 153.

Begitupun, saya amat sedih kerana rupa-rupannya ramai juga orang Melayu yang tidak menyatakan sokongan. Saya mencari-cari di mana Dato' Firdaus Abdullah (mantan KP DBP yang kini bergelar senator),saya menoleh ke kiri kanan mencari pengarah DBP yang baharu. Saya menjengok-jengokkan kepala mencari wakil atau orang kuat KPM macam Dato' Hishamuddin, saya memanjangkan leher mencari-cari di mana orang Melayu yang sibuk bercakap tentang penderhakaan kepada sultan dan raja Melayu, dan saya berbisik juga kepada rakan di sebelah bertanya-tanya di manakah orang kuat pejuang agenda Melayu?

Sedih kerana mereka semua tiada di dalam peristiwa bersejarah itu. Kini saya mula faham, ketika Dato' Baha Zain, Tan Sri Ismail Hussein, Prof Dato' Zainal Abidin Borhan, Dato' Hassan Ahmad dan Tan Sri A. Aziz A. Rahman (mantan pengerusi MAS) bermatian-matian mempertaruhkan maruah dan namanya, masih ada rakan-rakan mereka yang hanya berani membaling batu sembunyi tangan.

Saya kira, kehadiran saya sudah cukup menjadi bukti bahawa inilah sejarah yang perlu saya hadiri kerana saya tidak pasti dengan apa-apa lagi sokongan yang boleh saya sejarahkan di dalam usia saya. Dalam majlis bermakna itu, saya cuba menjadi manusia paling tenang sambil berfikir dan menafsir kata-kata yang didengari.

Menoleh ke kiri, menoleh ke kanan, memandang ke depan dan memalingkan wajah ke belakang, saya menjadi amat berani.

ii
Hari Isnin berikunya, keluar pula kenyataan daripada menteri pelajaran yang bersinikal bodoh lagi bahlol. Katanya, "kenapa baru sekarang bertindak? Kenapa tidak 6 tahun dulu?"

Itulah pemimpin kita hari ini. Ketika para bijak pandai dan pejuang bahasa berbincang secara baik; menjemput mereka ke meja rundingan; dan mengadakan kongres secara baik - batang hidug merekapun tak nampak. Perjuangan yang bermula mei 2002 itu tidak disedari oleh mereka yang berlagak wira. Atau mungkin mereka sengaja membodohkan diri kerana takut dengan kuasa sang dewata. Setelah enam (6) tahun berjuang dengan cara penuh hikmah, hari ini mereka menuduh para pejuang itu emosional.

Siapakah yang emosional? Saya yang juga mewakili para pejuang bahasa Melayu atau juak-juak itu?

Di media perdana pula, dalam rancangan buletin kaca televisyen; orang yang jahil tentang perjuangan Bahasa Melayu diundang untuk memberikan sokongan yang dangkal. Jika benar media perdana kita telus dan bersikap terbuka, kenapa tidak memberi ruang kepada pejuang-pejuang bahasa tulen yang sanggup bermandi darah kerana bahasa mereka sedang ditalkinkan? Oleh itu, selepas ini ingin saya mencadangkan kepada mereka agar wartawan yang dipaksakan itu pergilah mewawancara pelacur-pelacur jalanan, bohsia, perasuah, orang putih, orang afrika, orang bangla, orang filipina, mahupun penagih dadah yang menghuni di bawah jambatan itu tambil dengan alasan PPSMI itu berjaya dan wajar diteruskan. Bukankah itu yang mereka mahukan?

Bayangkan, apakah yang akan terjadi kepada bukti dan kajian yang dilakukan oleh sarjana-sarjana tempatan hasil daripada kajian sistematik terhadap PPSMI ini? Mereka lebih percaya kepada kajian dan dapatan seorang sarjana barat yang sudah tentu bersikap berat sebelah terhadap bahasa Inggeris kerana itu adalah bahasa mereka. Puluhan kajian sarjana tempatan yang terhasil daripada sistem pendidikan Melayu dinafikan oleh satu kajian orang putih yang kelulusannya entah apa-apa.

Inilah pemikiran pemimpin kita yang sedang melalui dasar penjajahan postkolonial. Ketika rakyat Malaysia sibuk meraikan usia ke-51 kemerdekaan negara, tiba-tiba pemimpin kita pula bergerak ke arah yang berlawanan. Sepatutnya dengan usia yang menjangkau matang itu, Bahasa Melayu kian kuat, utuh dan perkasa di mata dunia; sebaliknya yang berlaku ialah mereka takut untuk berhadapan dengan dunia globalisasi dengan menggunakan bahasa nenek moyang mereka sendiri.

Inilah juga kesialan dan kecelakaan yang sedang melanda pemikiran pemimpin kita. Mereka takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Mereka takut dengan kuasa sementara yang ada di tangan mereka. Mereka menjadi sang serigala lapar yang rakus dan tamak hingga sanggup menyiat-nyiat kulit dan daging mereka sendiri. Kalaupun tidak sehina babi atau anjing, mereka mungkin lebih teruk daripada itu.

Dari dekat dan sesekali dari kejauhan, saya melihat bahawa kita tidak pernah menjadi manusia yang ingin belajar daripada sejarah. Para juak dan pemimpin negara terlalu memandang enteng erti sejarah bangsa dan bahasa. Sejarah kejatuhan bangsa, negara dan bahasa yang berlaku suatu waktu dahulu rupa-rupanya tidak pernah memberikan pengajaran kepada mereka.

Saat saya meluahkan kesedihan ini, ada sebak yang tidak dapat saya hentikan. Emosi saya sudah lama bergelora dan tidak tertahankan amarahnya. Memujuk dan memaksa hati saya supaya tenang dan damai tidak pernah berhasil. Mulai saat ini, saya akan cuba memujuk hati saya sekali lagi supaya perjuangan ini perlu menuruti lunas-lunas fikir Tun Razak dan Tun Dr. Ismail. Mereka berdua selalu mendampingi budayawan Melayu kerana mereka berdua percaya hanya rakyat sahaja yang boleh menyelesaikan masalah rakyat. Pemimpin bagi mereka berdua adalah ketua kepada suara rakyat bukan ketua kepada kepala otak mereka sendiri kemudian memaksa rakyat mengikuti telunjuk dan mengakuri nafsu buas mereka.

Terus terang saya katakan bahawa mereka adalah seorang pelacur yang sedang menjual harga diri. Terus terang saya katakan, saya tidak berpihak kepada mereka bukan kerana saya anti bahasa Inggeris atau anti penjajah. Saya menentang kerana mereka melaksanakan dasar yang salah iaitu mengajar sains dan matematik dalam BI. Saya menentang kerana mereka bukan sedang menyelesaikan masalah komunikasi dan penguasaan bahasa Inggeris tetapi mereka sedang berusaha membodohkan jutaan anak-anak kampung yang sedang berhadapan dengan masalah pengajaran dan pembelajaran BI, sains dan matematik. Saya sedih melihat rakan-rakan yang bertugas di KPM. Mereka rupa-rupannya sedang menjadi tikus yang membaiki labu. Mereka tidak sedar atau sengaja menafikan apa yang sedang berlaku di dalam sistem pendidikan negara hari ini. Mereka sepatutnya bertindak dengan memperkasakan proses pengajaran dan pembelajaran BI bukannya menyokong dasar yang terang-terangan salah dalam proses asas pengembangan ilmu.

Terus terang saya katakan juga bahawa waktu dan saat ini menuntut manusia perlu menguasai BI. Hal ini bermakna BI itu penting dalam proses pengembangan ilmu. Tetapi apa yang saya marah-marahkan ialah kita janganlah jadi seperti perangai 'monyet yang tidak pandai menghargai bunga'; atau juga jangan jadi seperti falsafah Melayu 'si kudung mendapat cincin'.

ii

"Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa saya kerana melaknati mereka dengan panggilan anjing dan babi, celaka dan sial, baruah dan haram jadah. Inilah kelemahan iman saya kerana gagal mengawal diri setelah melihat bahasa ibunda dan nenek moyang saya dilacurkan oleh mereka. Ya Allah, Kau turunkan pengajaran kepada mereka supaya mereka kembali ke pangkal jalan. Ya Allah, mereka telah berada di jalan yang sesat lagi menyesatkan. Berikan mereka petunjuk, Ya Allah."

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tuan,

Entri panjang tuan ini sememangnya menarik serta mebuatkan saya bertambah ragu / was-was (skeptikal) terhadap beberapa pemimpin parti terbesar Melayu dan beberapa pemimpin NGO Melayu tentang peranan mereka dalam hal memartabatkan bahasa Melayu. Di bawah ini ada beberapa persoalan:

1. YDP Agong dalam titahnya ketika merasmikan penggal baharu Parlimen semalam (16/2/09) mengingatkan bahawa semua harus berpegang kepada KELUHURAN PERLEMBAGAAN... makanya bukankah salah satu hal dalam keluhuran perlembagaan itu merupakan PERKARA 152?

2. Di manakah NGO yang besar-besar di Malaysia yang bersifat 'Pembelaan Hak Melayu' seperti Pewaris / GPMS / Pekida / Perkasa dan pelbagai nama lain lagi dalam hal memperjuangkan bahasa Melayu, atau manakah suara pemimpin-pemimpin Pemuda parti terbesar Melayu?

3. Kenapa dan apakah masalah Ahli Parlimen Kinabatangan (Bung Mukhtar) mengeluarkan kata-kata seperti dinyatakan oleh Hasni Abas, Setiausaha GMP (dikutip dalam berita Malaysiakini - 17/2/09) iaitu ketika di Parlimen:-
Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) kesal dengan tindakan ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar kerana "tidak menunjukkan akhlak yang mulia" dengan menggelar pejuang bahasa sebagai "anasir".

"Sebagai seorang pemimpin yang duduk di dewan yang mulia (parlimen), beliau (Bung Mokhtar) sepatutnya berbahasa dengan cara yang baik, dengan ketinggian akhlak dan adap sopan," kata setiausaha gerakan itu, Hasni Abas.

4. Mengapa dan kenapa Sang Menteri begitu memperlekehkan dan banyak mempersoalkan golongan tokoh dan sarjana pelbagai bidang yang menentang PPSMI?

Sekian. Terima kasih.

rar/

Tanpa Nama berkata...

Salam tuan..

Membaca entri tuan..saya dah agak kiranya perjuangan Gapena pasti ada masalah. Tambahan pula mereka yang pernah menjawat jawatan di DBP pasti tidak mahu nama mereka terpalit sama. Untuk pengetahuan tuan , saya seorang guru.. yang mengetahui realiti PPSMI. Kami tidak dibenarkan membuat ulasan megenai perkara ini. Pelajar yang kita ajar, biasanya matematik tak pernah lulus. keluar keputusan peperiksaan , dapat C. Percayakah tuan , pelajar tersebut hanya dapat 20% sahaja. Realitinya kami guru-guru lebih tahu bahawa PPSMI tak berjaya. Patutkah markah lulus diberi sehingga 20%.

MARSLI N.O berkata...

Sdr SO: Kalau berkata secara jujur dan terus terang dipersoal, apa lagi gelar yang layak? Hati-hati di jalanan.